Ajakan Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO agar Pas menyertai Barisan Nasional ditolak mentah-mentah oleh Idris Ahmad, Ketua Penerangan Pas.
Menurut Idris, Pas tidak memerlukan UMNO, kerana Pas akan berusaha untuk memikat ahli-ahli UMNO khususnya dan orang Melayu Islam untuk menyertai parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu. Setiausaha Agung PKR menyifatkan ajakan UMNO itu sebagai hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Sebelum ini pun Presiden Pas pernah mengeluarkan kenyataan meminta UMNO supaya berundur secara terhormat jika kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13.
Pada hemat saya, ini bukan soal hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong atau tidak. Ini berkaitan dengan masa depan umat Islam. Pas dan PKR janganlah terlalu yakin untuk mengambil Putrajaya. Jika ditakdir mereka berjaya, saya tidak fikir mereka mampu mendapat majoriti dua pertiga.
Apatah lagi untuk menegakkan negara Islam. Paling hebatnya mereka hanya akan mendapat kelebihan beberapa kerusi. Senarionya mungkin lebih kurang sahaja seperti apa yang berlaku hari ini. Jika UMNO kalah sekalipun, tidaklah sampai kehilangan semua kerusi. Apa pun, kita tunggu dan lihat kekuatan masing-masing nanti.
Cuma, janganlah terlalu sombong dalam menilai kekuatan parti. Setiap parti ada kelebihan dan pengaruh masing-masing. Secara peribadi, saya mengenali kesemua tokoh ini tersebut. Kita bukan bercakap soal siapa menang atau siapa akan kalah dalam pilihan raya.
Pilihan raya hanya alat untuk mendapatkan kuasa dan menjadi parti yang memerintah kerajaan. Siapa yang dipilih oleh rakyat, kita perlu menghormati keputusan tersebut. Apa yang lebih penting adalah masa depan agama, bangsa dan negara yang akan diwarisi oleh anak cucu cicit kita. Ke syurgakah mereka atau ke neraka ketika di bawah pemerintahan kita, itu yang lebih penting?
Apa guna menang pilihan raya jika maruah agama dan kampung tergadai. Pilihan raya bukanlah segala-galanya dalam kehidupan umat Islam. Di negara-negara maju, jatuh bangun sesebuah parti dalam pilihan raya adalah perkara biasa.
Bezanya kita dengan mereka, kalah atau menang dalam pilihan raya, kedudukan agama dan bangsa mereka tidak terjejas, malah terus gagah dan bermaruah. Tetapi tidak kita pada hari ini, seolah-olah menang mahu jadi arang, kalah jadi abu.
Belum pun apa-apa kita sudah dapat rasakan bagaimana agama dan bangsa kita dipijak-pijak. Apakah ini yang kita mahu? UMNO hanya mempelawa, kalau tidak setuju tidak mengapa. Tolaklah dengan cara baik. Tetapi jangan menyakitkan hati orang dengan kenyataan-kenyataan seperti kapal karamlah, hidung tak mancunglah dan sebagainya. Hebat sangatkah kita?
Secara peribadi saya amat kecewa dengan umat Islam hari ini. Tidakkah kita ini semuanya bersaudara tanpa mengira bangsa dan ideologi politik? Tidakkah kapal yang bocor dan hendak karam itu perlu diselamatkan demi survival umat Islam secara keseluruhan.
Apakah kita tidak belajar daripada kejatuhan empayar-empayar Islam sebelum ini? Akibat dendam kesumat dan perbuatan menyakitkan hati sesama sendiri, kita terus berpecah tiada kesudahan, sehingga ke tahap sanggup menikam sesama sendiri.
Selaku Cina Muslim yang tidak ada apa-apa kepentingan dalam soal bangsa Melayu, melainkan agama Islam, berbincanglah dahulu pelawaan Ahmad Maslan itu. Tidakkah Islam menganjurkan kita bermesyuarah. Sesuatu kejayaan bermula dengan langkah pertama. Mungkin selepas ini pertemuan boleh diaturkan dengan Perdana Menteri.
Apakah formula dan konsep yang boleh dipersetujui bersama demi masa depan umat Islam? Apakah jawatan yang mungkin boleh ditawarkan kepada Pas. Jika tidakpun jawatan Perdana Menteri, mungkin jawatan Timbalan Perdana Menteri. Apakah Pas terlalu yakin bahawa mereka akan diberikan jawatan penting apabila Pakatan Rakyat ditakdirkan memerintah nanti?
Jika itulah jawapannya, sudah tentu Pas akan diberikan jawatan penting di bawah kerajaan Pulau Pinang. Tetapi adakah ia berlaku? Di manakah kedudukan Pas setelah PR memerintah Pulau Pinang? Begitu juga kedudukan Pas, apabila PKR memerintah Selangor. Apakah mungkin akan diberikan jawatan menteri besar Selangor selepas PRU 13? Jauh panggang dari api.
Dalam PKR hari ini pun masih berantakan untuk merebut jawatan parti. Tujuannya tidak lain, bila menang jawatan dalam parti, peluang untuk memegang jawatan tertinggi peringkat negeri dan negara adalah lebih besar. Sebab itu macam-macam perkara berlaku dalam parti pemilihan parti yang tidak perlu disebut lagi.
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
Warna-warni politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan