DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Ahad, 18 Oktober 2009

Najib, UMNO dan pembaharuan!

Pada satu majlis rumah terbuka di ibu negara sehari sebelum Perhimpunan Agung UMNO, Awang berkesempatan duduk bersebelahan veteran UMNO, Aziz Tapa. Sambil menikmati juadah, kami berbual dan topiknya ialah kepimpinan dan UMNO.

Dalam bahasa yang mudah serta kerap diselang seli dengan pantun yang disampaikan secara spontan, Aziz memberikan perspektif tentang parti itu. Sudah tentu juga perbualan tidak dapat lari daripada menyentuh kepimpinan presidennya, Mohd. Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri. Pengamatannya dalam mengupas banyak perkara masih tajam apatah lagi isu politik dan perjalanan UMNO.

''Saya ada keyakinan kepada beliau untuk memulihkan kekuatan UMNO," kata Aziz, 83, sambil menghirup kuah laksa utara. Malah beliau meramalkan Najib akan memberikan impak pada perhimpunan UMNO ke-60. ''Kita tunggulah esok," katanya. Apa yang veteran UMNO itu ramalkan tepat. Ucapan Najib pada perasmian perhimpunan itu kemudiannya meledakkan semangat dan keyakinan baru. Bukan mudah bagi mana-mana pemimpin memberikan impak penampilan awal sebagai peneraju sesebuah parti tetapi Najib membuktikan sebaliknya.

Sudah beberapa tahun kebelakangan ini, perwakilan dan ahli-ahli UMNO tidak merasakan gelombang keyakinan itu yang ternyata dapat dinyalakan semula oleh Najib. Sesiapa sahaja yang berada di Dewan Merdeka ketika itu dan bagi mereka yang menyaksikan siaran secara langsung menerusi televisyen, dapat merasakannya.

Selepas mengikuti ucapan perasmian yang membuka mata banyak pihak sama ada dalam mahu pun luar UMNO, ada yang menjangkakan ucapan penggulungannya mungkin tidak sama impak ucapan perasmian. Penggulungan beliau sama sahaja kesannya. Energi dan keyakinannya lebih menebal. Semboyan pembaharuan semakin kuat bergetar. Para perwakilan pulang dengan membawa sama keyakinan itu.

Dan keyakinan terhadap Najib bukan sesuatu yang baru berputik. Sejak beliau menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri kebolehannya diakui ramai. Ia lebih terserlah apabila menjadi Perdana Menteri. Walaupun mengambilalih dalam keadaan politik yang amat mencabar dan kedudukan UMNO yang goyah serta persepsi terhadap kerajaan merudum kesan daripada keputusan pilihan raya umum lepas, Najib dalam tenang mengorak langkah pembaharuan termasuk menerusi gagasan 1 Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Gagasan itu pada mulanya menjadi bahan sinikal banyak pihak tetapi kini penerimaannya cukup baik. Rakyat semakin jelas berdasarkan banyak petunjuk positif yang sememangnya berorientasikan rakyat. Gerakan pembaharuan beliau cukup ketara daripada peningkatan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi dan perpaduan sehinggalah kepada pemantauan prestasi kementerian dan barisan menteri bagi melonjakkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Najib sedar jika beliau tidak mempunyai kekuatan dalam pelaksanaan apa yang dijanjikan, pembaharuan tidak akan menjadi kenyataan dan tinggal sebagai retorik. Pengurusan beliau dalam isu-isu semasa yang selalunya panas seperti kes Teoh Beng Hock, PKFZ, kemelut MCA, kempen anti Malaysia di Indonesia dan sentimen perkauman nampak lebih kemas dan menyakinkan.

Cara beliau menangani mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad juga lebih bijak dan tanpa mencetuskan ketegangan. Adakalanya Najib mengambil kira pandangan Dr. Mahathir dan ada ketika lain, beliau menolak tetapi dengan cara yang cukup harmoni. Satu lagi ciri Najib, beliau tidak mudah memberikan respons apatah lagi melatah apabila dikritik termasuk oleh Dr. Mahathir.

Ini menampakkan kepada rakyat bahawa Najib amat menyanjungi bekas bosnya itu dan pada masa yang sama memperlihatkan sikap keterbukaannya. Awang percaya, Dr. Mahathir cukup memahami hakikat semua pihak boleh memberikan apa sahaja pandangan dan maklum balas tetapi akhirnya yang membuat keputusan adalah Perdana Menteri. Berkaitan UMNO, dapat dirasakan Dr. Mahathir lebih gembira dengan perkembangan positif yang mewarnai UMNO kini di bawah kepimpinan Najib.

Seperkara yang lebih menarik perhatian ialah keprihatinan Najib kepada usaha menangani kemiskinan sama ada di luar bandar mahu pun di bandar. Tumpuan beliau kepada usaha tersebut menerusi pelbagai insentif yang diberikan tidak kira kecil, sederhana mahupun besar sejak menjadi Perdana Menteri, memperlihatkan komitmennya yang tinggi. Malah Awang mendapat tahu daripada seorang pegawai Perdana Menteri, Najib sebak dan terhenti seketika semasa memuatkan soal kemiskinan ketika menulis ucapan untuk Perhimpunan Agung UMNO.

Selain tersentuh dengan penghujung ucapan beliau yang membangkitkan semangat dan keyakinan, Awang turut terharu apabila Najib bercakap tentang adanya rakyat yang masih kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang. Beliau membawa keluh kesah rakyat tentang makan pakai, sewa rumah, susu, kain lampin dan perbelanjaan pengangkutan seharian. Awang amat bersyukur kerana Najib memahami denyut nadi rakyat dalam erti kata sebenar.

Sebab itu, Awang sangat berharap pelan pembaharuan Najib untuk negara dan UMNO berjaya. Bukan sesuatu yang mudah untuk menjayakan perubahan apatah lagi melibatkan soal sikap dan nilai. Dr. Mahathir yang banyak melakukan provokasi untuk mengubah sikap ahli UMNO dan orang Melayu, pernah mengaku gagal meskipun beliau dilihat paling banyak berjasa.
Sesungguhnya, realiti di Dewan Merdeka tidak sama dengan realiti di peringkat akar umbi dan kehidupan harian.

Persekitaran sebenar mudah melemaskan aktivis politik dalam era materialistik. Inilah cabaran UMNO. Ada yang awal-awal sudah skeptikal kemampuan UMNO untuk berubah. Tetapi Awang yakin jika asakan kepada perubahan itu kuat, berterusan dan dilakukan secara sistematik, UMNO akan berjaya. Seandainya berlaku peningkatan 30 peratus sahaja daripada segala pelan pembaharuan, UMNO akan mendapat lonjakan sokongan yang besar daripada rakyat.

Namun mengharapkan para pemimpin, ketua bahagian serta jentera di akar umbi mengubah sikap dan bekerja keras sahaja tidak memadai. Ia memerlukan pengawasan yang ketat dan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap bahagian UMNO. Setakat ini, rakyat khususnya orang Melayu tertarik dengan semboyan pembaharuan UMNO dan akan memerhati penuh minat pencapaiannya. Ramai memberikan maklum balas positif kepada pindaan perlembagaan UMNO yang antara lain bagi mengatasi gejala politik wang dan menjadikan UMNO lebih demokratik dalam memilih barisan kepimpinan.

Pindaan perlembagaan itu juga adalah antara janji awal Najib yang ternyata beliau laksanakan. Setakat ini, reputasi beliau dalam menunaikan janji-janjinya cukup baik. Satu lagi cabaran UMNO ialah bagaimana parti itu mengambil pendekatan yang berkesan dalam membawa agenda Melayu pada ketika Perdana Menteri mahu menjayakan gagasan 1Malaysia.

Di manakah agenda Melayu, yang selama ini menjadi faktor utama orang Melayu memberikan sokongan kepada UMNO? Nada yang biasanya lantang dalam membangkitkan isu kepentingan Melayu sudah kelihatan agak lembut sepanjang sesi perbahasan perhimpunan kali ini.
Tetapi apakah agenda Melayu hanya perlu disampaikan dengan nada yang lantang?

Mungkinkah ada cara yang terbaik ia digerakkan tanpa menjejaskan 1Malaysia? Awang percaya dan berharap UMNO tidak akan sedikitpun lesu dalam meneruskan agenda Melayu. Orang Melayu masih banyak yang miskin dan keciciran dalam pelbagai bidang terutama sektor perniagaan dan swasta. Dalam UMNO komited untuk turut menjaga kepentingan kaum lain, Awang yakin Najib dan timbalannya, Muhyiddin Yassin tentu ada cara dalam menyulam persoalan ini agar agenda Melayu tidak menyusut. Ia memerlukan kebijaksanaan barisan kepimpinan UMNO dalam mencanai realiti politik baru.

Pada masa yang sama, mesej Najib bahawa UMNO bukan rasis diharap menyerap kepada semua pihak bukan Melayu terutama pembangkang, parti komponen dalam BN dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Najib telah memberikan hujah yang bernas, yang tiada siapa boleh ragui. Awang amat setuju dengan penegasan beliau kerana selama ini UMNO dan orang Melayu menjadi pelindung terbaik kepada kaum lain.

Atas kemurahan hati orang Melayu dan UMNO jugalah menyebabkan kaum lain menguasai ekonomi. Semoga parti bukan Melayu lain turut berubah dengan menjaga kepentingan Melayu. Persoalannya, apakah mereka bersedia? Apa pun, Najib telah memulakan pencak kebangkitan UMNO yang membuatkan semua teruja. Inilah makna kepimpinan. Sejarah tamadun dunia sentiasa menyaksikan, kebangkitan semula tercapai apabila muncul pemimpin yang dinamik dan meronta jiwa pembaharuannya. Menurut mereka yang rapat dengan beliau, sukar untuk membaca Najib.

Marahnya mampu disorok, sukanya kepada seseorang tidak ditunjuk, lawannya tidak dilayan seperti musuh tetapi apabila bertindak cukup menusuk. Orang seperti Najib boleh bertindak dalam senyum. Kepada menteri, menteri besar, pengerusi badan perhubungan dan ketua bahagian selain pemimpin komponen BN yang gagal berubah demi untuk survival parti dan rakyat, masa hukuman pasti tiba. Begitu juga pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bermasalah seperti dibangkitkan oleh perwakilan. Bersedialah.

- Awang Selamat

1 ulasan:

Lebai Mangkuk berkata...

Bagus le tu, baru sedar nak bangkit.
Selama ni dok wat ape? main kote & cipap aje ke?