DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Sabtu, 18 April 2009

Setiausaha DUN Perak digantung...

Speaker DUN Perak, V Sivakumar telah menggantung jawatan setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri kerana mengeluarkan notis untuk mengadakan sidang DUN pada 7 Mei lalu tanpa pengetahuan dan persetujuannya.

Menurut Bernama, dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini, Sivakumar berkata, beliau menggantung tugas Abdullah kerana mengeluarkan notis tersebut yang dianggap sebagai satu tindakan ketidakpatuhan.

"Saya dengan ini bersetuju melantik Mohd Misbahul Munir Marduki untuk menggantikan beliau sebagai Setiausaha DUN sehingga saya mengeluarkan keputusan selanjutnya," katanya. Sivakumar berkata akan menulis surat untuk mendapatkan pengesahan dan penjelasan daripada pihak Istana berhubung perkara itu kerana sebarang notis untuk memanggil DUN bersidang mestilah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Speaker.

"Sementara itu, persidangan DUN yang dikatakan akan berlangsung pada 7 Mei tidak boleh diteruskan sementara menunggu untuk mendapatkan penjelasan.Persidangan DUN berkenaan terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh lain berikutan keperluan untuk memberikan notis 14 hari kepada Anggota DUN," katanya.

Semalam Abdullah mengesahkan bahawa beliau telah mengeluarkan notis untuk bersidang pada 7 Mei kepada semua anggota DUN mulai semalam. Abdullah juga berkata pihaknya telah mendapat perkenan Sultan Perak berhubung persidangan DUN itu semalam dan baginda berkenan menandatangani surat pengisytiharan berhubung persidangan itu. Kali terakhir DUN Perak bersidang adalah pada 13 November 2008 dan sekiranya dewan berkenaan tidak bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir itu, maka DUN Perak akan bubar secara automatik dan pilihanraya bagi DUN perlu diadakan.

Notis mengadakan sidang DUN Perak itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan tindakan Sivakumar menggantung Menteri Besar BN, Datuk Zambry Abd Kadir dan enam ecxconya adalah terbatal dan tidak sah.Ekoran itu, mereka kini boleh menghadiri sidang DUN Perak.-malaysiakini

Torashah

1 ulasan:

oyabun berkata...

Mahkamah adalah institusi terbaik menentukan 'kuasa tidak terbatas' Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar dalam menggantung Menteri Besar serta enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan Dewan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tidak timbul soal badan kehakiman mencampuri kuasa legislatif kerana tiada tempat lebih tepat selain mahkamah untuk mendapatkan penyelesaian terhadap tafsiran perlembagaan dan undang-undang.

"Kita semua tahu apa yang Sivakumar buat salah kerana keputusannya tidak dibawa ke dalam mesyuarat DUN untuk dibentang dan dibahaskan.

"Ini salah dari segi prosedur tetapi mereka kata ia betul, jadi kita pergi mahkamah untuk tahu tafsiran sebenarnya dan menentukan siapa betul dan siapa salah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kebajikan kepada 87 penduduk di Parlimen Padang Rengas, di sini hari ini.

Mohamed Nazri mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mendakwa tindakan Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Sivakumar menggantung Menteri Besar dan enam Exco menghadiri persidangan Dewan sebagai satu bentuk campur tangan terhadap kuasa Speaker.

Menurut Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas, situasi itu jelas berbahaya kerana apa juga keputusan Speaker boleh dikaji semula dan diputuskan oleh badan kehakiman.

Mengulas lanjut, Nazri menyifatkan dakwaan Koo Ham itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh ADUN Sitiawan itu yang juga seorang peguam.

Katanya, undang-undang tidak mungkin memberi kuasa tidak terbatas kepada seseorang Speaker.

"Sebagai peguam, beliau sepatutnya menghormati keputusan mahkamah. Kalau peguam tak hormat, macam mana rakyat biasa akur kepada keputusan dibuat mahkamah," katanya.