DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Isnin, 24 Disember 2012

Bekas MB didakwa salah guna kuasa?



Mohammad Nizar Jamaluddin didakwa menyalahgunakan kuasa dalam pemberian konsesi balak ketika menjadi Menteri Besar sepanjang 11 bulan pakatan pembangkang memerintah Perak.

Beliau didakwa menggunakan kuasanya sebagai Menteri Besar bagi meluluskan konsesi itu untuk beberapa syarikat tanpa terlebih dulu membawa permohonan itu ke Jawatankuasa Perhutanan Negeri, sekali gus menyalahi tata cara urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Pendedahan itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, ketika menggulung perbahasan Bajet Negeri 2013 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, semalam.

Tindakan Zambry mendedahkan perkara itu mengakibatkan berlaku ‘perang mulut’ antara Nizar yang juga ADUN Pasir Panjang dan Datuk Ngeh Koo Ham (Sitiawan) dengan Zambry.

Terdahulu, Nizar membangkitkan isu pemberian konsesi balak dengan mendakwa kerajaan negeri tidak telus kerana meluluskan pemberian itu kepada individu sama yang menggunakan enam syarikat berlainan.

Zambry berkata, amalan biasa ialah setiap syarikat yang ingin mendapatkan konsesi perlu mendaftar dengan Jabatan Perhutanan sebelum ia disaring dan diserahkan kepada Jawatankuasa Perhutanan Negeri dipengerusikan Menteri Besar untuk kelulusan.

Cabar lapor SPRM

Nizar kemudian mencabar Zambry melaporkan perkara itu ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengulanginya ketika sidang media sebaik Sidang DUN berakhir.

“Di mana salahnya saya meluluskan pemberian itu. Kita tidak pernah beri konsesi balak kepada syarikat yang sama, kita cabar, bila kita ada buat silap, sila dedahkan, lapor kepada SPRM,” kata Nizar.

Zambry pada sidang media berkata, beliau tidak boleh berbohong ketika dalam DUN dan akan menyerahkan dokumen berkaitan perkara itu kepada SPRM.

Katanya, dalam konsesi balak membabitkan hutan simpan, sesiapa pun yang memohon perlu mengikut peraturan dan keputusannya perlu dibuat jawatankuasa tetapi Nizar langsung tidak membawanya ke mesyuarat sebaliknya terus meluluskan kemudian mengarahkan Jabatan Hutan menguatkuasakannya.-BH

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: