DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Rabu, 11 September 2013

MIC bidas DAP politikkan tanah sekolah Tamil!


Setiausaha Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, C. Sivarraajh membidas DAP kerana mempolitikkan pemberian tanah seluas 809 hektar oleh kerajaan negeri untuk pembangunan 134 sekolah Tamil di negeri itu.

Beliau berkata, tuduhan oleh Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham dan Timbalannya, A. Sivanesan kononnya tanah tersebut diserahkan kepada kroni dan mereka yang tidak mempunyai kepentingan dalam pembangunan kaum India adalah tidak benar sama sekali.

Menurutnya, Yayasan Pembangunan Pendidikan India Perak yang diberikan tanggungjawab menguruskan tanah tersebut dianggotai mereka yang berpengalaman serta mempunyai kepentingan dalam pendidikan kaum India di negeri ini dan diiktiraf oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pengerusi yayasan itu, S. Muniandy adalah Pengerusi Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Tamil Perak. Apa yang melucukan Sivanesan yang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai selama dua penggal, kata, beliau tidak kenal Muniandy.

"Ini menunjukkan pemimpin DAP tidak mengambil berat atau tahu mengenai pembangunan kaum India di Perak. Mereka hanya mementingkan politik tohmahan dan kritik bagi mengaut laba politik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Kelmarin, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir membuat pengumuman secara rasmi bahawa tanah tersebut diserahkan kepada Yayasan Pembangunan Pendidikan India Perak yang dianggotai oleh lapan individu yang dihormati dalam kalangan masyarakat India.

Pengumuman tersebut sekali gus menamatkan polemik mengenai siapa yang bakal menguruskan tanah itu yang telah berlarutan sejak 2009 sehingga tidak dibangunkan sehingga sekarang.

Mengulas lanjut, Sivarraajh berkata, isu tersebut tidak sepatutnya dipolitikkan kerana polemik yang berpanjangan hanya akan merugikan kaum India di negeri itu.

"Peruntukan tanah untuk pembangunan sekolah merupakan salah satu cara yang paling penting dalam memastikan sekolah pelbagai aliran dapat berdiri sendiri tanpa mengharapkan sangat dana daripada kerajaan negeri," katanya.

Menurut beliau, semasa 11 bulan memerintah negeri ini, pembangkang hanya memberi tanah untuk pembangunan sekolah persendirian Cina tetapi tidak kepada sekolah Tamil.

"Saya percaya inilah bezanya antara pemimpin yang mementingkan rakyat dengan pemimpin mementingkan survival politik mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Koo Ham dan Sivanesan supaya memohon maaf kepada Menteri Besar dan kaum India kerana tindakan yang mengelirukan serta fakta salah.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: