Esok, 5 Januari 2009, sejumlah 13,000 orang murid tadika KEMAS di Perak tidak dapat meneruskan pengajian bila kerajaan Pakatan Rakyat Perak bertindak menutup 700 kelas tadika KEMAS. Setelah memberi kelulusan geran tanah kampung baru di Perak, kali ini kerajaan negeri Perak bertindak menutup pula sekolah tadika.
Apakah kerajaan PAS, DAP dan PKR di Perak mahu mengikut jejak langkah kerajaan PAS Terengganu yang bertindak menutup tadika semasa memerintah Terengganu dulu?
Mengapa anak-anak kecil berusia 5 dan 6 tahun menjadi mangsa Pakatan Rakyat? Anak orang PAS dan PKR pun diterima masuk ke KEMAS, tiada siapa yang dinafikan untuk mendapat hak pendidikan. PAS pun ada sekolah tadikanya sendiri yang dikenali sebagai TASKI. Biarpun sudah memerintah Kelantan selama 18 tahun, tetapi sistem sekolah TASKI tidak pun diperkemaskan dan diperluaskan bilangannya. Setelah perintah Kedah dan Perak pun, tidak banyak wang kerajaan Pakatan Rakyat dihabiskan untuk sistem pendidikan.
Oleh itu, ramai keluarga masih memilih untuk masuk ke tadika KEMAS. Malah ramai lagi anak-anak orang PAS di Kelantan turut memasuki tadika KEMAS. Tanpa mengira apa warna politik keluarganya, anak-anak kecil diberikan hak untuk masuk tadika KEMAS. Namun, tindakan terbaru kerajaan negeri Perak menutup tadika KEMAS adalah sesuatu tindakan yang amat tidak wajar. Sila buka kembali kunci tadika demi pendidikan anak-anak kecil, mereka belum faham pun erti politik. Jangan jadikan mereka mangsa kebencian Pakatan Rakyat pada Barisan Nasional.
AZRINIZAM IBRAHIM Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)
13,000 murid tadika terjejas
Oleh AZMI ABDUL MALEK
BAGAN DATOH 3 Jan. - Kira-kira 13,000 murid tadika di negeri ini mungkin terjejas pembelajaran mereka ekoran tindakan kerajaan negeri Perak mengarahkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengosongkan 700 premis tadika milik agensi itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa pegawai Kemas mendakwa mereka telah diarahkan oleh Pejabat Daerah supaya menyerahkan kunci dewan orang ramai dan pejabat Kemas kepada kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, sesetengah Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Persekutuan (JKKP) telah menyerahkan kunci premis berkenaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) kerana tidak mahu bertengkar dengan mereka.
"Bagaimanapun masih ada pegawai Kemas yang belum menyerahkan kunci berkenaan kerana mempertahankan hak masing-masing. "Kerajaan Perak tidak berhak mengguna dan mengendalikan program dalam bangunan yang dibina sendiri oleh Kerajaan Pusat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesra Rakyat dan Sukaneka anjuran Kemas Negeri Perak di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kakitangan dan guru Kemas di negeri ini berhak mempertahankan kepentingan 13,000 kanak-kanak yang seharusnya mendapat pendidikan awal apabila sesi persekolahan bermula Isnin ini. Beliau kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang menidakkan hak anak-anak penduduk miskin di negeri ini untuk menerima pendidikan awal.
Sehubungan itu, beliau meminta kakitangan Kemas meneruskan program mereka walaupun dipaksa keluar daripada premis berkenaan.
"Saya juga meminta kerajaan negeri menarik balik arahan yang boleh merugikan masyarakat itu,'' tegasnya. Menurutnya, adalah tidak wajar kanak-kanak prasekolah menjadi mangsa akibat keangkuhan dan permainan politik pihak tertentu di negeri ini.
Utusan Malaysia
2 ulasan:
Kalau cakap pasal kemas kunci pintu gerbang yang disiarkan dalam TV3 tu, semua tak betul bang. Awak tak tau betapa malunya aku masa tu. Penat-penat bawak menteri datang alih-alih pintu tak berkunci pun. Cikgu pompuan tu bikin susah aku je. Aku ingatkan betul gate berkunci rupanya Cikgu tadika tu ada masalah peribadi dengan Ketua kampung yang pegang kunci tu. Jadi tak nak ambil kunci gate dari rumah ketua kampung yang baru. Malu besor aku ari tu.
Salam...
apalah nak jadi dengan pemimpin sekarang ni..terlampau gairah mengunakan kuasa..
tak kira situasi apapun, yang penting dah BERKUASA..
sehingga anak2 menjadi mangsa...
yang ramai kanak2 di Tadika Kemas adalah...MELAYU...diulangi MELAYU..
gunakan akal skit..
Catat Ulasan