DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Isnin, 16 Mei 2011

Kos berubat lebih mahal daripada sekilo gula, sekotak rokok!

Selamat Hari Guru cikgu! Khabarnya ada berita istimewa hari ini. Tetapi sebelum ini, harga gula naik lagi, RM2.30 sekilogram. Kenaikan ini tentunya disambut gembira oleh ‘pelabur politik’ yang sentiasa mencari modal untuk menghentam kerajaan.

Mereka peduli apa dengan alasan yang diberi. Bagi mereka, alasan itu hanya ‘gula-gula’ menyedapkan hati. Mereka sinis dengan alasan bahawa harga di Malaysia masih rendah berbanding Indonesia RM3.80 sekilogram, Singapura RM3.61, Thailand RM2.31 dan Filipina RM4.50. Mereka tidak peduli bahawa kerajaan masih menanggung subsidi RM283.4 juta setahun walaupun kenaikan itu menjimatkan RM116.6 juta.

Subsidi ini pula dinikmati oleh semua orang tak kira fahaman politik. Begitu juga dengan berjuta pendatang asing sama ada secara izin atau tanpa izin - dari ASEAN, Asia atau Afrika turut menikmati subsidi ini.

Tidak dinafikan semakin ‘tua’ dunia ini semakin tinggi kos kehidupan. Jarang sekali harga barang turun. Kebelakangan ini hujan pun dah jarang turun. Disangka panas hingga ke petang rupanya hingga ke tengah malam. Ditambah pula dengan suhu panas politik ciptaan manusia yang rakuskan kuasa dan kedudukan sehingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamat dan cita-cita mereka tercapai.

Kembali kepada harga gula. Awal tahun lalu, penulis pernah menulis mengenai Bicara harga kembar si manis dan si racun pembawa diabetes. Ia mengenai kenaikan harga gula dan rokok.

Awal tahun lalu, harga sekotak rokok 20 batang ialah RM6.40 manakala harga gula naik 20 sen menjadi RM1.65 sekilogram. Itu harga pada Januari 2010. Kini sekotak rokok 20 batang mencecah RM10 hingga RM10.70.

Seperti yang pernah diselak sebelum ini, rokok dan gula adalah kembar yang menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik. Mungkin ada yang marah-marah jika kita diminta bersyukur dengan kenaikan harga ini kerana ada hikmahnya.

Pelbagai cara sudah dilakukan khususnya oleh Kementerian Kesihatan untuk mendidik rakyat supaya menjauhi tabiat merokok dan mengurangkan penggunaan gula. Kempen yang dianjurkan termasuk mempamerkan iklan Tak Nak yang merujuk kepada katakan tidak kepada rokok. Mungkin orang lebih gemar melihat iklan Hapuskan ISA daripada menghayati kata-kata yang dipamerkan oleh Kementerian Kesihatan. Kadangkala manusia lebih suka kepada keuntungan jangka pendek daripada jangka panjang. Bagi mereka, yang utama ialah mengurangkan harga gula sementara soal kos kesihatan di tempat kedua. Mereka lupa bahawa kos mengubat penyakit akibat gula dan rokok lebih tinggi daripada harga sekilogram gula atau sekotak rokok.

Ramai yang sedar pelbagai bahan kimia dan toksik yang ada pada rokok bertukar menjadi ‘racun’. Kajian menunjukkan, dalam rokok ada gas beracun pada ekzos kereta, racun rumpai, peluntur cat, pembersih lantai, racun semut putih, gas beracun, minyak pemetik api, minyak roket, racun gegat, sebatian organik yang mudah terbakar, bahan bateri kereta, racun serangga dan macam-macam lagi.

Begitu juga dengan pelbagai penyakit yang disebabkan rokok. Semua orang tahu mengenainya tetapi tidak ramai yang peduli. Lihatlah sejauh mana kesannya amaran imej ngeri pada kotak rokok.

Selak di bawah tajuk Hijrah demi undang-undang dan nyawa manusia pada 29 Disember 2008 menyentuh mengenai pengenalan imej ngeri penyakit pada kotak rokok. Turut disentuh sikap tidak ambil berat terhadap peraturan dan undang-undang serta penguatkuasaan berkaitan larangan merokok.

Pada 22 Jun 2009, penulis menulis Apabila perokok ketegar, undang-undang jadi ‘hiasan’. Larangan merokok wujud di sana sini tetapi adakah perokok peduli?

Apabila pemimpin yang menjadi idola bercakap mengenai rokok, mungkin ramai yang tidak ambil pusing. Contohnya kuliah Jumaat oleh Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mana satu yang menarik perhatian sama ada kenyataan berkaitan perokok atau pelaku video seks?

Kata Nik Abdul Aziz seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar: Orang yang terbabit dalam komplot video berkenaan akan teruk nanti, selagi tak jilat kaki Anwar atas dunia ni, tak boleh masuk syurga dan ini sudah sah (tak masuk syurga). Hanya Allah saja yang dapat mengampunkan dosa mereka.

(Nota: Diharapkan kenyataan ini tidak terpakai kepada kes video seks sahaja tetapi kes lain yang pernah mendapat perhatian orang Pas. Begitu juga dengan tuduhan terhadap pemimpin BN termasuk Dr. Mahathir Mohamad pada masa lalu).

Perokok tentunya tidak tertarik dengan kenyataan Nik Abdul Aziz mengenai umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman melalui jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.

Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang- undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah). Maka mereka yang melakukan perbuatan (merokok) itu dianggap lebih hina daripada lembu.

Setakat ini, undang-undang berkaitan larangan merokok sekadar hiasan. Lebih mendukacitakan, papan kenyataan berkaitan larangan merokok pun dirosakkan.

Kata orang mencegah lebih baik daripada mengubati. Sama seperti kesan merokok, gula juga membawa pelbagai penyakit. Ada yang kata lebih 60 dan ada yang percaya lebih 136 jenis penyakit.

Semua orang sedar penyakit angkara gula tetapi sekali lagi lebih ramai yang lupa penyakit ketika memesan teh tarik atau minuman bergula yang lain. Biar berapa harganya, teh tarik terus jadi pilihan.

Ketika ini lebih ramai yang ‘bising’ mendengar harga gula naik kerana mereka bimbang minuman dan makanan juga melambung harganya. Justeru eloklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan lebih tegas.

Diharapkan, menteri berkenaan, Ismail Sabri Yaakob bertegas dengan kenyataannya bahawa peniaga yang didapati menaikkan harga minuman dan makanan berikutan kenaikan harga gula akan berhadapan hukuman keras termasuk penjara seperti diperuntukkan di bawah Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010.

Akhirnya, bagi orang Islam, renungilah firman Allah SWT ini yang bermaksud: Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan (Surah al-Baqarah 2:195).-UM.

Warna-warni politik
Torashah..

1 ulasan:

UMNO PARTI PENJARA berkata...

pilihlah yg terbaik...








Politik BN Politik Setan - Undi BN Undi Haram. Adik2 wajib bersumpah tidak mengundi BN. Sayang adik :-)
>>>http://Blog1Malaysia.blogspot.com/<<<