DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 19 Mei 2009

Nizar memalukan orang Melayu !

PENDERHAKAAN Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan satu lagi episod yang amat memalukan orang Melayu. Pengisytiharan "mohon derhaka" secara terbuka, tidak pernah tercatat dalam sejarah Melayu.

Sejak perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun di Bukit Siguntang, tidak pernah orang Melayu memohon untuk derhaka. Menurut beberapa kitab historiografi Melayu, sepanjang zaman feudal, hanya dua kali orang Melayu derhaka.

Itu pun tanpa bongkak membuat pengisytiharan terbuka. Sekali oleh Sang Rajuna Tapa di Singapura dan sekali lagi penderhakaan Hang Jebat di Melaka. Apa pun sebab yang membawa kepada penderhakaan itu, kesannya membawa kepada keruntuhan empayar Melayu. Tindakan Sang Rajuna bersubahat dengan Majapahit menyebabkan kerajaan Temasik runtuh.

Sehingga kini, Singapura terus terlepas ke tangan bukan Melayu. Tindakan Hang Jebat pula membawa kepada perpecahan orang Melayu di Melaka sehingga menyebabkan kerajaan menjadi lemah dan akhirnya dijajah Portugis. Peristiwa itu membuka kepada episod penjajahan Barat. Sehingga kini, Melaka kehilangan sultan.

Kini, wujud satu lagi penderhakaan oleh orang Melayu. Alasannya bukan sahaja sangat memalukan, malahan memperlihatkan kerakusan dan ketamakan serta membuktikan Nizar tidak sedar diri. Beliau lupa parti yang diwakilinya menang jumlah kerusi paling sedikit tetapi beliau melaung-laungkan bahawa dirinya mendapat mandat majoriti rakyat?

Jika tidak kerana ehsan Sultan Azlan Shah serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, Nizar tidak akan merasa menjadi Menteri Besar. Sikap Nizar kononnya Pas mendapat sokongan majoriti sangatlah memalukan. Sultan berkuasa untuk melantik Menteri Besar. Jika kabur bahasa undang-undang sekalipun, daripada segi adab, Nizar memberi gambaran betapa biadapnya orang Melayu terhadap Sultan.

Penulis yakin, insiden Nizar menderhaka akan terpahat sebagai sesuatu yang sangat memalukan dalam sejarah orang Melayu. Segala ciri kesantunan, kerendahan hati dan tatasusila Melayu yang menjadi kebanggaan bangsa sudah dipalit arang.

Alasan penderhakaan Sang Rajuna dan Hang Jebat kini telah dirasionalkan oleh orang Melayu. Tetapi penderhakaan Nizar tetap tidak akan diterima oleh orang Melayu sehingga akhir zaman.

Sedarlah Nizar, Allah telah mentakdirkan sedemikian. Apabila Allah menarik balik rezeki itu, anggaplah Dia memberi kesempatan untuk bermuhasabah dan jika perlu, bertaubat.

Sepanjang 11 bulan berkuasa, Nizar banyak melukakan hati Sultan dan orang Melayu. Beliau terikut-ikut dengan rentak biadab sahabat-sahabat yang tidak berkenaan dengan perjanjian Bukit Siguntang itu.


Warna-warni politik
Torashah


Sabtu, 16 Mei 2009

Sultan Perak bukan punca kemelut politik .

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak harus dipersalahkan berhubung krisis politik di Perak dan baginda juga bukan punca kemelut politik di negeri itu. Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Sultan Azlan memutuskan pelantikan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar setelah mengambil kira Barisan Nasional (BN) negeri itu memperoleh majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Keputusan itu, kata Perdana Menteri, dibuat selepas menilai surat perakuan majoriti anggota DUN yang menyatakan sokongan kepada BN. ''Mengikut sistem demokrasi di negara ini, rakyat memilih wakil rakyat dan sultan di negeri-negeri akan melantik calon yang mewakili parti yang mendapat majoriti dalam DUN untuk menjadi Menteri Besar,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang, di sini hari ini.

Najib mengulas kritikan-kritikan pembangkang yang menyalahkan Sultan Perak berikutan krisis politik di negeri itu serta menuduh baginda menjadi punca kepada kemelut politik di Perak yang kini sudah berlarutan lebih tiga bulan. Mengulas lanjut, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak bahawa Sultan Azlan menggunakan prosedur yang sama melantik Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, selepas pakatan pembangkang memenangi majoriti kerusi pada pilihan raya umum 2008.

''Jadi jangan salahkan Tuanku. Baginda (Sultan Perak) menggunakan kaedah dan prinsip yang sama ketika melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru dan tindakan Tuanku (Sultan Perak) itu tidak boleh dianggap melanggar Perlembagaan,'' katanya. Beliau berkata, ketika pakatan pembangkang menang majoriti kerusi DUN Perak selepas pilihan raya umum lalu, ia pun bukanlah gabungan parti yang berdaftar.

Atas kedudukan itu, sekiranya Sultan Perak hendak melantik semula Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali sebagai Menteri Besar, beliau boleh berbuat demikian kerana BN adalah parti tunggal berdaftar yang mendapat majoriti kerusi di DUN Perak pada masa itu. '' Tetapi atas semangat demokrasi berasaskan ketetapan yang dibuat oleh wakil rakyat daripada tiga parti pembangkang di negeri itu (Perak), Tuanku sebaliknya mendapatkan surat perakuan mereka dan melantik Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar," katanya.

Perdana Menteri juga menegaskan pelantikan Zambry melalui proses yang selaras dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak serta sistem demokrasi di negara ini. ''Yang menjadi masalah, dia (pembangkang) tidak terima dan menyusahkan proses ini berjalan, seperti yang mereka lakukan di DUN Perak sekarang. Siapa suruh gantung Menteri Besar dan Exco BN daripada menghadiri Dewan Undangan Negeri Perak.

''Ini bertentangan dengan semangat demokrasi berparlimen," katanya. Perdana Menteri berkata, tindakan sedemikian juga boleh diumpamakan seperti BN yang mempunyai majoriti kerusi di Parlimen bertindak menggantung 20 anggota Parlimen pembangkang jika BN mahu.
'' Masuk akal ke dalam sistem demokrasi, bila sesebuah parti mempunyai majoriti, Speaker boleh gantung enam anggota parti itu. Jika begitulah keadaannya, kita (BN) pun boleh gantung enam orang anggota mereka (pembangkang) di Parlimen," tambah beliau.
Najib juga menafikan beliau menjadi punca kemelut politik di Perak dan harus bertanggungjawab atas tindakannya kerana terbabit 'merampas kuasa' kerajaan negeri Perak pada awal Februari lalu. ''Apabila tiga anggota DUN pembangkang sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan pakatan pembangkang dan menyokong BN, sehingga dia (Mohammad Nizar) turut hilang kepercayaan. Sayakah yang bertanggungjawab?'' tanya beliau.

Perdana Menteri turut mengulas mengenai lompat parti, sambil menjelaskan bahawa ia dibenarkan oleh undang-undang dan ia pernah berlaku di negara lain, termasuk di negara maju.
Menurutnya, bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill pernah beberapa kali berpindah parti dan baru-baru ini seorang senator daripada Parti Republikan di Amerika Syarikat berpindah ke Parti Demokrat. Beliau menjelaskan bahawa BN tidak merampas kuasa kerajaan negeri di Perak kerana peralihan kerajaan dilakukan mengikut peraturan serta undang-undang. - UM
Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 14 Mei 2009

Al-Fatihah Buat Allahyarham Kekanda Sultan Azlan Shah



SITIAWAN - Jumaat, 15 Mei '09:

Belum terlewat untuk saya dan isteri mengucapkan salam takziah ke bawah DYMM Tuanku Sultan Perak dan seluruh kerabat Di Raja Perak khususnya kepada ahli-ahli keluarga terdekat Allahyarham Raja Datuk Seri Baharom Shah Sultan Yussuf Izzuddin Shah, 83, kekanda sulung kepada Tuanku Sultan Azlan Shah yang kembali kerahmatullah jam 10:45 pagi hari Rabu, 13 Mei 2009 di kediamannya di Taman Canning, Ipoh.

Al-fatihah buat Allahyarham Raja Datuk Seri Baharom Shah Sultan Yussuf Izzuddin Shah. Diiringi doa semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau di kalangan para solehin dan solehah.
- Amin -

Daripada: Ahli UMNO Cawangan Kampung Serdang,
Sitiawan, Perak.

Torashah

Selasa, 12 Mei 2009

TAHNIAH NIZAR! DARI PENDUDUK PERAK !

Ke hadapan YAB Dato Seri Nizar, didoakan semoga berada dalam perlindungan Allah hendaknya. Saya mengucapkan tahniah kepada Dato Seri kerana berjaya menjadi Menteri Besar semula dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Sesungguhnya YAB Dato Seri telah mencipta sejarah yang besar serta menjadi orang pertama yang dahulu (the first to achieve several first) dalam sejarah di negara ini.

YAB Dato Seri adalah satu-satunya Menteri Besar di dalam dunia yang mempunyai hanya enam kerusi dari 59. UMNO ada 27, MCA ada satu, DAP ada 17, PKR 5, Bebas 3 dan PAS ada enam. Tetapi kehebatan Dato Seri menjadikan Dato Seri Menteri Besar Perak walaupun mempunyai kerusi yang sedikit.

Kedua Dato Serilah yang pertama memberikan tanah hak milik 999 tahun kepada kampung-kampung baru. Jika lihat sejarah, kampung-kampung baru ini adalah bekas-bekas komunis yang dipindahkan di bawah Rancangan Briggs zaman darurat. Tahniah Dato Seri mengiktiraf pengganas komunis.

Malangnya tidak pula memberi pengiktirafan kepada bekas-bekas tentera yang 99 peratus orang Melayu yang telah berkorban jiwa dan nyawa untuk tanahair. Tahniah Dato Seri.Penghargaan juga kepada YAB Dato Seri kerana menjadi ahli politik PAS pertama merealisasikan konsep Malaysian Malaysia anjuran PAP yang disambung perjuangannya oleh DAP.

YAB Dato Seri juga tahu bahawa Lim Kit Siang, maestro DAP itu adalah bekas setiausaha politik Lee Kuan Yew dan merupakan penyambung perjuangannya di Tanah Melayu selepas Singapura disingkirkan dari Malaysia.YAB Dato Seri saya juga mengucapkan tahniah kepada YAB Dato Seri kerana berani mengenepikan Raja dan lebih patuh serta taat kepada Ngeh dan Nga lebih daripada DYTM Sultan Perak.

Dato Serilah wira. Dato Seri tahniah juga kerana walaupun berdarah separuh Cina, Dato Seri lebih Cina dari Cina-cina lain sebab sanggup menggunakan agama Islam untuk menjual orang-orang Melayu Perak.Ini bukan sembah derhaka cuma doa saya agat kubur YAB Dato Seri tidak akan dikencing anak cucu kita nanti bila agama, negara dan bangsa sudah tergadai demi semata-mata untuk YAB Dato Seri mencapai cita-cita Dato Seri menjadi Menteri Besar.

Akhir kata saya doakan agar YAB Dato Seri dilindungi Allah swt dan dibukakan hati untuk melihat kebenaran.

Amin

Salam Hormat

Rahimi Ariffin
Kg Seri Kinta
Ipoh Perak

MINTA JASA BAIK RAKAN-RAKAN SEMUA UNTUK SEBARKAN MAKLUMAT INI

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 9 Mei 2009

KEZALIMAN MINORITI

1. Secara terus terang saya tidak menjangkakan tindakan paling tidak bertamaddun sanggup dilakukan oleh Pakatan Pembangkang dalam Persidangan Dewan Perak baru-baru ini. Bukan hanya dengan tindakan bekas speaker, Sivakumar, yang keterlaluan, tetapi juga tindakan para juak ADUN-ADUN yang dengan ganas menyeberang ke arah ADUN-ADUN BN termasuklah sewaktu saya hendak bercakap.

2. Saya menjangkakan mereka akan bertindak untuk duduk di kawasan sebelah kanan seperti yang selalu ditanya oleh para wartawan. Demi menjaga keharmonian Dewan dan menghormati Dewan yang akan dirasmikan oleh DYTM Tuanku Pemangku Raja, maka saya dan rakan-rakan tidak mengendahkan tindakan mereka yang awal-awal lagi sudah mengubah tempat duduk kami.

3. Tanpa menghormati agenda persidangan, apatah lagi menghormati Tuanku Raja Nazrin speaker terus memanaskan Dewan dengan mengarahkan saya dan sembilan ADUN yang lain meninggalkan Dewan. Keadaan menjadi tegang apabila segerombolan ADUN-ADUN mereka terus menyeberang dan menyerang saya yang bangun untuk berucap.

. 4 Saya katakan bahawa saya tidak akan membenarkan the tyranny of the minority (kezaliman dan kekejaman golongan minoriti) untuk bertindak ke atas golongan majoriti dalam Dewan. Sewaktu mereka menjadi majoriti kita akur meskipun Dewan dipenuhi dengan hujah-hujah panas.

5. Maka saya terus mengusulkan pelucutan jawatan speaker dengan menggunakan peruntukan 13 (2) dalam Perintah Tetap. Setelah diluluskan dengan 31 menyokong, maka Timbalan Speaker mengambil tempat untuk meneruskan persidangan sehinggalah pencalonan Speaker yang baru dibuat.

.6 Di waktu ini mereka terus menunjukkan tindakan-tindakan biadab, aggresif dengan tidak memperdulikan peraturan sehinggakan Timbalan Speaker yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) dimaki-hamun dengan kecacatannya, dibaling buku Perintah Tetap, ditolak untuk menggagalkannya ketika mempengerusikan mesyuarat. Lebih dahsyat setiap kali Speaker baru hendak bercakap kertas ucapannya dirampas dan dikoyakkan. Mikrofonnya dipatahkan. Saya menyaksikan tidak kurang empat mikrofon dipatahkan di tempat-tempat yang diduduki oleh Speaker.

7. Namun saya tetap sabar melihat keganasan mereka. Sementara dalam masa yang sama saya memerhatikan tingkah laku tiga-N (Nizar, Nga, Ngeh) yang duduk di tempat duduk masing-masing seperti sutradara. Saya bertanya kepada Thomas Su (ADUN DAP) apakah saudara mahu menjadikannya seperti Taiwan. Katanya, “ya, saya sudah bersedia”.

8. Selama lebih empat jam kami diserang, namun kami bersyukur kerana masing-masing dapat mengawal perasaan meskipun diperlakukan bermacam cara. Maka usul untuk mengubah aturan mesyuarat dibuat.

9. Sivakumar yang sudahpun menjadi “mantan” tetap berdegil tidak mahu meninggalkan kerusi speaker. Maka R.Ganesan yang sudahpun mengangkat sumpah sebagai speaker baru memberi arahan kepada Bentara dengan dibantu oleh pihak polis bagi membawanya keluar. Bentara sudah tercedera diwaktu ini. Tetap akhirnya ia berjaya dibawa keluar.

10. Akhirnya sampai ke peringkat Titah Perasmian Tuanku yang sudahpun menanti begitu lama dan amat sabar sekali. Sewaktu Tuanku berangkat masuk ke Dewan dan bersemayam mereka (ADUN-ADUN Pembangkang) enggan duduk di kerusi masing-masing. Sehinggalah Nizar dan Ngeh dititahkan mengadap barulah masing-masing mengambil tempat.

11. Selepas Titah Tuanku, saya mengusulkan Dewan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian dan disokong oleh YB Sungai Rapat.

12. Dalam tulisan saya sebelum ini saya sudah mengatakan bagaimana dilemma Nizar dan rakan-rakannya samada hendak hadir atau tidak. Kalau hadir bermakna ia mengiktiraf kerajaan yang ada dan sidang Dewan, tetapi kalau tidak hadir ia hilang peluang untuk menunjukkan aksi-aksi drama yang hebat. Maka dia hadir. Dan tidak mengejutkan saya bila Dewan ditangguhkan beberapa orang ADUN mereka datang bersalam dengan saya sambil mengatakan “ok, it’s over”. Lalu saya bertanya kenapa mereka sanggup membuat begini bagaikan suatu drama yang direka-cipta untuk terus menimbulkan kegelisahan rakyat dengan skrip-skrip baru yang diolah agar rakyat terus menyokong mereka.

13. Percayalah selepas ini saudara/i semua akan menyaksikan sebuah drama baru yang akan ditayangkan ke seluruh Negara dengan menunjukkan “kezaliman” BN. Sampai bilakah rakyat akan menjadi mangsa kebuasan nafsu kuasa mereka?
Salam Perjuangan!

DATO' SERI DR ZAMBRY B ABD. KADIR

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 6 Mei 2009

Nizar reka cerita dongeng?

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disifatkan hanya mereka cipta cerita dongeng dalam usahanya mengekalkan jawatan meskipun beliau telah hilang kepercayaan daripada majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (DUN), Februari lalu.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, ia bagaimanapun hanyalah versi cerita Mohammad Nizar yang dilihat hanya mempunyai ingatan terpilih bagi rentetan kejadian itu.

Justeru, katanya, mahkamah seharusnya meneliti kepada dokumen-dokumen termasuk keterangan serta afidavit-afidavit yang telah difailkan oleh semua pihak terlibat dalam semakan kehakiman itu sebelum membuat keputusan berhubung kes tersebut.

Jelas beliau, fakta dalam kes itu jelas menunjukkan bahawa tiga ADUN iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong telah menarik balik surat peletakan jawatannya walaupun Mohammad Nizar mendakwa tidak mengetahuinya semasa menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Malahan, katanya, ketiga-tiga ADUN itu telah memaklumkan sendiri keputusan mereka kepada Sultan Perak dan ini sekali gus membuktikan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 31 ADUN.

''Semua fakta tersebut terkandung dalam dokumen yang ada di hadapan Yang Arif,'' katanya ketika berhujah dalam semakan kehakiman dikemukakan oleh Mohammad Nizar, 52, pada 13 Februari lalu untuk mencabar kesahihan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak.
Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar mendakwa beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan kepada perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati Sultan untuk membubarkan sidang DUN.

Selain itu, Mohammad Nizar mendakwa, beliau tidak pernah meletak jawatan mahupun terdapat sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya supaya melepaskan jawatan.
Mohammad Nizar sebelum ini turut memberi keterangan selama dua hari mulai Isnin lalu bagi prosiding permohonan beliau untuk membuat pemeriksaan balas terhadap Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid yang didakwa tidak konsisten dalam afidavitnya.

Dalam hujahannya, Cecil juga menyatakan bahawa berdasarkan kepada Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP), Sultan Perak mempunyai hak untuk menolak permintaan Mohammad Nizar bagi membubarkan DUN.

Menurutnya, setelah Sultan Perak melaksanakan prerogatif Baginda untuk tidak membubarkan Dewan mengikut perlembagaan negeri itu, Mohammad Nizar seharusnya meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar pada waktu itu.

Justeru, katanya, tidak timbul isu bahawa Mohammad Nizar selaku pemohon dalam semakan kehakiman itu menggunakan budi bicaranya sendiri atau cuba kekal sebagai Menteri Besar kerana jawatan itu telah pun dikosongkan.

Ekoran kekosongan jawatan itu, hujah Cecil, Sultan Perak mengikut Perkara 16(2) UTKP yang mempunyai budi bicara untuk mengisi kekosongan tersebut berdasarkan pengadilannya terhadap pihak yang telah mendapat kepercayaan majoriti anggota DUN. Beliau juga menegaskan bahawa pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar pada 6 Februari lalu dibuat mengikut Perkara 12 dan Perkara 16(2) UTKP.

''Pelantikan responden (Zambry) sebagai Menteri Besar adalah sah dan mengikut undang-undang. Apatah lagi, responden telah pun mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak dan menerima surat yang mengesahkan pelantikannya,'' katanya. Prosiding di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim bersambung esok.

Isnin, 4 Mei 2009

Pas jangan biar diri terus menjadi tunggangan !


MEMPERKATAKAN isu politik di Negeri Perak memang berat dan kecoh. Betapa tidak kerana bekas Menteri Besar negeri itu dan bekas ahli Exconya tidak faham sama sekali tentang kedudukan lantikannya. Sangat mudah untuk difahami. Pelajar sekolah rendahpun kalau ditanya boleh jawab dengan mudah, bak kata Datuk Hassan Ahmad (mengira dalam bahasa Inggeris 3+2 > 5). Tetapi bekas Menteri Besar itu seorang jurutera dan kiraan matematiknya juga lebih susah dan berat.

Apa yang susah sangat. Mereka dipilih menerusi pilihan raya oleh rakyat sebagai wakil rakyat. Dan apabila mereka mendapat lebih perwakilan yang menang, mereka diangkat membentuk kerajaan. Di kalangan mereka yang menang itu dicadangkan pula menganggotai Barisan Exco Negeri yang diketuai oleh seorang Menteri Besar. Menteri Besar dan Exco dilantik atas perkenan DYMM Sultan Perak.

Soalnya sekarang, Wakil Rakyat yang di sebelah pihak mereka seramai 31 orang itu tiga orang daripadanya keluar menjadi wakil rakyat Bebas, menjadikan jumlah majoriti mereka kurang kepada 28 sahaja. Tiga wakil rakyat tadi berpindah untuk menyokong Barisan Nasional yang sebelumnya 28 wakil, menjadi 31 orang seterusnya membentuk majoriti dan membentuk kerajaan. Hal ini menjadikan kerajaan yang tumbang itu kelam kabut dan memberontak.

Masalah Pas kini ialah daripada parti pembangkang yang dipandang tinggi serta dihormati kini bertukar menjadi biadap bukan sahaja kepada institusi Raja Melayu, malah masyarakat umum bangsa Melayu. Kenapa sehingga seperti orang hilang pedoman. Kalau DYMM Sultan telah titah kosongkan jawatan, patuhlah. Begitulah akibatnya kalau sudah bersekongkol dengan PKR dan DAP, bagaikan ' kerbau yang terpalit lumpur '.

Pas harus berusaha untuk mengasingkan diri dari Pakatan Rakyat yang agendanya bagai 'nila setitik, habis susu sebelanga'. Rosak semuanya dan tidak boleh diminum. Tidak mengapa kalau berjuang bersendirian, tetapi dihormati dan dipandang tinggi daripada berkumpulan dan menjadi tunggangan kepada orang lain.

Cuba tanya pada diri sendiri, adakah Pas memperjuangkan Islam untuk mengejar kebaikan dunia dan akhirat? Atau menjadi unta yang menyimpan air pada badannya untuk diberi minum kepada penunggangnya ketika di tengah padang pasir, dan seterusnya dibiarkan sahaja apabila penunggangnya sampai ke tempat yang dituju?

PAKU PAYUNG
Warna-warni politik
Torashah