DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 17 Mac 2009

Hentikan politik keterlaluan

DR. NAZRIN Shah mengurniakan watikah pelantikan ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kepada Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir pada majlis pelancaran M-Zakat dan penyerahan zakat di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh.

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menggesa semua pihak menghentikan tindakan politik keterlaluan termasuk mengadakan perhimpunan haram kerana ia boleh mengheret negara ke kancah darurat ekonomi.

Menurut baginda, ketika ekonomi dunia diramalkan semakin teruk, rakyat wajar membuktikan kesetiaan dengan tidak melakukan sebarang tindak-tanduk yang boleh mencetuskan kacau-bilau kepada negara.

Titah baginda, sebagai bangsa beradab, orang Melayu perlu sentiasa menghormati institusi keluarga, masyarakat, agama dan institusi kerajaan beraja yang dijunjung selama ini.
"Kita perlu sedar ekonomi dunia yang akan menguncup buat pertama kalinya tahun ini sejak Perang Dunia Kedua memerlukan tindakan tertentu bagi menanganinya.

"Justeru kegiatan-kegiatan politik yang keterlaluan dan berlebihan termasuk demonstrasi akan turut menyebabkan negara mengalami kesukaran selain menambah beban tugas polis," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak ke-165 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini. Terdahulu, baginda berkenan mengurniakan watikah pelantikan Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta melancarkan M-Zakat.

Raja Nazrin menjelaskan, keadaan ekonomi yang buruk di serata dunia ketika ini menyebabkan manusia akan melalui satu suasana hidup yang sangat tertekan. Baginda bertitah, kejadian jenayah seperti ragut, pecah rumah, mencuri, merompak dan menyamun dijangka meningkat begitu juga aktiviti penyeludupan termasuk dadah dan kebanjiran imigran.

"Pada tahap ini ramai yang akan sampai ke peringkat terdesak untuk melakukan apa sahaja untuk terus hidup,'' titah baginda. Baginda menambah, dalam suasana begini, tenaga anggota polis amat perlu ditumpukan untuk mengawal keadaan jenayah, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, baginda meminta kerajaan memberi penerangan kepada rakyat tentang situasi sebenar yang berlaku selain memberi bimbingan dan panduan untuk menangani masalah itu.

Menurutnya, khutbah dan majlis-majlis yang diadakan di masjid turut sama berperanan membantu menyampaikan mesej yang betul kepada rakyat. Baginda juga mahu jentera pentadbiran kerajaan negeri memberi fokus kepada usaha-usaha meringankan kesusahan rakyat.

UM-Torashah



2 ulasan:

torashah berkata...

Hukuman berat persoal kedaulatan raja

Tindakan tegas dan hukuman berat termasuk di bawah Akta Hasutan perlu dikenakan terhadap pihak yang mempersoalkan kedaulatan sultan dan raja-raja Melayu.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tindakan itu penting kerana fitnah yang tersebar menerusi blog itu meracuni fikiran rakyat.

"Apa yang membimbangkan ialah masyarakat mempercayai fitnah tersebut walaupun tidak ada kebenaran mengenainya.

"Jika itulah hala tuju dan bentuk pemikiran serta menjadi budaya masyarakat hari ini maka hilanglah kesejahteraan yang telah dibina selama ini," katanya.

Shafie menambah, di United Kingdom misalnya, seseorang yang didakwa menyentuh kedudukan Queen Elizabeth pasti dihukum penjara, begitu juga di Thailand.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Kebudayaan Melayu II anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di sini hari ini.

Kongres tersebut berlangsung selepas sedekad Kebudayaan Melayu pertama diadakan di Melaka pada 30 Disember 1957 hingga 2 Januari 1958.

Kongres itu menjadi mercu tanda perkembangan kebudayaan di Malaysia dan kemudiannya menjadi asas pada Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 1971.

Mengulas kes enam orang yang didakwa di mahkamah kerana menghina Sultan Perak pada 14 Mac lalu, beliau berkata, jika dulu bukan Melayu yang mempersoalkan kedudukan sultan dan raja-raja Melayu tetapi hari ini orang-orang Melayu turut berbuat demikian.

Perkembangan itu, katanya, amat membimbangkan dan tidak seharusnya dibiarkan sehingga keadaan tidak boleh dibendung.

Sehubungan itu tegasnya, tindakan membimbing dan memupuk penyatuan Melayu dan rakyat pelbagai kaum perlu dilakukan segera.

Pada majlis tersebut, Shafie turut menyampaikan peruntukan RM100,000 kepada Ketua I Gapena, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein bagi membantu badan itu menjalankan aktivitinya.

Jumayatara berkata...

UMNO Dulu, kini dan selamanya rasuah.Jangan campak diri anda ke dalam kebinasaan. Selamat kan diri dan keluarga anda ...keluar dan bubar UMNO.



Say No to "Oral Sex". Respect your Wife.