DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Ahad, 29 Januari 2012

50,000 meriahkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Sitiawan!

Najib Tun Razak bersama Rosmah Mansor bermesra dengan Tan Yee Syuen, 3, dan Tan Chang Yuen, 2, ketika mengunjungi keluarga Tan Kiew Siew, 40, dan isteri Chong Lee Chuan, 38, di Taman Sepakat, Kampung Selamat, sebelum menghadiri majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di padang Lapangan Terbang Sitiawan, malam tadi. Turut hadir Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, penganjuran majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di padang Lapangan Terbang Sitiawan malam ini berjaya apabila dihadiri kira-kira 50,000 pengunjung pelbagai kaum.

Beliau berkata, ini terbukti apabila setiap pelusuk padang yang luas itu dipenuhi pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat.

“Perhimpunan terbesar ini (orang tanya) siapa yang bilang (kira)? kita yang bilang... kerana kawasan yang besar ini dipenuhi dengan pengunjung dari empat pelusuk (padang) yang mahu meraikan perayaan ini bersama,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Rais berkata, beliau bangga kerana masyarakat Cina yang hadir bukan sahaja dari Sitiawan malah pelbagai kawasan berhampiran.

Selain itu, katanya, sambutan Tahun Naga mengikut kalendar Cina pada perayaan Tahun Baru perlu dijadikan elemen perpaduan di bawah gagasan 1Malaysia.

“Tahun Naga merupakan simbolik pada tahun ini kerana ia mempunyai kuasa dan sifat yang berbeza dengan makhluk yang lain.

“Naga juga membawa kekuatan, kebahagiaan serta nilai-nilai yang boleh dibanggakan. Ini boleh dijadikan lambang perpaduan rakyat yang berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Rais turut melahirkan perasaan bangganya dengan majlis yang dianjurkan apabila 250 tarian naga dipersembahkan dicatat dalam Malaysia Books of Record.

“Tarian kebudayaan yang dipersembahkan malam ini juga membawa erti perjuangan di Malaysia dan juga di kawasan ini (Lumut),” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta pelbagai persembahan lain, antaranya pelancaran gimik, artis dan kumpulan kesenian.

Sementara itu : Warisan, kebudayaan kaum Cina terus dipertahan – kata PM

Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa setiap warisan dan kebudayaan yang membentuk identiti serta jati diri kaum Cina di negara ini akan terus dipelihara.

Perdana Menteri berkata, kepimpinan Barisan Nasional (BN) sejak lima dekad lalu tetap berpegang kepada prinsip menghormati kepelbagaian budaya yang menjadikan Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang hebat.

Berucap di hadapan 50,000 hadirin pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di padang Lapangan Terbang Sitiawan dekat sini malam ini, Najib menegaskan, masyarakat Cina di negara ini dianggap cukup istimewa berbanding di negara-negara lain.

“Kita boleh berbangga hari ini bahawa dari segi kesucian kebudayaan Cina, Malaysia paling istimewa, tiada negara lain di Asia Tenggara ini yang memelihara budaya orang Cina, hatta di negara China sekalipun.

“Di China, revolusi budaya telah menyebabkan banyak warisan dan budaya orang Cina dihapuskan atau dirosakkan, tapi di Malaysia sehingga hari ini semuanya kita pelihara,” katanya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan; Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan keputusan kerajaan untuk menjadikan seni persembahan Chingay sebagai warisan kebudayaan kebangsaan.

Najib berkata, masyarakat Cina terutamanya generasi muda perlu mengetahui bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan yang sama sejak merdeka memelihara kesucian warisan dan budaya kaum itu.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: