DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 28 Mei 2013

'Kami tidak akan buat kerja gila'?


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim membidas tindakan pihak tertentu yang menyebarkan khabar angin kononnya beliau dan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan melompat parti bagi membolehkan pembangkang berkuasa di Perak.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai 'provokasi jahat', Nasaruddin menasihatkan musuh-musuh politik BN terutamanya di Perak supaya berhenti berangan-angan kerana perkara itu tidak akan berlaku.

"Mungkin mereka hendak jolok saya dengan cerita-cerita begini, mereka ingat saya ini apa? Jangan perlekeh kesetiaan saya kepada parti. Hentikanlah berangan kerana lompat parti tidak akan berlaku," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cakap-cakap kononnya sekurang-kurangnya dua wakil rakyat BN Perak akan melompat parti sekali gus membolehkan pembangkang membentuk kerajaan.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN menang dengan majoriti mudah di Perak apabila memperoleh sebanyak 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Nasaruddin pernah menggemparkan politik tanah air pada Januari 2009 apabila meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR sebelum sekali lagi membuat keputusan memeranjatkan apabila mengumumkan kembali semula ke pangkuan UMNO dua minggu kemudian.

Dalam pilihan raya 2008, pembangkang yang menang sebanyak 31 kerusi di negeri ini hanya dapat mengekalkan kuasa selama 11 bulan apabila empat wakil rakyatnya iaitu masing-masing dua daripada DAP dan PKR bertindak keluar parti menjadi ADUN Bebas sehingga membolehkan BN menubuhkan semula kerajaan.

Menurut Nasaruddin, ada pihak yang sengaja menjaja cerita sedemikian untuk menggambarkan keadaan seolah-olah kerajaan BN Perak kini tidak stabil.

"Cerita 2009 tidak sama, dahulu BN tidak tubuh kerajaan, sekarang kita ada kerajaan, saya tidak akan tergamak merosakkannya dengan berpaling tadah. Itu kerja gila.

"Saya selalu tegaskan, saya keluar parti dulu kerana saya lihat ketika itu kelemahan UMNO dari aspek pentadbiran dan kepimpinan, tetapi UMNO berani berubah sehingga kita menang kali ini," tegasnya.

Ditanya sama ada beliau ada didekati pihak tertentu yang memujuknya supaya melompat parti, Nasaruddin berkata: "Tidak ada dan kalau ada pun, saya akan tolak dan minta mereka balik dan belajar mendalami ilmu politik dalam-dalam terlebih dahulu".

Beliau menambah: "Kalau saya tahu ada pihak yang datang nak pujuk (ADUN) yang lain supaya lompat parti, saya orang pertama yang akan halang".


Sementara itu, ADUN Slim, Datuk Khushairi Abd. Talib yang turut dikaitkan dengan dakwaan akan melompat parti menyifatkan tuduhan tersebut sebagai mengarut.

"Saya tidak tahu macam mana cerita ini boleh timbul, tetapi mengarut, sangat mengarut. Kami tidak buat kerja gila begitu," katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak terutamanya pembangkang supaya tidak memperkecilkan tahap kesetiaan ADUN BN dengan melemparkan dakwaan-dakwaan seumpama itu.-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: