Kepincangan dan kesengsaraan yang berlaku dalam dunia hari ini kebanyakannya berpunca daripada kelemahan manusia mengawal nafsu untuk berkuasa, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Baginda bertitah, banyak contoh dalam sejarah menunjukkan mereka yang mabuk kuasa akhirnya terjerumus dalam keadaan yang hina.
''Ujian paling mencabar dalam hidup insan adalah ketika seseorang itu dianugerahkan kedudukan, jawatan, pangkat dan kuasa tetapi ramai yang tewas dan gagal di peringkat ini.
''Ketika manusia mabuk dilambung gelombang kuasa, mereka merasakan diri mereka sahaja yang benar dan betul, mereka beranggapan bahawa mereka sahaja yang bijak dan pandai lalu nasihat dan teguran tidak lagi mahu diterima.
''Malah nasihat dan teguran ditafsirkan secara negatif, disifatkan sebagai usaha jahat yang mahu menjatuhkan mereka daripada berada di tampuk kuasa," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis Konvokesyen Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) Kali Keempat di sini hari ini.
Menurut Sultan Perak, manusia terlalu kecil untuk berlagak sombong serta bongkak sebaliknya perlu sentiasa mendapat bimbingan daripada guru-guru dan orang tua, selain petunjuk dan hidayat Ilahi.
Titah baginda lagi, setiap pengetahuan yang dikuasai seharusnya menginsafkan diri seseorang itu bahawa masih banyak ilmu yang perlu dipelajari.
Dalam masa sama, baginda mahu Kisdar menyemai nilai-nilai murni dalam jiwa dan roh para graduannya. ''Graduan Kisdar hendaklah memiliki sifat-sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah, mencerminkan jiwa murni yang telah diasuh dengan pendidikan berteraskan roh Islam.
''Roh Islam itu wajib ada dalam jiwa setiap lulusan Kisdar yang dipancarkan melalui tindakan serta amalan harian dan bukan semata-mata pada nama yang tertera pada sijil, diploma atau ijazah yang dianugerah oleh Kisdar," titah baginda. Pada majlis tersebut, seramai 239 graduan menerima diploma dalam bidang masing-masing.
Warna-warni politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan