DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Isnin, 20 April 2009

Peringatan Sultan Azlan Shah

Tindakan kumpulan politik tertentu yang menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain mencemar institusi diraja dengan menyemai rasa benci merupakan satu perbuatan ‘menyalakan api dalam sekam.’

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, perbuatan seumpama itu bukan sahaja amat berbahaya tetapi juga boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ketika menyampaikan titah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-81 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam.

Titah baginda, seseorang raja sebenarnya berada ‘di atas politik’ dan tidak boleh turun berdebat secara terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik terbabit.

“Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara.
“Betapa kumpulan politik tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang- undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-81 di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan kerabat-kerabat di raja yang lain. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir. Pada hemat baginda, rakyat negara ini terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

Tegas baginda, dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi mangsa kerana terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian.

Justeru titah Sultan Perak, para pemimpin yang mewakili kumpulan politik berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama antara mereka demi kepentingan negara dan rakyat.

Baginda mengakui hakikat sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara sememangnya berlaku kepincangan dan salah laku serta insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir di negara ini.

Jelas Sultan Azlan Shah, baginda sendiri dari semasa ke semasa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahu pun tertutup berkaitan perkara-perkara yang tergelincir daripada dasar dan garis perundangan.

“Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa individu atau yang berpunca daripada kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.

“Barang dijauhkan Allah, bangsa menghadapi nasib malang ‘menang sorak kampung tergadai’, akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri,” titah baginda. Sultan Azlan turut mahu tafsiran bahawa raja berperlembagaan adalah raja sekadar lambang tanpa sebarang kuasa diperbetulkan segera.

“Raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala perkara yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.

“Perlu ditegaskan bahawa raja berperlembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan serta hak untuk memberi peringatan dan teguran,” titah baginda.

Tegas baginda, peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan Perlembagaan. Raja pemerintah, titah baginda, mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam memastikan semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara agar sentiasa dilindungi.

Justeru, berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, kata Sultan Azlan Shah, raja-raja mempunyai peranan Perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum- kaum lain. - UM

DAULAT TUANKU..

Torashah

2 ulasan:

oyabun berkata...

Titah ucapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sempena penganugerahan darjah kebesaran hari ini merupakan mesej jelas daripada baginda bahawa perbuatan menghasut rakyat oleh kumpulan politik tertentu adalah tindakan liar dan biadab.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, selain itu, ia juga merupakan luahan seorang sultan terhadap tingkah laku sekumpulan pengikut yang sanggup mencemuh institusi raja demi mencapai agenda politik parti masing-masing.

Justeru, katanya, GPMS mahu apa yang disuarakan oleh Sultan Perak itu perlu dijadikan iktibar khususnya orang Melayu mengenai pentingnya menjaga institusi raja daripada dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Dari segi politik, baginda berkecuali, tetapi dalam perkara ini, GPMS yakin baginda terpaksa bersuara kerana tindakan yang dilakukan oleh kumpulan politik berkenaan sudah keterlaluan.

"Baginda berhak menegur dan memberi peringatan kerana perbuatan seumpama itu jika tidak dibendung boleh menyebabkan negara kita menjadi huru hara. Adakah keadaan seperti ini yang kita mahukan?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Perak bahawa tindakan kumpulan tertentu yang menghasut rakyat untuk mencetuskan huru hara selain mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci merupakan satu perbuatan 'menyala api dalam sekam'

Titah Sultan Azlan Shah lagi, perbuatan seumpama itu bukan sahaja amat berbahaya, tetapi juga boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

Syed Anuar berkata, institusi raja merupakan lambang kekuatan bagi orang Melayu di negara ini dan perbuatan mencemar nama baik institusi itu tidak harus berlaku.

''Cuba lihat apa yang berlaku di Thailand. Disebabkan tamakkan kuasa, rusuhan berlaku di sana-sini. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat. Mereka menjadi mangsa akibat kerakusan pihak tertentu,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar mahu mesej yang disampaikan oleh Sultan Perak itu diambil perhatian sepenuhnya oleh semua pihak khususnya parti pembangkang.

Beliau percaya Sultan Perak kurang senang dengan kejadian yang berlaku sebelum ini dan mahu keadaan tersebut tidak lagi berulang pada masa akan datang.

"Baginda memberi peringatan agar jangan ada pihak yang bertindak liar kerana perbuatan seperti itu hanya akan menyebabkan negara menjadi huru hara. Perbuatan ini juga tidak akan memberi manfaat khususnya kepada rakyat.

"Saya amat berharap segala ingatan baginda ini diambil berat terutama seruan baginda supaya institusi raja dipelihara sepenuhnya. Institusi ini merupakan lambang orang Melayu dan ia harus dijaga dengan sebaik-baiknya," katanya.

oyabun berkata...

Hina Sultan: Laporan polis terhadap Malaysiakini

IPOH 22 April - Gagasan Melayu Perak (GMP) hari ini membuat laporan polis terhadap Malaysiakini kerana didakwa menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah melalui penyiaran artikel bertajuk Raja Nazrin Defends Monarchy Against Redicule pada Selasa lalu.

Laporan dibuat oleh Presiden GMP, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail pada pukul 5 petang ini di Balai Polis Sungai Senam di sini.

Ketika ditemui pemberita memberitahu, laporan polis dibuat kerana GMP beranggapan berita yang disiarkan oleh laman web tersebut bersifat kurang ajar dan biadap terhadap institusi beraja di negeri ini.

''Saya merujuk kepada sebuah berita bertajuk Raja Nazrin Defends Monarchy Against Ridicule yang dihantar oleh pengarang menggunakan nama pena 'admin' dan disiarkan di laman web Malaysiakini pada 19 April lalu.

''Berita tersebut adalah maklum balas terhadap komen ditulis oleh seorang pelayar Internet menggunakan nama pena PASOK bertarikh 16 April 2009 pada pukul 11.40 malam yang berbunyi Burn down Istana Perak and hang the Sultan from the tree of democracy (Bakar Istana Perak dan gantung Sultan di pokok demokrasi)," katanya.

Menurut Mohd. Hilmi, laporan berita yang mencadangkan supaya dibakar Istana Perak dan digantung Sultan Perak di pokok demokrasi iaitu pokok yang diagung-agungkan oleh pakatan pembangkang boleh membangkitkan kemarahan rakyat yang taat terhadap Sultan.

Perbuatan tersebut, kata beliau, jelas mempunyai niat untuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 121A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan-kesalahan terhadap tubuh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri yang boleh membawa hukuman bunuh dan denda jika disabitkan kesalahan.

Katanya, GMP mencadangkan supaya pelayar Internet bernama PASOK disiasat di bawah Seksyen 153 Kanun Keseksaan kerana membuat komen 'buas' terhadap Sultan Perak yang membangkitkan kemarahan orang ramai dengan niat menggalakkan rusuhan.

Tambah beliau, PASOK juga boleh disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.

Selain itu, katanya, GMP turut berharap Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan mengambil tindakan terhadap laman web berita ini kerana menyalahgunakan teknologi maklumat sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesannya terhadap keselamatan negara.

''GMP sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga orang Melayu sentiasa menyokong Sultan Perak selaku 'payung mahkota' pemerintahan negeri ini dan berharap titah ucapan Tuanku semasa sambutan Hari Keputeraan baginda pada Ahad lalu dipatuhi oleh rakyat jelata.

''Kita sebagai rakyat tidak boleh menganggap Sultan Perak dan Raja Muda sebagai 'patung' dalam pemerintahan sebab kedua-dua baginda mempunyai taraf pendidikan tinggi bukannya 'al-Quran buruk' seperti diibarat oleh pepatah Melayu," ujarnya.