DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Isnin, 18 Januari 2010

‘Cah keting’ mula membudaya dalam Pas?

KENYATAAN terbuka Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagaimana yang dilaporkan di dalam Mingguan Malaysia semalam mengenai wujudnya budaya ‘cah keting’ atau cantas mencantas di dalam Pas sehingga menimbulkan kepincangan di dalam parti itu mengejutkan banyak pihak.

Ini kerana dasar perjuangan Pas dan slogan kerajaan negeri Kelantan yang diterajui oleh parti itu dengan frasa ‘Membangun Bersama Islam’, ‘Bersama Kepimpinan Ulamak’ dan banyak lagi istilah memberi gambaran kepada rakyat tentang dasar dan hala tuju kerajaan negeri itu yang enak didengar oleh rakyat yang mengimpikan kepimpinan Pas mengotakan slogan ciptaannya sendiri.

Selanjutnya, Nik Aziz dalam kenyataannya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan dan Zakat kepada pesakit kusta anjuran Persatuan Kusta Kelantan seperti mana dilaporkan oleh akhbar juga mengatakan: “Susah hendak mencari manusia yang hanya memuja nafsu atau memuja Allah semata- mata selagi ada perjuangan dan pergelutan di antara nafsu baik dan nafsu jahat.”

Sungguhpun begitu, beliau yang juga Mursyidul Am Pas tidak pula menyatakan secara terperinci dan jelas tentang budaya ‘cah keting’ yang wujud dan adakah ia berada pada tahap serius dan membimbangkan sehingga beliau membaca doa khusus memohon perlindungan daripada Allah SWT agar dijauhkan parti itu daripada amalan ‘cah keting’.

Kenyataan Nik Aziz itu dapat diterjemahkan kepada wujudnya puak atau kem tertentu di dalam Pas yang mengganggu-gugat kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui oleh Nik Aziz sendiri sebagai Menteri Besar Kelantan. Beberapa persoalan menarik boleh dianalisis berkaitan kenyataan terbuka Nik Aziz ini, iaitu yang pertama, kenapa boleh wujud budaya ‘cah keting’ di dalam Pas yang dikatakan sebuah ‘parti Islam’.

Kedua, puak atau kem manakah yang mengamalkan budaya ini iaitu untuk menggugat dan memberi tekanan kepada Nik Aziz sebagai Menteri Besar. Ketiga, adakah pihak yang terlibat mahukan Nik Aziz segera meletak jawatan sebagai Menteri Besar selepas timbul isu-isu yang secara tidak langsung mengaitkan Nik Aziz, misalnya dalam isu menantunya, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman di dalam krisis Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan isu keluarga di dalam mempengaruhi keputusan dan tindakan beliau.

Paling menarik apakah yang dimahukan daripada amalan ‘cah keting’? Adakah kerusi Menteri Besar Kelantan menjadi pertaruhan selepas terlalu lama beberapa pihak tertentu di dalam Pas mengimpikan kerusi empuk itu.

Adakah susulan pengakuan Nik Aziz yang mengakui kerajaan negeri telah melakukan kesilapan sehingga menanggung kerugian besar dalam projek pembinaan Bazar Tok Guru seperti yang dilaporkan akhbar sehingga timbul keadaan yang menyebabkan penghuni kerusi empuk itu patut diganti!

Isu terkini Bazar Tok Guru seolah-olah mengiyakan budaya ‘cah keting’ ini. Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan turut mempersoalkan bagaimana maklumat mengenai keputusan mesyuarat exco berkaitan pembelian aras bawah bazar itu boleh bocor kepada pihak-pihak tertentu, sedangkan keputusan mesyuarat masih belum disahkan. Beliau turut hairan bagaimana pemilik laman blog Kickdefella memperoleh maklumat tersebut.

Kenyataan Nik Aziz yang mengakui wujudnya ‘cah keting’ ini mungkin juga kesan daripada kebocoran maklumat mesyuarat exco tersebut dan hakikat adanya ‘tangan ghaib’ dan kem yang secara jelas menyerang untuk menjatuhkan dan mencemarkan imej Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan yang dianggap dan digelar Tok Guru atau Tuan Guru oleh pendokong Pas.

Nampaknya sindrom ‘cah keting’ ini mulai menyerang Pas kerana di dalam parti itu sendiri telah wujud ‘kem-kem’ tertentu seperti yang hangat dibincang dan diperdebatkan oleh pelbagai pihak menjelang Pas mengadakan pemilihan barisan kepimpinannya di dalam Muktamar Agungnya yang lalu.

Ramai pemerhati melihat dan dapat mengagak dengan jelas semasa proses pemilihan Pas yang lalu mengenai siapa calon yang pro kepada Presiden dan siapa pula yang dianggap anak didik kepada Nik Aziz. Ternyata, budaya ‘cah keting’ ini telah dan akan terus menjadi budaya baru dalam Pas walaupun ia sebelum ini menafikan wujudnya kem tertentu semasa pemilihan barisan kepimpinan Pas yang lalu.

Tidak hairan sekiranya selepas ini, ramai pemimpin Pas akan menafikannya, seperti mana timbul isu-isu yang lainnya sebelum ini. Sungguhpun begitu, hakikat kenyataan harus ditelan walaupun ia pahit dan yang jelas Nik Aziz sendiri mengakui secara terbuka wujudnya budaya ‘cah keting’ di dalam Pas.

Warna-warni politik
Torashah

1 ulasan:

10 BUDAK HITAM berkata...

Assalamualaikum saudara,

Dalam kita bersama-sama menongkah arus dan memperjuangkan setiap idea dan pendekatan ke arah kemakmuran dan keamanan sejagat,kami mohon jasa baik saudara untuk letakkan blog kami,

http://10sibudakhitam.blogspot.com/

dalam blog list saudara.Blog saudara juga telah kami masukkan dalam list kami agar kita dapat sama-sama berkongsi memartabatkan agama dan bangsa tercinta.

10SBH dengan ini juga secara rasminya menjadi followers blog saudara.

Dalam memantapkan ukhwah dan merapatkan saf, harapan kami agar dapat kita sama-sama jadi followers blog dan membuktikan generasi maya yang bersatu dalam perjuangan di alam siber.

Menjadi followers di blog 10SBH di http://10sibudakhitam.blogspot.com, kami dahului dengan ucapan terima kasih.

Salam ukhwah dari 10 Si Budak Hitam..Assalamualaikum.