DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Khamis, 9 Disember 2010

Jangan jadi penderhaka dan pengkhianat bangsa!















Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah memberikan peringatan yang tegas dan jelas bahawa orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini telah menghina dan menderhaka kepada bangsanya sendiri.

Persoalannya, sejauh manakah peringatan baginda ini akan difahami oleh individu dan kelompok tertentu yang kita tahu sanggup melakukan apa sahaja demi politik.

Sebenarnya, sudah acap kali puak-puak berkenaan diperingatkan supaya tidak membangkitkan isu-isu berkaitan orang Melayu tetapi semua itu tidak diendahkan.

Sebaliknya dari semasa ke semasa demi mencapai cita-cita dan matlamat politik kelompok tersebut berterusan mencabar perkara berkenaan.

Adalah sesuatu yang malang kerana orang Melayu terpaksa berhadapan dengan individu dalam kalangan mereka sendiri yang sanggup melakukan apa sahaja, asalkan cita-cita mereka tercapai.

Kelompok seumpama itu sudah tidak lagi memikirkan kesannya kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam.

Mereka akan menggadaikan apa sahaja dan sesiapa juga yang cuba mempertahankan ketuanan atau keistimewaan Melayu akan dianggap rasis.

Segala-galanya kerana mereka ingin merebut kuasa politik dan mencari pengaruh daripada kaum lain.

Kegelojohan dan kerakusan ini akhirnya akan memberikan kesan yang amat buruk kepada orang Melayu.

Perasaan hormat terhadap hak keistimewaan orang Melayu dan umat Islam dengan sendirinya akan luntur akibat daripada perbuatan orang Melayu sendiri.

Justeru adalah tidak keterlaluan jika dikatakan, kelompok yang berbuat demikian dengan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu bukan sahaja menderhaka malahan mengkhianati bangsa sendiri.

Apa yang anehnya, kelompok ini akan berasa marah apabila dianggap pengkhianat, sebaliknya akan memberi seribu satu alasan bagi mempertahankan tindakan mereka.

Tetapi semua orang Melayu maklum mengenai kerakusan berpolitik mereka. Apa yang mereka inginkan hanyalah kuasa.

Mereka sengaja melupakan sejarah mengenai perjuangan orang Melayu di bumi Malaysia ini dan kenapa orang Melayu diberikan hak-hak keistimewaan tertentu tetapi dalam masa yang sama tidak meminggirkan kepentingan kaum lain.

Puak inilah juga memutar-belitkan fakta sewenang-wenangnya termasuklah mewujudkan tafsiran baru mengenai ketuanan Melayu.

Walaupun sudah berkali-kali diperjelaskan mengenai apa maksud ketuanan Melayu tetapi kelompok ini sanggup menderhaka kepada bangsa sendiri.

Mereka tidak mahu mendengar hujah dan fakta pihak lain, sebaliknya menganggap tafsiran mereka sahaja yang betul.

Oleh itu, kepada kelompok berkenaan, peringatan Sultan Azlan Shah tersebut tepat dituju kepada mereka. Mahu tidak mahu, mereka harus mengakui bahawa tindakan mereka sebenarnya meletakkan orang Melayu dalam bahaya.

Kalaulah isu keistimewaan atau ketuanan Melayu ditimbulkan oleh pihak lain tidak apa, tetapi ini dalam kalangan orang Melayu sendiri.

Tujuan mereka, kononnya ingin menunjukkan keterbukaan dan merekalah pejuang kepada semua kaum.

Tetapi mereka sengaja melupakan bagaimana tindakan tersebut jika tidak dibendung boleh menyebabkan satu masa nanti orang Melayu sudah tidak ada apa-apa lagi di bumi sendiri.

Bak titah Sultan Azlan Shah, jika dibiarkan bangsa (Melayu) akan menghadapi kesesalan di kemudian hari kerana ketika itu kaum Melayu telah dipinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan. Namun percayalah, puak-puak yang rakus mencari kuasa politik ini tidak akan mempedulikan itu semua.

Atas sebab itulah golongan ini perlu ditentang habis-habisan kerana mereka tidak layak berada di bumi Malaysia ini.

Ia kerana perjuangan seumpama itu bukan sahaja akan merugikan orang Melayu, malahan akan turut mengancam kestabilan kaum lain.

Oleh itu, kepada puak tersebut, janganlah terlalu ghairah melihat segala-galanya dari sudut politik, jika tidak mahu dianggap sebagai penderhaka dan pengkhianat kepada bangsa sendiri. Jadikanlah ingatan Sultan Azlan Shah sebagai peringatan sebelum ia terlambat.

Warna-warni politik
Torashah

1 ulasan:

Unknown berkata...

Salam, dan salam perjuangan. Melawat sekejab di blog tuan. Mohon izin, itupun kalau diizinkan utk linkkan blog saya di sini. Terima kasih. Ingat, perjuangan kita belum selesai. Link saya :http://ibm-akusayangumno.blogspot.com/