BUDAYA menyalahkan orang lain sebagai satu cara untuk menutup kelemahan diri kini semakin menjadi-jadi di negara ini. Malah, ia dilihat sudah semakin membarah dalam landskap politik negara terutamanya yang membabitkan pakatan parti pembangkang. Hampir setiap hari, ada sahaja isu-isu tertentu baik yang besar mahupun yang remeh digunakan oleh pembangkang untuk meraih simpati selain memburuk-burukkan pemimpin kerajaan.
Seolah-olah pemimpin kerajaan kini menjadi punching bag kepada segala permasalahan yang melanda negara ketika ini. Daripada masalah kegawatan ekonomi kepada peningkatan kadar jenayah hinggalah kepada ketidakstabilan politik.
Terbaru pula, isu kematian Teoh Beng Hock disensasikan. Pelbagai tuduhan dan tohmahan dilontarkan ke arah pihak kerajaan dan agensi-agensi di bawahnya sebagai dalang kematian mendiang Beng Hock.
Dan apabila sebuah blog tidak dikenali beralamat http://t4tbh.blogspot.com mendedahkan bahawa DAP terlibat dalam kematian mendiang Teoh, ADUN Pandamaran, Ronnie Liu dengan pantas menempelak sambil mendakwa tuduhan sedemikian merupakan angkara jahat musuh politik dengan tujuan untuk memporak-perandakan DAP.
Lebih melucukan, Ronnie juga menegaskan beliau tidak berhasrat untuk melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana agensi bebas itu tidak pernah menyiasat kes-kes yang diadu olehnya kepada mereka.
Sesungguhnya, ini bukanlah kali pertama pemimpin pembangkang membuat tuduhan-tuduhan sebegini. Mereka seolah-olah yakin bahawa dengan meletakkan beban kesalahan kepada pihak kerajaan, maka mereka akan diyakini oleh rakyat.
Dalam konteks ini, kerajaan BN sekarang dilihat sebagai pihak yang berada di landasan 'kepalsuan' manakala pakatan pembangkang di landasan 'kebenaran.' Benarkah begitu? Yang mereka tidak sedar ialah cara mereka menyalahkan pihak lain bagi menutup kelemahan sebenarnya tidak banyak berbeza dengan segelintir pemimpin tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi.
Segala janji pakatan pembangkang untuk melaksanakan pembaharuan politik baru di Malaysia hanya akan tinggal janji dan slogan semata-mata. Apakah bentuk pembaharuan yang cuba ditunjukkan oleh pembangkang jika masalah asas sedemikian tidak dapat diselesaikan dengan tuntas?
Sekadar mengharapkan simpati pengundi dan bergantung harap kepada politik emosi, adakah momentum ini dapat dipertahankan? Pendirian yang ditunjukkan oleh beberapa pemimpin tertinggi DAP terhadap kematian mendiang Beng Hock boleh diibaratkan seperti menangguk di air keruh.
Mereka seolah-olah tidak mahu melihat proses keadilan dilaksanakan. Mereka mahu melihat proses keadilan dilaksanakan mengikut takrifan mereka. Barulah ini dikatakan telus dan terbuka. Pembangkang tidak boleh menafsir peraturan dan undang-undang negara mengikut pandangan mereka sendiri. Mereka wajar menghormati perundangan yang ada di dalam negara.
Jika mereka sendiri tidak menghormati semua institusi kerajaan, maka jangan harap ahli-ahli parti dan rakyat jelata akan membuat perkara yang sama. Bayangkan apa akan terjadi kepada negara jika peraturan dan undang-undang negara ditafsir secara sesuka hati. Bayangkan apa yang akan menimpa negara jika undang-undang rimba menjadi satu trend di sini. Kesudahannya, huru-hara jadinya nanti!
Melihat kepada cara berpolitik pakatan pembangkang yang begitu gah mengembar-gemburkan sesuatu isu, ia nyata menguji kesabaran rakyat jelata seperti saya. Cukuplah dengan sandiwara politik yang cuba dilontarkan. Bukan semua rakyat akan terjerat dengan politik emosi yang cuba dimainkan oleh pembangkang.
Sudah tiba masanya negara kita melangkah ke hadapan dengan politiking yang lebih matang, rasional dan tenang. Kurangkan percakapan sebaliknya buktikan kemampuan menerusi tindakan-tindakan konkrit. Sekadar memekik-mekik dan berdemonstrasi untuk menunjukkan pembangkang melakukan sesuatu, siapa pun boleh buat begitu juga.
Warna-warni politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan