DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Isnin, 8 Mac 2010

Nik Aziz Gelar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Sebagai Ejen UMNO!






















Nik Abdul Aziz Nik Mat menggelarkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai ejen UMNO apabila ulama itu didakwanya masuk campur dalam usaha membentuk kerajaan campuran di Perak.

Mursyidul Am Pas itu mendakwa peranan Harrussani selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) merendahkan martabatnya sebagai mufti malah tidak lagi layak memakai gelaran itu.
"Beliau telah menjadi ejen UMNO. Kemuliaan seorang mufti hilang kalau merelakan diri menjadi ejen.

Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular. "Saya kira, seorang mufti yang menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa)," kata beliau dalam kenyataan hari ini. Nik Abdul Aziz berkata demikian sebagai reaksi terhadap pendedahan terbuka Harussani dalam Program Dialog Za'ba - Perpaduan Melayu, Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Harussani mendakwa, Pas Perak bersikap angkuh apabila menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan selepas PRU12 walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak dan juga dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Nik Abdul Aziz terkilan kerana Harussani menyebut namanya tanpa kehadiran beliau untuk mengesah atau menafikan perkara itu. ''Mufti bukan orang politik yang terdedah dengan kaedah menyerang atau diserang. Mengaitkan nama saya dalam kenyataan politik seorang yang bukan tokoh politik merupakan satu tingkah laku yang tidak beretika.

''Justeru, apabila mufti mengambil tindakan melagukan nama saya dengan irama politik, saya harus memberikan jawapannya," ujar beliau. Dalam kenyataannya, Nik Abdul Aziz tidak mengesahkan dakwaan Harussani bertemunya, sebaliknya hanya bertanya: "Tidakkah tindakan Harussani itu membuktikan keterlibatannya dengan politik?"

Tegasnya, jika mufti sendiri sanggup melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti meliputi tugas politik. "Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah? Jika demikian, beliau telah mengiktiraf perjuangan Pas adalah benar.

"Jika tidak, kenapa libatkan diri dengan politik? Bukankah itu salah mengikut akidah UMNO.
"Jika Mufti Perak beranggapan politik dan Islam perlu selari, selangkah kaki beliau sepatutnya sudah berada di dalam Pas," katanya.

Sementara itu : Mufti Perak, Tan Sri Harussani berkata, tujuan beliau mengungkap kembali usahanya membantu menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak adalah supaya tidak ada nada songsang dari mana-mana pihak yang menyatakan mufti tidak berperanan dalam menyatukan masyarakat Melayu Islam.

Nik Abdul Aziz Nik Mat disifatkan sebagai mengamal fahaman politik sempit apabila menggelarkan seseorang mufti itu ejen parti politik jika mencampuri aspek kepimpinan negeri.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan, tanggapan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz itu menunjukkan Mursyidul Am Pas tersebut tidak memahami fungsi dan peranan mufti yang sebenar.

Adakah Tok Guru Nik Aziz seorang ULAMAK!!!

Warna-warni Politik
Torashah

5 ulasan:

wasabi berkata...

Salam..

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih layak digelar ejen perpecahan berbanding tindakan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mahu menyatupadukan umat Islam menerusi cadangan pembentukan kerajaan campuran di Perak.

Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar berkata, Menteri Besar Kelantan itu sepatutnya muhasabah peranan yang dimainkan dirinya untuk perpaduan umat Islam daripada menghina Mufti Perak.

"Nik Abdul Aziz memperlekehkan Harussani sebab beliau tidak dapat membezakan peranan mufti sebagai penasihat dalam urusan agama dan bukannya ejen UMNO.

"Mufti memainkan peranan menyatupadukan umat Islam tanpa mengira fahaman politik tetapi berdasarkan kenyataan Nik Abdul Aziz dan para pemimpin Pas yang menolak perpaduan, merekalah ejen perpecahan umat Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut Hamdi berkata, sebagai seorang yang digelar tok guru oleh penyokong Pas, Nik Abdul Aziz sewajarnya menerima kenyataan Mufti Perak sebagai satu teguran dan bukannya bersikap melenting.

Katanya, janganlah hanya kerana digelar ulama dan tok guru, Nik Abdul Aziz mengatakan orang lain sering melakukan kesilapan dan tidak pula melihat kesilapan diri sendiri.

"Kita tidak pernah melenting semasa Mufti Perak tegur UMNO.

"Semasa Mufti Perak tegur UMNO, orang Pas kata Harussani penyokong Pas tetapi apabila mereka pula ditegur, mereka tuduh Mufti Perak ejen UMNO," katanya.

Sebelum ini, Harussani mendedahkan keangkuhan Pas Perak yang menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan dipersetujui kepimpinan tertinggi parti.

"Apabila dikemukakan cadangan penubuhan kerajaan campuran antara Pas dan Barisan Nasional (BN), Pesuruhjaya Pas Perak (ketika itu), Ahmad Awang terus berkata, kita tidak akan bersekongkol dengan orang Islam (UMNO) yang zalim, lebih baik berkawan dengan kafir (DAP)," kata Harussani.

Sementara itu, Penasihat Hal Ehwal Agama Kepada Menteri Besar Perak, Datuk Mohd. Najmuddin Elias Al-Hafiz menafikan Harussani adalah ejen UMNO seperti yang didakwa Menteri Besar Kelantan itu.

''Tuduhan itu agak melampau, mufti bukan orang UMNO dan tidak bergiat dalam UMNO pun. Sebagai mufti, beliau ditugaskan untuk menyatupadukan umat Islam.

''Apabila Harussani melihat perpecahan di Perak, beliau mengambil jalan tengah untuk mendamaikan kedua-dua pihak iaitu melibatkan dua parti Melayu terbesar - UMNO dan Pas.

''Ini bermakna, beliau bukan ejen UMNO tetapi ejen perpaduan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Najmuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau berkata, beliau hairan mengapa sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam sanggup menolak usaha itu.

''Kita hairan apabila kepimpinan tertinggi Pas pada dasarnya telah bersetuju untuk mewujudkan kerajaan perpaduan di Perak tetapi ditentang oleh beberapa pemimpinnya.

''Islam sendiri kata umat Islam bersaudara, jadi menjadi tanggungjawab orang beriman untuk menggalakkan perpaduan. Ini kerana kekuatan orang Islam terletak pada perpaduan," katanya.

wasabi berkata...

Tokoh ulama terkenal Kelantan, Abdullah Saamah, mahu umat Islam melihat kenyataan oleh pemimpin agama, termasuk mufti yang dilantik kerajaan, dalam konteks yang lebih luas dan bukan melihat dari sudut politik sahaja.

Abdullah, yang juga pengetua sekolah pondok, Madrasah Al-Najmiah Tebing, Pengkalan Kubor di sini, berkata, menjadi tanggungjawab seseorang ulama menyampaikan ajarannya berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang ada walaupun ia dilihat lebih condong kepada parti pemerintah.

Menurutnya, anggapan pihak tertentu kononnya ulama yang menyokong kerajaan sebagai ejen sesebuah parti politik adalah tidak wajar dan bercanggah dengan ajaran Islam sebenarnya.

Beliau menyokong kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilihatnya lebih menjurus ke arah perpaduan umat Islam walaupun tidak disenangi parti pembangkang.

"Saya menyokong pandangan Mufti Perak itu kerana dia bercakap berasaskan kepada kebenaran mengikut ajaran Islam dan bukannya berpihak kepada sesebuah parti politik," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam yang menyifatkan Harussani sebagai ejen UMNO kerana Mufti Perak itu mempersoalkan keengganan Pas menerima cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara Pas dan Barisan Nasional di Perak selepas pilihan raya umum pada Mac 2008.

Menurut Abdullah, mereka yang menganggap Harussani sebagai ejen UMNO lebih condong kepada politik kepartian.

Beliau berkata, mereka yang melihat sesuatu perkara daripada aspek politik sempit akan hanya menerima pandangan puak mereka sahaja.

wasabi berkata...

Peranan mufti bukan sekadar memberi pandangan dan mengeluarkan fatwa.

MAHA suci Allah SWT dan selawat atas junjungan Rasulullah pembawa rahmat ke seluruh alam. Amma ba'du.

Berkenaan anggapan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan bahawa saya adalah ejen UMNO dan bukannya seorang mufti menurut laporan akhbar pada Isnin 8 Mac 2010 adalah disangkal berdasarkan beberapa alasan:

1. Saya adalah mufti yang dilantik oleh DYMM Tuanku Sultan Perak yang antara lain tugasan utama saya adalah membantu dan menasihat DYMM Sultan dalam perkara yang berkaitan hukum syarak. Oleh yang demikian, segala urusan yang menjadi kepentingan orang Islam dan Islam itu sendiri, maka saya bertanggungjawab memberi pandangan apatah lagi ia membabitkan perpaduan dan hubungan antara dua parti terbesar orang-orang Melayu Islam. Ini selaras dengan saranan al-Quran supaya mendamaikan dua golongan yang bertelagah dengan seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 9 :

Terjemahan : Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang- orang yang berlaku adil. - (9) al Hujurat : 9

2. Kenyataan yang saya utarakan tempoh hari adalah berdasarkan kepada pengamatan saya terhadap Pas Perak khususnya yang tidak mahu memberi ruang untuk berbincang semeja selepas mereka menang dalam pilihan raya yang lalu berkenaan perkongsian kuasa dengan rakan Islam yang lain dari UMNO, malah mereka tidak menunjukkan minat untuk mengadakan perbincangan dengan dakwaan yang pelbagai.

3. Saya mengungkap kembali apa yang yang berlaku bukan untuk merosakkan nama pihak-pihak yang terlibat, namun untuk mengimbaskannya kembali supaya tidak ada nada songsang dari mana-mana pihak yang menyatakan bahawa mufti tidak berperanan dalam menyatukan masyarakat Melayu Islam. Semua ini berlaku disebabkan ada pihak-pihak yang memohon nasihat dan pandangan saya, bagaimana perlu dilakukan bagi mengembalikan semula kekuatan Melayu Islam. Maka, saya berpandangan tidak ada jalan pintas melainkan berusaha bersama-sama mencantumkan semula dua parti yang majoritinya Melayu agar bersatu.

bersambung...

wasabi berkata...

sambungan...

4. Ingin saya tegaskan bahawa mufti bukan sekadar memberi pandangan dan mengeluarkan fatwa berhubung dengan isu air mutlak dan haid sahaja, malah lebih dari itu apatah lagi yang membabitkan kepentingan umat Islam biarpun terpaksa menerima cercaan dari pelbagai pihak seperti mana yang berlaku di zaman pemerintahan Al Muzaffar Qutuz (1259-1260m) yang sedang dilanda kegawatan perang dengan tentera Tartar. Pemerintah ketika itu memohon pandangan Ulama' terutamanya dari As Syeikh Izzudin Abdul Salam (sultanul Ulama') bagi mengenakan cukai kepada rakyat bagi menampung kos peperangan sehingga ulama' tersebut dikritik oleh pemerintah sendiri.

5. Saya sendiri dalam pelbagai hal telah mengutarakan pelbagai teguran dan pandangan termasuk isu murtad dan konsert Sure/Jom Heboh dan IFC yang melibatkan pemerintah. Dalam hal ini, saya berkeyakinan bahawa pandangan yang diberikan adalah berdasarkan tugasan saya sebagai seorang mufti.

6. Perpaduan Umat Islam merupakan agenda penting yang diterapkan oleh Rasulullah SAW ketika mana baginda berhijrah ke Madinah seperti Firman Allah SWT :

Terjemahan : Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (10) - al Hujurat : 10

7. Saya menegaskan di sini bahawa, sebarang kenyataan yang telah saya keluarkan bukanlah untuk bermusuhan dengan mana-mana pihak apatah lagi dengan Mursyidul Am Pas, yang saya kenali dan menghormati pandangan beliau sebelum ini. Segala pandangan yang diberi adalah berdasarkan tanggungjawab saya sebagai mufti dan saya tidak pernah khuatir dengan apa-apa gelaran yang dilemparkan kepada saya.

wasabi berkata...

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengamalkan fahaman politik sempit dan tidak memahami fungsi serta peranan sebenar mufti sehingga sanggup menggelar mereka sebagai ejen parti politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan, tugas seseorang mufti adalah melaksanakan segala titah sultan atau raja yang berkaitan dengan soal keagamaan termasuk kepimpinan sesebuah negeri.

"Mufti ialah orang yang dilantik oleh sultan atau raja. Apa-apa titah yang berkaitan negeri dan keagamaan, tentulah ia sesuatu yang dijunjung oleh mufti.

"Jadi tidak boleh jika mufti bercakap mengenai kepimpinan negeri, lalu kita mengatakan mufti itu ejen parti politik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang menggelarkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai ejen UMNO apabila ulama itu didakwanya masuk campur dalam usaha membentuk kerajaan campuran di negeri itu.

Nik Abdul Aziz berkata, peranan Harussani selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) terutama dalam soal pembentukan kerajaan campuran di Perak telah merendahkan martabatnya sebagai mufti malah ulama itu tidak layak lagi memakai gelaran tersebut.

Jamil Khir menegaskan, peranan mufti di sesebuah negeri bukan sekadar mengeluarkan fatwa semata-mata, bahkan tugasnya turut menyentuh soal kepimpinan berdasarkan apa yang dititahkan oleh pemerintah kepadanya.

"Hal-hal yang berkaitan soal keagamaan dan titah tuanku adalah tanggungjawab mufti.

"Islam juga merupakan agama yang menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan meliputi politik," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Nik Abdul Aziz berhenti menggelar Harussani sebagai ejen UMNO kerana ulama itu menjalankan tanggungjawab seperti dititahkan oleh Sultan Perak kepadanya.

"Kalau mufti bercakap politik, ulama itu tidak boleh digelar sebagai ejen parti politik. Ini persepsi yang merendahkan kedudukan mufti," tegasnya.