Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyatakan rasa sokongan dan terharu terhadap titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah mengenai rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu. Semangat titah tersebut harus dihayati oleh rakyat dan pemerintah, khususnya Kerajaan Negeri Perak.PERKASA sedih kerana semangat pendirian Raja-raja Melayu pada tahun 1950 itu telah dilupakan oleh pimpinan kerajaan Negeri Perak yang berkuasa sekarang.
Ada banyak cara di mana kaum bukan Melayu telah dan boleh memiliki tanah-tanah di negeri itu melalui kuasa ekonomi dan pembangunan. Selama ini proses tersebut tidak pernah dibangkitkan oleh orang Melayu. Tetapi kelulusan 999 tahun kepada kampung-kampung baru merupakan pengkhianatan dan tindakan yang tidak prihatin terhadap perasaan orang Melayu seluruhnya dan anggota keselamatan khususnya.
Kewujudan kampung-kampung baru oleh penjajah Inggeris ketika itu bertujuan untuk mengasingkan penempatan kaum Cina daripada bekerjasama dengan penganas-penganas komunis yang pernah memerintah Negara dibawah kuasa bintang tiga. Maka penempatan yang dinamakan sebagai kampung baru itu diberikan segala kelengkapan insfrastuktur yang tidak dimiliki oleh kampung Melayu tradisional ketika itu.
Sewajarnya, sekiranya Kerajaan Negeri Perak ingin memberikan kelulusan tanah untuk tempoh yang begitu lama, ianya wajib diberikan kepada anggota keselamatan, polis dan tentera, yang telah bekorban mempertahankan Negara daripada ancaman Komunis. Mereka bertungkus lumus dan berkorban nyawa dan darah untuk Negara. Keluarga anggota keselamatan ini lebih layak dan berhak dianugerahkan pemilikan tanah sehingga 999 tahun malahan wajib untuk hak milik kekal selama-lamanya.
PERKASA berharap kerajaan Negeri Perak tidak akan melupakan hakikat sejarah perjuangan ini.Jika anggota keselamatan tersebut telah meninggal dunia maka kaum keluarga mereka wajib diberikan pengiktirafan melalui pemberian tanah hak milik kekal. Keluarga mereka ini masih melarat dirumah-rumah setinggan dan rumah-rumah pangsa sekangkang kera.Janganlah mengharapkan hujan dilangit air tempayan dicurahkan.
Kerana ingin mendapatkan sokongan politik sementara dari kaum lain maka perasaan anggota keselamatan dan kaum bumiputra umumnya dilukakan. Keputusan politik semasa yang silap boleh mengubah sejarah Negara yang akan datang. Ketika itu penyesalan tidak mempunyai apa-apa makna lagi. PERKASA percaya jika permainan politik begini berterusan banyak lagi perkara-perkara yang melibatkan ‘nyawa’ bangsa Melayu akan dikorbankan.
Yang Benar
Dato’ Fuad Hassan
Timbalan Presiden Perkasa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan