DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Ahad, 29 Januari 2012

50,000 meriahkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Sitiawan!

Najib Tun Razak bersama Rosmah Mansor bermesra dengan Tan Yee Syuen, 3, dan Tan Chang Yuen, 2, ketika mengunjungi keluarga Tan Kiew Siew, 40, dan isteri Chong Lee Chuan, 38, di Taman Sepakat, Kampung Selamat, sebelum menghadiri majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di padang Lapangan Terbang Sitiawan, malam tadi. Turut hadir Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, penganjuran majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di padang Lapangan Terbang Sitiawan malam ini berjaya apabila dihadiri kira-kira 50,000 pengunjung pelbagai kaum.

Beliau berkata, ini terbukti apabila setiap pelusuk padang yang luas itu dipenuhi pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat.

“Perhimpunan terbesar ini (orang tanya) siapa yang bilang (kira)? kita yang bilang... kerana kawasan yang besar ini dipenuhi dengan pengunjung dari empat pelusuk (padang) yang mahu meraikan perayaan ini bersama,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Rais berkata, beliau bangga kerana masyarakat Cina yang hadir bukan sahaja dari Sitiawan malah pelbagai kawasan berhampiran.

Selain itu, katanya, sambutan Tahun Naga mengikut kalendar Cina pada perayaan Tahun Baru perlu dijadikan elemen perpaduan di bawah gagasan 1Malaysia.

“Tahun Naga merupakan simbolik pada tahun ini kerana ia mempunyai kuasa dan sifat yang berbeza dengan makhluk yang lain.

“Naga juga membawa kekuatan, kebahagiaan serta nilai-nilai yang boleh dibanggakan. Ini boleh dijadikan lambang perpaduan rakyat yang berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Rais turut melahirkan perasaan bangganya dengan majlis yang dianjurkan apabila 250 tarian naga dipersembahkan dicatat dalam Malaysia Books of Record.

“Tarian kebudayaan yang dipersembahkan malam ini juga membawa erti perjuangan di Malaysia dan juga di kawasan ini (Lumut),” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta pelbagai persembahan lain, antaranya pelancaran gimik, artis dan kumpulan kesenian.

Sementara itu : Warisan, kebudayaan kaum Cina terus dipertahan – kata PM

Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa setiap warisan dan kebudayaan yang membentuk identiti serta jati diri kaum Cina di negara ini akan terus dipelihara.

Perdana Menteri berkata, kepimpinan Barisan Nasional (BN) sejak lima dekad lalu tetap berpegang kepada prinsip menghormati kepelbagaian budaya yang menjadikan Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang hebat.

Berucap di hadapan 50,000 hadirin pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di padang Lapangan Terbang Sitiawan dekat sini malam ini, Najib menegaskan, masyarakat Cina di negara ini dianggap cukup istimewa berbanding di negara-negara lain.

“Kita boleh berbangga hari ini bahawa dari segi kesucian kebudayaan Cina, Malaysia paling istimewa, tiada negara lain di Asia Tenggara ini yang memelihara budaya orang Cina, hatta di negara China sekalipun.

“Di China, revolusi budaya telah menyebabkan banyak warisan dan budaya orang Cina dihapuskan atau dirosakkan, tapi di Malaysia sehingga hari ini semuanya kita pelihara,” katanya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan; Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan keputusan kerajaan untuk menjadikan seni persembahan Chingay sebagai warisan kebudayaan kebangsaan.

Najib berkata, masyarakat Cina terutamanya generasi muda perlu mengetahui bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan yang sama sejak merdeka memelihara kesucian warisan dan budaya kaum itu.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 24 Januari 2012

Sultan Perak meriahkan sambutan Tahun Baru Cina!

SULTAN Azlan Shah menyampaikan angpau kepada kanak-kanak sambil diperhatikan oleh Dr. Zambry Abd Kadir (kanan) pada majlis sambutan Tahun Baru Cina 2012 di Ipoh, semalam.


Lebih 15,000 rakyat pelbagai kaum hadir memeriahkan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri yang didakan di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Jalan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Majlis tersebut tambah bermakna dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja MudaMusa; Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk R. Ganesan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Bercakap kepada pemberita pada majlis tersebut, Zambry melahirkan rasa puas dan gembira dengan kehadiran begitu ramai orang pada majlis rumah terbuka yang diadakan berkenaan.

"Saya lihat orang tidak berhenti-henti datang. Jumlahnya lebih ramai dari dahulu dan ia memang tidak disangka-sangka. Ini menandakan masyarakat kita (Perak) dapat berinteraksi dengan begitu baik sekali dan dapat menyambut perayaan ini (Tahun Baru Cina) bersama-sama.

"Lebih manis, keberangkatan Sultan Perak (Sultan Azlan Shah) dan Raja Permaisuri (Tuanku Bainon) yang berkenan mencemar duli untuk sama-sama merayakan sambutan ini bersama-sama rakyat di sini. Ia sungguh mengharukan kita," katanya.

Pada majlis tersebut, Zambry dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli turut memberi angpau kepada golongan kurang bernasib baik termasuk kanak-kanak

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, selain dapat menjamu selera di lebih 40 gerai makanan, para pengunjung yang datang hari ini juga dihiburkan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian singa dan naga.-UM.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 22 Januari 2012

DAP dicabar letak calon Melayu di kawasan majoriti Melayu!


Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mencabar DAP supaya meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu sekiranya benar-benar ikhlas untuk menjadi parti yang bukan berasaskan kaum.

Beliau berkata, tindak-tanduk serta pendekatan DAP selama ini menggambarkan parti itu tidak mampu keluar daripada kepompong `chauvinistik' dengan hanya tertumpu ke arah kepentingan satu kaum sahaja.

"Mereka cuba nak jadi parti yang bukan berasaskan perkauman, tetapi lihatlah kawasan yang mereka wakili ketika ini, semuanya adalah kawasan majoriti di mana satu kaum sahaja yang tinggi kelompoknya.

"Kalau betul mereka hendakkan Melayu, cuba letak calon Melayu di kawasan majoriti Melayu. Kita tengok sama ada mereka boleh menang atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan komputer dan peralatan sekolah tajaan Sime Bank di Kampung Teluk Kechil di sini semalam.

Zambry berkata, rakyat boleh menilai sikap pemimpin DAP sendiri yang secara terang-terangan mengamalkan sikap perkauman ala apartheid tetapi sehingga kini tidak diambil sebarang tindakan.

"Tiada apa-apa tindakan. Jadi, inikah dikatakan parti yang bukan berasaskan perkauman," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan bahawa ekosistem Pulau Pangkor kini berdepan kemusnahan ekoran aktiviti pembangunan yang pesat, Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata, tuduhan tersebut tidak berasas.

Beliau menjelaskan, seiring dengan peredaran masa, pembangunan dan mobiliti sosial membabitkan lebih 20,000 penduduk di pulau itu tidak dapat dielakkan.

"Anda tidak boleh mengharapkan Pangkor sama seperti ia pada 30 atau 20 tahun yang lalu apabila tiada hotel, tiada elektrik, tiada kemudahan air dan tiada rumah.

``Atau adakah kita mahu mengatakan bahawa Pangkor harus kekal ke belakang dan penduduknya harus terus hidup dalam kemiskinan,'' tegas beliau.

Beliau menambah, kerajaan Persekutuan juga mengambil perhatian serius berhubung masalah pembuangan sampah di pulau itu dengan meluluskan peruntukan RM10 juta untuk menaiktaraf kawasan pelupusan sampah sedia ada.

Malah katanya, masalah penempatan untuk generasi kedua di pulau itu turut dipandang serius oleh kerajaan apabila peruntukan RM20 juta diluluskan bagi menyediakan perumahan rakyat seperti di Teluk Gedong dekat sini. - UTUSAN

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 19 Januari 2012

Ibarat meludah ke langit - Pok Nik dakwa golongan pemuda Melayu pemalas!


Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa pemuda Melayu negara ini pemalas hasil didikan Umno yang menolak ajaran Islam dalam kehidupan harian sehingga melupakan akhirat.

Menurutnya, sudah tiba masanya perubahan perlu dilakukan kerana apabila manusia lupa akhirat akan muncul sifat pemalas, generasi muda menjadi kacau bilau, kegiatan pecah rumah, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.


“Saya cukup marah orang yang memperbesar-besarkan isu perkauman antara Melayu dan Cina. Islam mengajar kita manusia berasal dari Adam dan Hawa. Semangat rajin masyarakat Cina perlu diterapkan dalam masyarakat Melayu. Budak-budak Melayu kini menjadi pemalas.


Pemalas hasil Umno yang menolak Islam ertinya lupakan akhirat. Ini bahaya dan kita kena perbetulkan semula. Ajaran Islam mesti dimasukkan dalam semua aktiviti kehidupan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan rombongan delegasi negara China di pejabatnya di sini, semalam.


Menurutnya, beliau marah kepada golongan sekular yang mengetepikan agama Islam dalam kehidupan sehinggakan khidmat polis diperlukan untuk menjaga rakyat, guru-guru menjaga pelajar dan ibu bapa menjaga anak di rumah.

Katanya, perkara itu sepatutnya tidak berlaku jika masyarakat menjadikan Islam sebagai cara hidup dan meletakkan Allah sebagai keutamaan dalam setiap perbuatan.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 12 Januari 2012

Azmin Ali dah melampau - Ucapan kurang ajar, cetek ilmu!


Tindakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali menghina bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan ungkapan 'kepala otak kau' dalam ceramahnya disifatkan sebagai tindakan kurang ajar.

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berkata, sikap itu bertentangan dengan adab dan budaya Melayu yang sentiasa mengh...ormati orang yang lebih tua lebih-lebih lagi kepada seorang negarawan.

"Apa jasa Azmin kepada negara sehingga berani menghina Tun (Mahathir) sedangkan dia belum sampai sepenggal jadi wakil rakyat.

"Jangan disebabkan politik bodoh pembangkang segala jasa baik Tun Mahathir mahu dilupakan. Harus diingat seluruh dunia Arab masih mengagumi beliau sehingga sekarang.

"Azmin perlu segera memohon maaf kepada Tun Mahathir atas ucapan kurang ajar tersebut," katanya di sini hari ini.

Ungkapan biadap itu dilontarkan Azmin ketika berucap pada Himpunan Rakyat Menuntut Keadilan di tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang malam kelmarin.

Ia sebagai respons kepada kenyataan bekas Perdana Menteri itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim pula berkata, tindakan Azmin itu membuktikan bahawa beliau tidak mempunyai kredibiliti menjadi seorang pemimpin.

"Apa yang diucapkan oleh beliau menggambarkan seorang yang cetek ilmu. Saya nak tanya Azmin apa jasanya kepada negara? Tidak ada.

"Beliau sendiri tidak diterima sebagai seorang pemimpin dalam pakatan pembangkang, jadi tidak layak berkata demikian kepada individu yang telah banyak berjasa dan menyumbang kepada pembangunan negara," jelasnya.See More

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 5 Januari 2012

Rahsia bateri '3A' dalam gengaman Ummi Hafilda!

Ummi Hafilda Ali, saksi utama kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 berjanji akan mendedahkan rahsia dahsyat kepimpinan atasan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau trio 'bateri 3A' sekiranya mereka tidak bertaubat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Ummi memberi amaran itu kerana beliau tidak sanggup melihat trio berkenaan iaitu Anwar, isterinya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan abangnya sendiri, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali terus mengelirukan rakyat dengan dakyah demi kepentingan politik mereka.

"Hari ini mereka panggil polis anjing tetapi semasa Anwar berkuasa pada 1997, dia guna 50 orang polis untuk menangkap saya, jadi orang muda terutama mahasiswa perlu tahu siapa yang buat salah laku dan salah guna kuasa.

"Wan Azizah mempunyai pengaruh untuk menasihatkan suami kembali ke pangkal jalan, jangan sampai saya serta 'geng' iaitu (Datuk) Nallakaruppan, (Datuk) Zulkifli Noordin dan Rahimi Osman dedahkan perkara sampai nanti mereka (3A) tidak boleh angkat kepala. Kami merayu mereka kembali ke pangkal jalan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas di sini hari ini bagi meminta ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti pembangkang itu menghentikan perjuangan politik mereka yang didakwanya mempunyai kepentingan peribadi dan bertujuan menukar sistem negara ini kepada sebuah republik.



Dalam perkembangan berkaitan, kata Ummi, beliau tidak akan berhenti mendedahkan kepincangan serta kelemahan ketiga-tiga mereka termasuk Azmin sungguhpun mereka adalah adik-beradik sehingga kesemuanya bersara daripada politik dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia.

"Tetapi saya masih mempunyai sifat perikemanusiaan dan kalau boleh enggan mendedahkan keburukan abang kandung saya sendiri.

"Mereka perlu bertaubat dan meminta maaf seperti bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton yang memohon maaf secara terbuka kepada rakyat negara itu atas skandal seksnya," katanya.

Sementara itu, Ummi Hafilda yakin Azmin serta PKR tidak akan mampu mengumpulkan sehingga 100,000 penyokong fanatik Anwar untuk memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang itu dalam Kempen Bebaskan Anwar 901 di ibu negara Isnin ini.

"Azmin boleh berangan seperti Mat Jenin. Dia juga pernah berangan akan menjadi Menteri Besar Selangor selepas pilihan raya umum lalu tetapi tiada apa yang berlaku," katanya.

Warna-warni politik
Torashah..

Isnin, 2 Januari 2012

Tragedi menjelang Tahun Baru 2012!

Salah sebuah kereta yang terlibat dalam nahas di Kilometer 9.6, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Lekir, Seri Manjung, Lumut, semalam.

Ketika seluruh masyarakat menantikan detik menyambut Tahun Baru 2012, satu nahas ngeri meragut nyawa tujuh remaja termasuk dua beradik berlaku di Kilometer 9.6, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Lekir, Seri Manjung malam tadi.

Nahas pada pukul 10.30 malam itu melibatkan dua buah kereta iaitu Honda Stream dan Honda Civic dengan sebuah treler membawa muatan tong gas memasak LPG.

Mereka yang maut ialah enam penumpang Honda Stream iaitu Mohamad Kamil Samsuri, 15; Mohamad Shadan Mohd. Arshad, 15; Mohamad Hadi Sulaiman, 17 dan abangnya, Badrul Isa Sulaiman, 19.

Kesemuanya dari Batu 15 Lekir, Sitiawan dekat sini.

Turut terkorban ialah Ahmad Faizal Mohd. Termizi, 15, dari Kampung Parit Haji Dollah, Sitiawan; Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, dan pemandu kenderaan pelbagai guna itu, Mohd. Hisam Mat Zaki, 22, berasal dari Sungai Mekong, Jeli, Kelantan.

Ketika kejadian, MPV dinaiki 10 penumpang itu dipercayai baru pulang dari membeli peralatan sekolah di Sitiawan sebelum terlibat dalam nahas.

Pemandu treler, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, yang berasal dari Lebuh Padang Tembak, Pulau Pinang cedera parah dan kini dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM).

Ketua Trafik Daerah Manjung, Asisten Supritendan Ismail Munajat berkata, Mohd. Hisam meninggal dunia di HSM pukul 8.35 pagi ini manakala enam penumpang yang lain mati di tempat kejadian.

Seorang lagi penumpang, Khairul Mohd. Noor, 17, dari Batu 15, Lekir yang berada di tempat duduk sebelah pemandu hanya cedera ringan.

“Dua lagi penumpang perempuan MPV itu belum dikenal pasti kerana mereka telah pulang ke rumah dan tidak membuat laporan polis. Salah seorang daripada mereka cedera ringan dan seorang lagi tidak cedera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ismail, kesemua mangsa yang terbunuh mengalami kecederaan serius termasuk pecah dan putus kepala, mata tercabut dan perut terburai.

Menurutnya, nahas berlaku apabila MPV tersebut yang dari arah Sitiawan hilang kawalan ketika cuba memotong kereta Honda Civic di laluan kecemasan.

Katanya, MPV berkenaan kemudian masuk secara mengejut ke laluan hadapan kereta Honda Civic itu lalu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dari arah Teluk Intan.

“Ia menyebabkan MPV itu berpusing dan terbalik beberapa kali sehingga ramai penumpang kenderaan itu tercampak keluar. Seorang terjatuh di atas kereta Honda Civic berkenaan.

“Treler tersebut pula terbabas ke kanan jalan dan merempuh gerai buah-buahan di tepi jalan.

Difahamkan, treler itu dalam perjalanan dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati MPV tersebut dipercayai dipandu laju melebih 120 kilometer sejam berdasarkan keadaan kenderaan yang tercabut bumbung dan tercampak sejauh kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Katanya, keadaan jalan di situ lurus dan tidak hujan sewaktu kejadian. Ia agak gelap kerana tiada lampu jalan.

“Namun demikian kawasan itu sering berlaku kemalangan, mungkin disebabkan terdapat banyak gerai buah-buahan di tepi jalan dan menjadi punca banyak kereta berhenti di lorong kecemasan untuk membeli buah-buahan,” katanya.

Ismail memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Pengangkutan Jalan 1987.

Salam takziah buat semua keluarga mangsa kemalangan yang terbabit. Semuga tabah dalam menghadapi segala dugaan dari Allah swt. Al-Fatihah..

Warna-warni politik
Torashah..