DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Rabu, 27 Oktober 2010

Isu Pasir di Perak : Tiada tolak ansur - Zambry !


Perak tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa mahupun pelanggaran permit melibatkan aktiviti pengeluaran pasir di negeri ini.

Zambry Abd. Kadir beramah mesra dengan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Perak ketika mengadakan lawatan ke pejabat berkenaan, kelmarin. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengakui, isu pengeluaran pasir sering kali menjadi masalah memandangkan Perak merupakan sebuah negeri yang luas.

"Mungkin kaedah penguatkuasaan pada hari ini perlu dikaji kembali meskipun Perak pada suatu masa dahulu merupakan sebuah negeri yang terbaik dalam pengurusan pasir.

"Sebagai contoh, untuk tahun ini sahaja, kita telah mengambil tindakan tegas terhadap 97 kes pelanggaran syarat permit melibatkan pembatalan doket bernilai RM65,140. Kesemua kes tangkapan kes di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak, Syed Mokhtar Syed Iddris di sini, semalam.

Zambry mengulas mengenai laporan Ketua Audit Negara 2009 yang mengatakan terdapat beberapa kesan ancaman alam sekitar yang berpunca daripada aktiviti pengambilan pasir di negeri ini seperti hakisan dan ketidakstabilan tebing sungai.

Menurut laporan tersebut, kesan ancaman itu berpunca daripada pelaksanaan operasi pengambilan pasir yang tidak mematuhi syarat permit dan kelemahan penguatkuasaan oleh jabatan atau agensi kerajaan.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai cadangan perdebatan antara salah seorang Exco kanan kerajaan negeri iaitu Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham pada 1 November ini, Zambry berkata, ia adalah hak Hang Soon untuk melakukannya.

Beliau yang enggan menyatakan persetujuan atau menolak perdebatan itu bagaimanapun mempersoalkan syarat yang ditetapkan Koo Ham iaitu perlu mengesahkan Hang Soon sebagai wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri untuk bersuara.

"Mengapa takut dan perlukan 'lampu hijau' serta pengesahan rasmi daripada kerajaan BN negeri melalui syarat-syarat yang ditetapkan sedangkan selama ini mereka sering kali memanipulasikan orang ramai melalui kenyataan mereka sendiri," tambah Zambry

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: