DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 20 Julai 2010

Raja Nazrin : Kereta digilap pagi petang, kesihatan diri tidak terjaga!

















Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu rakyat melihat kenaikan harga gula baru-baru ini dan kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi sebagai titik penghijrahan terhadap amalan pemakanan yang lebih sihat.

Baginda bertitah, pemakanan dan amalan gaya hidup sihat penting kerana ia salah satu daripada komponen negara maju selain dapat mengurangkan perbelanjaan program kesihatan yang semakin meningkat. "Peningkatan harga gula dan bulan Ramadan, semoga dapat dijadikan titik penghijrahan terhadap amalan pemakanan lebih sihat dengan mengurangkan pengambilan gula dalam tubuh serta melatih diri untuk makan dan minum secara seimbang, sederhana dan sihat.

"Jika bilangan yang mengalami organ rosak semakin ramai, maka beban tanggungjawab kerajaan dan kakitangan perubatan tentulah akan meningkat," titah baginda merasmikan Klinik Kesihatan Pantai Remis, Manjung di sini hari ini. Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Dalam titahnya, Raja Nazrin turut menegur mereka yang sanggup bersusah payah memastikan hak milik peribadi seperti kereta terjaga dengan baik tetapi tidak mahu melakukan perkara yang sama terhadap kesihatan diri.

"Adalah satu ironi apabila seorang pemuda memiliki karakter yang mengambil berat penyelenggaraan kereta, digilap pagi dan petang, dihantar ke bengkel untuk pemeriksaan setiap tiga bulan sekali, disembur cat baru pada setiap calar kecil, dihiasi pelbagai aksesori, dilindungi dari panas dan embun.

"Sedangkan tubuh badan sendiri, dia seorang perokok, mengambil minuman keras secara keterlaluan, mengambil makanan berlemak dan berminyak serta garam dan gula secara berlebihan, tidurnya lewat, tidak langsung beriadah atau bersenam, tidak kisah kepada kebersihan diri, obesiti serta terlibat dengan kegiatan tidak sihat," titahnya.

Jelas Raja Nazrin, akibat tidak mengambil berat terhadap soal kesihatan bilangan rakyat yang menanggung sakit kronik kini makin bertambah. "Perangkaan terkini Yayasan Jantung Malaysia menunjukkan 44 peratus warga Malaysia berada dalam kategori obesiti, 25 peratus merokok, 33 peratus mengalami tekanan darah tinggi, 15 peratus diabetes sementara 21 peratus kandungan kolesterol yang tinggi.

"Sebanyak 60 peratus warga Malaysia langsung tidak melakukan riadah dan hanya 11 peratus yang melakukan riadah secara berdisiplin untuk memenuhi tahap minimum diperlukan," titahnya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: