DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Rabu, 6 Mei 2009

Nizar reka cerita dongeng?

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disifatkan hanya mereka cipta cerita dongeng dalam usahanya mengekalkan jawatan meskipun beliau telah hilang kepercayaan daripada majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (DUN), Februari lalu.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, ia bagaimanapun hanyalah versi cerita Mohammad Nizar yang dilihat hanya mempunyai ingatan terpilih bagi rentetan kejadian itu.

Justeru, katanya, mahkamah seharusnya meneliti kepada dokumen-dokumen termasuk keterangan serta afidavit-afidavit yang telah difailkan oleh semua pihak terlibat dalam semakan kehakiman itu sebelum membuat keputusan berhubung kes tersebut.

Jelas beliau, fakta dalam kes itu jelas menunjukkan bahawa tiga ADUN iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong telah menarik balik surat peletakan jawatannya walaupun Mohammad Nizar mendakwa tidak mengetahuinya semasa menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Malahan, katanya, ketiga-tiga ADUN itu telah memaklumkan sendiri keputusan mereka kepada Sultan Perak dan ini sekali gus membuktikan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 31 ADUN.

''Semua fakta tersebut terkandung dalam dokumen yang ada di hadapan Yang Arif,'' katanya ketika berhujah dalam semakan kehakiman dikemukakan oleh Mohammad Nizar, 52, pada 13 Februari lalu untuk mencabar kesahihan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak.
Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar mendakwa beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan kepada perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati Sultan untuk membubarkan sidang DUN.

Selain itu, Mohammad Nizar mendakwa, beliau tidak pernah meletak jawatan mahupun terdapat sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya supaya melepaskan jawatan.
Mohammad Nizar sebelum ini turut memberi keterangan selama dua hari mulai Isnin lalu bagi prosiding permohonan beliau untuk membuat pemeriksaan balas terhadap Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid yang didakwa tidak konsisten dalam afidavitnya.

Dalam hujahannya, Cecil juga menyatakan bahawa berdasarkan kepada Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP), Sultan Perak mempunyai hak untuk menolak permintaan Mohammad Nizar bagi membubarkan DUN.

Menurutnya, setelah Sultan Perak melaksanakan prerogatif Baginda untuk tidak membubarkan Dewan mengikut perlembagaan negeri itu, Mohammad Nizar seharusnya meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar pada waktu itu.

Justeru, katanya, tidak timbul isu bahawa Mohammad Nizar selaku pemohon dalam semakan kehakiman itu menggunakan budi bicaranya sendiri atau cuba kekal sebagai Menteri Besar kerana jawatan itu telah pun dikosongkan.

Ekoran kekosongan jawatan itu, hujah Cecil, Sultan Perak mengikut Perkara 16(2) UTKP yang mempunyai budi bicara untuk mengisi kekosongan tersebut berdasarkan pengadilannya terhadap pihak yang telah mendapat kepercayaan majoriti anggota DUN. Beliau juga menegaskan bahawa pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar pada 6 Februari lalu dibuat mengikut Perkara 12 dan Perkara 16(2) UTKP.

''Pelantikan responden (Zambry) sebagai Menteri Besar adalah sah dan mengikut undang-undang. Apatah lagi, responden telah pun mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak dan menerima surat yang mengesahkan pelantikannya,'' katanya. Prosiding di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim bersambung esok.

Tiada ulasan: