WALAUPUN suasana di bandar raya Ipoh, Perak tenang menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula esok, namun, masih ada yang menjangka 'sesuatu' pasti akan berlaku. Sidang DUN Perak kali ini menjadi tumpuan kerana ia adalah yang pertama kali diadakan setelah Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar yang sah.
Namun, kekecohan yang berlaku setiap kali sidang DUN diadakan, bukanlah perkara baru kerana ia telah berlarutan sejak Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan berdasarkan sokongan yang diterima daripada majoriti Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Bagi pihak pembangkang, tindakan tiga ADUN Bebas menyokong BN disifatkan sebagai 'kesalahan besar yang tidak boleh dimaafkan.' Ini kerana sokongan tiga ADUN Bebas tersebut - Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) membezakan undi majoriti dalam Dewan.
Tanpa undi ketiga-tiga mereka, kedudukan BN dan pakatan pembangkang dalam Dewan adalah sama iaitu masing-masing 28 kerusi. Rentetan peristiwa tersebut, maka, berlakulah sidang DUN bawah pokok, sidang DUN dalam sidang DUN dan kekecohan-kekecohan lain. Justeru, jangkaan 'sesuatu' akan berlaku pada 30 Mac ini bukan sesuatu yang pelik.
Hakikatnya, pembangkang dikatakan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kembali kuasa yang hilang. Bagi mereka, tempat yang dianggap sebagai 'dewan yang mulia' adalah lokasi terbaik untuk menzahirkan kekecewaan tersebut. Dalam maksud tersirat, ia juga menunjukkan betapa 'kebalnya' mereka apabila berani membelakangkan peraturan dan undang-undang.
Perasaan 'kebal' ini sebenarnya turut didorong oleh sikap pihak berwajib yang seolah-olah gagal mengambil tindakan yang sewajarnya. Biarpun banyak laporan polis dibuat, malangnya, pemimpin pembangkang masih dibiar melakukan kesalahan sama berulang kali.
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar menghina mahkamah kerana mengeluarkan notis meminta semua wakil rakyat hadir ke sidang itu, sehingga kini masih tiada tindakan.
Dalam hal ini, Sivakumar tiada hak memanggil sidang kerana mahkamah dalam keputusannya telah mengesahkan kedudukan ADUN Tronoh itu sebagai Speaker terbatal dan digantikan oleh Datuk R. Ganesan.
Malangnya, Sivakumar yang memulakan 'permainan' dengan memfailkan injuksi ke mahkamah untuk mendapatkan pengesahan siapa Speaker yang sah, akhirnya tidak dapat menerima hakikat tersebut. Lalu beliau mendakwa tidak terikat dengan keputusan itu kerana Mahkamah Tinggi Ipoh mencampuri urusan legislatif dan keputusan mahkamah membatalkan samannya terhadap Ganesan tidak terpakai.
Tidak hairanlah mengapa Muhyiddin baru-baru ini juga telah menyifatkan tindak tanduk bekas Speaker itu sebagai 'kartun'. Sementara itu, Zambry melabelkan perkembangan terkini membabitkan sikap pemimpin pembangkang menjelang sidang DUN ini sebagai sindrom 'bulan mengambang', 'political esctasy' dan 'politik putar-belit'.
''Setiap kali sidang DUN, fenomena sebegini (buat kecoh) akan berlaku. Saya ibaratkan ia umpama sindrom 'bulan mengambang'. ''Mereka juga boleh diibaratkan sebagai mengalami 'political esctasy,' sentiasa ketagih mahu melakukan huru-hara, mewujudkan kegelisahan rakyat dengan mewajarkan segala tindakan," katanya.
Terbaru, pembangkang mendesak supaya diadakan satu mesyuarat khas kononnya bertujuan membincangkan perjalanan sidang DUN. Bagi Zambry, 'politik putar belit' yang diamalkan parti lawan menyebabkan beliau tidak berminat melayan permintaan mereka. ''Dulu pun mereka kata mahu jadi pembangkang yang baik. Tetapi apa yang berlaku pada sidang DUN lepas. Awak percayakah? soal Zambry.
Bagi pemerhati politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak, tujuan pembangkang melakukan 'kekecohan' adalah semata-mata untuk menganggu kelicinan kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN. ''Mereka semakin bimbang dengan kemampuan Zambry dalam usahanya menangani masalah rakyat, selain gusar usaha itu akan menenggelamkan sokongan rakyat terhadap pakatan pembangkang," kata beliau.
Disebabkan itu, beliau yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata: ''Jalan paling mudah adalah 'menghidupkan watak-watak tertentu' bagi mengalihkan pandangan orang ramai daripada isu pokok iaitu membincangkan masalah rakyat kepada isu-isu yang menampakkan 'kekejaman' kerajaan memerintah terhadap parti pembangkang."
Berdasarkan pandangan dan pendapat, ia menggambarkan kemelut politik di Perak seolah-olah tiada kesudahannya lagi. Namun di sebalik kemelut yang berpanjangan itu, pembangkang seharusnya telah sedar betapa perlunya mereka mencari alternatif lain yang lebih menjurus kepada usaha membantu rakyat dan bukannya bertindak berdasarkan kepentingan peribadi semata-mata.
Warna-warni politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan