Kerajaan didesak supaya mengambil tindakan tegas dengan segera ke atas pengendali portal berita antikerajaan Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang mencabar kerajaan supaya mendakwanya di mahkamah United Kingdom (UK) dalam satu ceramah di negara itu semalam.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, dengan kemunculan semula Raja Petra dan cabaran terbuka yang dilemparkannya, kerajaan tidak boleh lagi berlengah dan memberi pelbagai alasan untuk mengambil tindakan terhadapnya.
"Kalau sebelum ini alasan diberi ialah tidak tahu di mana tempat persembunyian Raja Petra, kini pengendali portal itu telah membuat kemunculan semula dan mendedahkan lokasinya. "Bahkan secara terbuka dia bukan sahaja mencabar kerajaan tetapi menempelak sistem kehakiman kita. Bila lagi tindakan hendak diambil,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemunculan semula Raja Petra semalam dan cabaran yang dilemparkan kepada pihak berkuasa agar membawa segala pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di mahkamah UK.
Raja Petra seperti yang dilaporkan portal berita propembangkang, Malaysia Today serta Malaysian Insider dan Malaysiakini mendakwa dia sedia berhadapan dengan semua pertuduhan itu kerana menganggap UK sebagai 'wilayahnya'. Mengulas lanjut mengenai tindakan Raja Petra itu, Mohd. Hilmi menyifatkan pengendali portal itu sebagai penakut dan cabaran tersebut tidak perlu dilayan.
"Jika benar tidak bersalah, baliklah berdepan dengan sistem perundangan negara. Pertuduhan yang dibuat itu dilakukan di negara ini, jadi kenapa perlu dibicarakan di UK. "Contohnya, kalau sayalah yang menjadi mangsa dalam apa jua kes, takkan saya hendak buat laporan polis di Indonesia dan minta dibicarakan di Singapura, sedangkan kes itu berlaku di Malaysia.
"Tuduhan kononnya sistem perundangan dan kehakiman kita tidak adil hanyalah alasan politik. Jika tidak telus, masakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh semua layanan terbaik dalam kes liwatnya,'' jelasnya. Sehubungan itu tegas beliau, sudah sampai masanya pengendali portal itu diekstradisi ke negara ini bagi membolehkan perbicaraan segera dilaksanakan.
Mengenai tindakan Raja Petra mempersoalkan hak perundangan yang sama rata Mohd. Hilmi berkata, jika tidak yakin dengan sistem kehakiman dan perundangan Malaysia, pengendali portal itu tidak layak lagi menjadi warganegara Malaysia. Menurutnya, Raja Petra boleh melucutkan kerakyatannya dan memohon kerakyatan Britain kerana dia lebih yakin dengan sistem perundangan dan kehakiman negara tersebut.
Dalam pada itu Presiden Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat UMNO (Pakku), Tan Sri Adam Kadir memberitahu, tindakan Raja Petra itu bertujuan memastikan dia memiliki masa serta ruang perundangan yang secukupnya untuk berhadapan dengan semua pertuduhan yang dihadapinya.
"Kita harus sedar cabaran itu dibuat berdasarkan amalan yang sama sebelum ini tetapi dalam kes yang berlainan. Namun, perjalanan untuk membuktikan keadilan itu cukup panjang dan sudah pasti Raja Petra mahu menggunakan sepenuhnya peluang itu,'' katanya.
Sementara itu Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Datuk Dr. Kamaruddin Kachar pula membidas pengendali portal tersebut yang hanya berani bertempik di negara orang. Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan sumber kewangan yang diperolehi oleh Raja Petra bagi membiayai kos empat pengawal keselamatan yang menjaganya sepanjang ceramah tersebut.
"Saya tidak pasti apa pekerjaan yang dilakukannya di sana (UK) tetapi berdasarkan dakwaan, dalam keadaan Raja Petra sekarang, adalah mustahil untuknya menetap di kawasan elit di UK. "Apatah lagi bagi membiayai upah pengawal peribadi profesional yang saya fikir kosnya bukan murah dan kenapa memerlukan pengawal peribadi?'' soalnya.
Warna-warni Politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan