DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Sabtu, 7 Mac 2009

Perak terus dapat pelabur

Dr. ZAMBRY Abd. Kadir (tiga dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Sheikh Dr. Khalid bin Mohammad Al-Khalifa dengan Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera (dua dari kiri) pada majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Goldnet (M) Sdn. Bhd. dan keluarga Diraja Bahrain di Ipoh, semalam.

Kerajaan Perak yang kini dikuasai Barisan Nasional (BN) terus mendapat kepercayaan pelabur dari dalam dan luar negara sejak mengambil alih pemerintahan daripada pakatan pembangkang.

Pelaburan terbaru ke negeri ini adalah projek bernilai RM54 juta bagi mewujudkan Pusat Kecemerlangan Emas Global (GGCE) di kawasan seluas 25 hektar di Perak High Tech dekat sini.
Pelaburan itu dilakukan oleh keluarga diraja Bahrain melalui wakilnya, Dr. Sheikh Khalid Al Khalifa dengan kerjasama syarikat tempatan, GoldNet (M) Sdn. Bhd. (Goldnet).

Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pada masa sama kedua-dua belah pihak juga bersetuju untuk mewujudkan Pusat Kewangan GoldNet (GFC) di kawasan seluas 20 hektar di kawasan yang sama.

‘‘GGCE akan menjadi pusat emas utama kepada pasaran dunia dan merupakan yang pertama diwujudkan di luar Bahrain. Setiap transaksi perniagaan di situ adalah berlandaskan kepada emas dan perak, bukannya wang kertas yang dicetak.

‘‘GFC pula bakal menjadi pusat perbankan dan kewangan Islam dan GoldNet akan menjemput semua institusi bank dan kewangan terlibat untuk beroperasi di situ,” katanya. Zambry menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian antara GoldNet dengan Sheikh Khalid di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif GoldNet (M) Sdn. Bhd., Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera.
Projek GGCE dan GFC itu tertangguh selama 11 bulan apabila negeri ini jatuh kepada pakatan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac tahun lalu.

Sebelum projek GGCE, Perak telah menerima jumlah pelaburan sebanyak RM550 juta daripada dua buah syarikat. Pelaburan pertama adalah daripada Baiduri Marine & Supplies (M) Sdn. Bhd. yang bersetuju membangunkan pusat penyelenggaraan dan pembinaan perkapalan di Manjung bernilai RM50 juta.

Ia diikuti pelaburan sebanyak RM500 juta daripada Lhoist iaitu sebuah syarikat antarabangsa milik Belgium yang terlibat dalam industri batu kapur. Zambry berkata, sehingga kini kerajaan negeri masih menerima banyak tawaran pelaburan daripada pelbagai pihak dan ia merupakan satu perkembangan membanggakan lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi global sekarang.

‘‘Saya akan buat satu lagi pengumuman penting berkaitan satu pelaburan besar dalam tempoh terdekat, tunggu dan lihat,” katanya. Sementara itu, Sheikh Khalid berkata, pelaburan tersebut adalah satu permulaan kecil dan ia bakal berkembang sebaik sahaja negeri-negeri lain mencontohi langkah Perak mengaplikasikan penggunaan emas sebagai transaksi dalam perdagangan.

‘‘Saya juga dipelawa untuk membuat pelaburan dalam bidang lain seperti pembinaan dan pelancongan. " Buat masa ini saya sudah merancang untuk membina resort laut bertaraf enam bintang di Pulau Pangkor serta menimbangkan projek pembangunan banglo dengan gaya hidup jutawan menghadap laut di pulau itu,” katanya.

UM - Torashah

Tiada ulasan: