Semalam penduduk Lembah Klang dikejutkan dengan berita Gereja Metro Tarbenacle, Taman Melawati terbakar manakala Gereja Assumption di Petaling Jaya dan Gereja Chapel, Damansara dibaling bom petrol namun ia tidak meletup.
Kebetulan pula pada hari yang sama iaitu selepas solat Jumaat beberapa buah masjid di ibu negara menyaksikan perhimpunan membantah penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan majalah Herald-The Catholic Weekly.
Kebetulan pula pada hari yang sama iaitu selepas solat Jumaat beberapa buah masjid di ibu negara menyaksikan perhimpunan membantah penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan majalah Herald-The Catholic Weekly.
Ada juga dalam perhimpunan itu mengutuk perbuatan membakar gereja yang berlaku awal pagi semalam. Dua kejadian yang berkaitan dengan agama ini bukan sahaja menjadi berita di negara kita, tetapi sudah menjadi berita dunia.
Seluruh dunia terutama masyarakat Kristian pasti mengutuk Malaysia. Pelbagai persepsi bermain dalam fikiran mereka terutama yang cemburu dengan imej Malaysia sebagai negara contoh dalam memelihara perpaduan di kalangan penduduk berbilang kaumnya.
Bukan mudah untuk membersihkan lumpur yang disimbah oleh penjenayah-penjenayah yang telah dan ingin membakar gereja berkenaan. Sekarang nama baik Malaysia sudah terjejas. Kemarahan sekumpulan kecil individu fanatik telah merosakkan kesucian agama Islam dengan melakukan perbuatan yang ditegah oleh Islam.
Jelas mereka yang terbabit dengan jenayah itu bukan sahaja merosakkan nama Malaysia malah lebih utama ialah kesucian agama Islam. Kita tidak nafikan perbuatan itu ada kemungkinan besar didorong oleh kemarahan individu berkenaan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' oleh majalah bukan Islam itu.
Tetapi membakar gereja bukan caranya menyelesaikan masalah atau memberi isyarat kemarahan umat Islam. Malah agama Islam melarang umatnya memusnahkan mana-mana rumah ibadat agama lain.
Kita masih tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan itu. Tetapi akibat cara berfikiran cetek mereka itu, imej diri, agama, bangsa dan negara telah terjejas. Hakikatnya, isu-isu yang menyentuh perasaan orang Islam amat sensitif. Sebab itu banyak peringatan dikeluarkan agar semua pihak jangan bermain api dalam isu agama. Sekarang semua pihak kena ingat bahawa isu agama benar-benar mengancam keselamatan awam dan negara.
Kepada rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia, semua pihak perlu bertenang dan tidak bertindak mengikut perasaan. Kerosakan gereja yang dibakar boleh dibayar ganti ruginya oleh pihak insurans. Tetapi jika tindakan ekstrem berunsur membalas dendam, ia boleh menghancurkan perpaduan kaum yang kita bina sejak negara ini merdeka.
Perbuatan menyerang dan cubaan membakar tiga gereja di ibu negara semalam memang tidak boleh dimaafkan. Tetapi jangan akibat nafsu marah dan provokasi sesetengah pihak itu dibiarkan hingga boleh memecah-belahkan kaum dan keharmonian negara.
Kita percaya majoriti umat Islam di Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu fanatik yang mengambil kesempatan atas nama agama untuk membakar gereja. Tetapi tiada siapa berhak membuat tuduhan bahawa insiden itu dilakukan orang Islam kerana terdapat pelbagai kemungkinan dalam kejadian tersebut.
Sekarang sudah bermacam-macam teori dan spekulasi dibuat. Ada mengatakan tragedi tersebut seolah-olah dirancang sewaktu umat Islam mahu mengadakan demonstrasi bantahan terhadap penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan Kristian selepas solat Jumaat semalam.
Ada teori bahawa serangan terhadap tiga gereja itu berkemungkinan perbuatan pihak tertentu untuk mensabotaj orang Islam dan ekonomi negara. Namun apa yang betul ialah individu yang melakukannya adalah penjenayah di sisi undang-undang negara.
Sebelum insiden ini menjadi batu loncatan kepada tragedi yang lebih buruk maka Kementerian Dalam Negeri bukan sahaja harus bertindak secara profesional tetapi juga menanganinya dengan berkesan. Kerajaan perlu menunjukkan ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang agar dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak.
Jika peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu dikenakan, maka laksanakannya tanpa was-was. Jika ada pihak tidak mematuhi undang-undang penerbitan, larangan penyebaran agama lain kepada orang Islam, penggunaan kata kesat dan penghinaan kepada agama lain, kenapa pihak berkuasa masih teragak-agak untuk mengambil tindakan?
Satu tindakan berkesan dan mesej yang jelas terhadap pengacau keamanan negara perlu dilaksanakan. Kepada mereka yang mahu menimbulkan suasana kacau-bilau kepada negara, kerajaan dan polis harus bertindak tegas. Pendekatan mengeluarkan 'amaran' dan tolak ansur dalam situasi begini elok difikir dan dikaji semula. - UM
Warna-warni Politik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan