DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 21 Julai 2009

Tiada mahkamah boleh salahkan kerajaan - Sultan Perak


Selagi kerajaan dan mana-mana pihak berkuasa mengurus tadbir kuasa bersandarkan undang-undang dan dilaksanakan secara telus dan terbuka, tidak ada mahkamah yang boleh menyalahkan kerajaan, titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Melainkan terdapat di kalangan hakim yang telah hilang integriti atau memilih untuk turut berpolitik atau bersimpati dengan mana-mana kumpulan atau pemikiran politik, titah baginda.

Baginda bertitah ujian utama dan paling berat kepada para hakim adalah memiliki sifat tidak memihak atau tidak berat sebelah terutama daripada segi emosi dan kecenderungan.

Oleh itu, baginda mengingatkan bahawa peranan kehakiman yang profesional, berintegriti dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak perlu dipertahankan.

“Para hakim mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kedaulatan undang-undang dan integriti mahkamah dan jika mereka gagal memenuhi amanah tersebut akan berlakulah ketidakseimbangan. Kesetiaan para hakim adalah kepada keadilan yang bersandarkan undang-undang.

“Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, para hakim adalah terdedah kepada penilaian umum kerana telah dibina mekanisme di peringkat mahkamah yang lebih tinggi, dengan panel hakim yang lebih ramai untuk menyemak sesuatu penghakiman yang dilakukan,” titah baginda ketika merasmikan Seminar Khas Perlembagaan Persekutuan anjuran pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Sultan Azlan bertitah, pengekalan institusi Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan nilai sentimental bangsa. Baginda bertitah bahawa Raja mempunyai peranan untuk memastikan keberkesanan mekanisme semak dan imbang yang dapat membantu memperkukuh institusi demokrasi.

“Selaku Ketua Negara, Raja berperanan sebagi tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan. Secara tersirat, pengekalan institusi Raja adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa.
“(Ini merupakan) peranan, tugas dan tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (dan) demikian juga Raja-raja Melayu yang digariskan berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan.

“Ini bermakna Raja-raja ada kuasa dan tanggungjawab kenegaraan yang berlandaskan undang-undang namun Beta pernah mengingkatkan bahawa Raja Pemerintah adalah Raja Pemerintah, sama ada secara mutlak atau secara berperlembagaan,” titah baginda.

Sultan Azlan bertitah, perbezaan antara yang satu tidak memiliki batasan kuasa, sedangkan kuasa yang satu lagi berpandukan perlembagaan, tetapi adalah satu kesilapan untuk menganggap kuasa Raja sama dengan Presiden yang tertakluk semata-mata kepada perlembagaan.

“Peranan sebenar seorang Raja Pemerintah itu jauh mengatasi apa yang tersurat di dalam Perlembagaan,” titah baginda. Baginda turut bertitah semangat utama yang tersirat di sebalik penggubalan Perlembagaan Persekutuan adalah untuk membangunkan sebuah negara merdeka yang stabil, aman, bersatu padu dan makmur, yang akan dicapai melalui ikatan perpaduan dan penyatuan di antara warga yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa.

“Perlembagaan itu digubal sedemikian rupa bagi menjamin berlakunya keadilan, memberikan perlindungan secara saksama baik kepada yang kuat mahupun yang lemah, baik kepada kumpulan majoriti mahupun kepada kumpulan minoriti, baik kepada orang yang memerintah mahu yang diperintah, baik yang melindungi Raja begitu juga yang melindungi rakyat,” titah baginda.

Titah baginda telah tercapai kata muafakat bahawa setiap warga Malaysia itu terjamin diberikan perlindungan secara adil - secara saksama, terpahat kesediaan mengakui hakikat bahawa anak peribumi itu amat jauh ketinggalan daripada segi pencapaian sosio ekonomi, kekayaan, penguasaan harta dan kemahiran.

Oleh itu, baginda bertitah bahawa kebimbangan peribumi perlu difahami dan untuk itu orang-orang Melayu demikian juga bumiputera diberikan jaminan melalui peruntukan-peruntukan tertentu yang memberikan mereka keistimewaan.

“Pada masa yang sama orang-orang bukan Melayu yang telah berhijrah ke bumi ini, yang memperlihatkan kesetiaan kepada Raja dan negara, yang mengamalkan sikap ,”di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”, diberikan perkenan untuk diterima sebagai rakyat Malaysia,” titah baginda.

Sultan Azlan bertitah Perlembagaan Persekutuan dihasilkan atas semangat rundingan, persefahaman, hasrat untuk membina penyatuan rakyat, dengan matlamat membina sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat.

Demi keamanan dan kesejahteraan negara, rakyat hendaklah disemaikan dengan budaya kehidupan yang berlandaskan kepada semangat Perlembagaan - semangat yang menghormati undang-undang serta institusi penguatkuasa undang-undang, titah baginda.

Baginda mengingatkan jika prinsip asas itu tidak dipatuhi lagi dan mahu diketepikan kerana pengaruh budaya luar yang cuba diserapkan, dikhuatiri negara akan terheret kepada satu anarki. “Akhirnya kelangsungan sejarah negara bangsa, keamanan dan kesejahteraan akan tinggal sejarah,” titah baginda. - Bernama
Warna-warni politik
Torashah

1 ulasan:

Arif Omar berkata...

keadil hanyalah untuk sahibul samahah nizar . harap tanda aje hitam didahi. tanda orang munafik