Pedulikan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar yang ternyata amat teruk dan tidak masuk akal.
Demikian reaksi spontan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas tindakan Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bersama enam anggota Exconya daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri berkuat kuasa serta-merta.
Tegas Perdana Menteri, apa yang harus dilakukan oleh Zambry sekarang adalah terus menjalankan fungsi pentadbiran negeri sebagai kerajaan sah seperti mana dikehendaki rakyat.
Malah, beliau menyelar perlakuan Sivakumar yang juga ADUN DAP kawasan Tronoh itu sebagai tidak menghormati keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang berkenan melantik Zambry dan barisan Exconya mengetuai kerajaan negeri. ‘‘Ini merupakan usaha terakhir pakatan pembangkang mahu menggulingkan kerajaan BN yang sah di Perak.
‘‘Oleh itu kerajaan negeri Perak (diterajui Zambry) perlu membuat laporan polis kerana apa yang dilakukan oleh Speaker DUN Perak itu sesuatu yang menyalahi atau menolak apa yang telah dilaksanakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak dan perlembagaan negeri,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Kemanusiaan Untuk Kanak-Kanak Gaza di Sri Perdana di sini hari ini.
Semalam, Sivakumar mengambil tindakan mengejutkan dan dianggap tidak mengikut peraturan apabila menggantung dan melarang Zambry bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta-merta. Tindakan itu dibuat melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diketuai oleh Sivakumar. Sivakumar dalam kenyataannya menegaskan, pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar dan enam Exco dalam kerajaan negeri yang baru itu tidak sah kerana tidak mengikut peraturan.
Ekoran itu, Zambry digantung dan dilarang menghadiri sidang DUN selama 18 bulan manakala enam Exco pula dikenakan hukuman sama selama 12 bulan.
Abdullah berkata, tindakan Sivakumar itu juga bermotif untuk mengurangkan bilangan wakil rakyat BN dalam DUN menjadikannya daripada 28 kepada 21 ADUN sahaja. ‘‘Ertinya 21 dan kalau ada undi, mereka berharap kemenangan akan berpihak kepada parti-parti dalam pakatan pembangkang. Niatnya tidak ada yang baik, hanya untuk menggulingkan kerajaan BN yang diwujudkan,” katanya.
Justeru, kata Abdullah, dalam situasi sekarang adalah lebih baik BN meneruskan pemerintahannya supaya kerajaan negeri terus stabil sekali gus memastikan perkhidmatan yang berterusan untuk rakyat. - UM
ULASAN :
Digantung tak jejas tugas - MB
Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung beliau dan enam Exconya daripada menghadiri sidang DUN tidak menghalangnya menjalankan tugas seharian.
Katanya, beliau akan menjalankan tugas seperti biasa dan menyerahkan sepenuhnya isu penggantungan itu untuk diselesaikan menerusi saluran perundangan. ''Apa yang penting adalah kesahihan tindakan Speaker terbabit lebih-lebih lagi selepas melakukan pembohongan besar kononnya saya bersama enam Exco kerajaan Barisan Nasional (BN) telah gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan petang semalam.
''Tidak timbul soal saya dan enam (Exco) berhadapan masalah untuk masuk DUN kerana isunya sekarang adalah cara dia bertindak. ''Dia telah menyalahgunakan sepenuhnya kuasa sebagai Speaker dan kita akan menangani hal ini mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian program Hari Masyarakat Nelayan, Penternak dan Petani Negeri Perak yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed di sini hari ini.
Sebagai Speaker DUN Perak, kata Zambry, Sivakumar seharusnya menyedari sama ada tindakannya itu dilakukan benar-benar mengikut lunas undang-undang. Bagaimanapun, katanya, dalam surat yang diberikan kepada beliau, Speaker tersebut secara jelas mendakwanya bersama enam lagi Exco BN gagal memberikan penjelasan kepada jawatankuasa berkenaan.
Tambahnya, kenyataan itu adalah bohong dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Speaker DUN. Ditanya sama ada keputusan Sivakumar itu sebagai muktamad dan tidak boleh dipertikaikan, Zambry bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Sivakumar dalam kenyataan akhbar empat perenggan semalam, mengumumkan Zambry digantung serta-merta dan dilarang daripada menghadiri sesi DUN Perak selama 18 bulan manakala enam lagi Exco lain digantung selama 12 bulan daripada menghadiri sesi DUN juga berkuatkuasa semalam.
Kesemua tujuh ADUN BN itu sebelum ini diberi notis saman supaya tampil di hadapan jawatankuasa itu berikutan aduan ADUN Canning (DAP), Wong Kah Woh bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin belum meletak jawatan secara rasmi.
Sivakumar berkata, setelah meneliti aduan tersebut, beliau mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry (ADUN Pangkor), Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd. Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr. Mah Hang Soon (Chenderiang).
Tindakan bermotif politik, balas dendam
Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exconya daripada menghadiri sidang Dewan semalam dilihat bermotifkan politik dan membalas dendam.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Speaker daripada parti DAP itu tidak mempunyai asas kukuh berbuat demikian yang secara jelas mempertikaikan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. ''Pelantikan Zambry dan enam Exco kerajaan negeri dibuat atas perkenan Sultan Perak mengikut perlembagaan, jadi nampak juga di sini Speaker DUN telah menyalahgunakan kuasanya.
''Tindakan itu adalah tidak tepat, saya sendiri tidak tahu apakah asas beliau berbuat demikian. Apa yang saya faham, Menteri Besar dan barisan Exconya tidak melanggar apa-apa peraturan Dewan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pilihan raya kecil Bukit Gantang di bangunan UMNO Bahagian Bukit Gantang di sini hari ini. Semalam, Sivakumar mengambil tindakan mengejutkan dan dianggap tidak mengikut peraturan apabila menggantung dan melarang Zambry bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN berkuatkuasa serta-merta.
Tindakan itu dibuat melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang diketuai Sivakumar yang juga ADUN kawasan Tronoh. Sivakumar menegaskan, pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar dan enam Exco dalam kerajaan negeri yang baru itu tidak sah kerana tidak mengikut peraturan.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau amat berpuas hati dengan persiapan awal UMNO dan Barisan Nasional (BN) Bukit Gantang bagi menghadapi pilihan raya kecil Parlimen itu pada 7 April ini. Menurut beliau, semangat yang berkobar-kobar jelas terpancar di wajah setiap pemimpin parti-parti komponen kerana sedar pilihan raya kecil itu amat penting bagi menunjukkan bahawa UMNO dan BN tetap mendapat sokongan rakyat.
Kata beliau, kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu tidak bermakna BN telah ditolak oleh rakyat, malah ia telah memberi pengajaran berguna kepada parti itu. Katanya, apa yang pasti dalam pilihan raya kecil kali ini, BN akan memilih calon yang diterima oleh pengundi dan bukan calon yang digemari parti.
''Pengundi adalah raja, mereka akan memilih calon yang mereka suka dan bukan calon yang parti suka. Kita kena buktikan BN adalah pilihan terbaik lebih-lebih lagi setelah mengambil alih kerajaan negeri. ''Pada masa yang sama, pucuk pimpinan juga akur untuk mengambil calon tempatan dan bukan calon dari luar. Pemimpin di peringkat bahagian ini pula bersedia bekerja bermati-matian untuk memastikan kemenangan BN dan mematuhi arahan pucuk pimpinan," katanya.
Karpal: Keputusan Speaker DUN Perak tidak boleh dikuatkuasakan
Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V. Sivakumar menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exconya daripada menghadiri sidang DUN negeri itu, tidak boleh dikuatkuasakan. Katanya, keputusan itu hanya boleh dikuatkuasakan apabila disahkan oleh Dewan Undangan Negeri Perak (DUN).
Katanya, Sivakumar perlu memanggil sidang DUN Perak untuk mengesahkan keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan itu. ''Sivakumar mengambil tindakan di bawah Perkara 72(3) Peraturan Mesyuarat DUN untuk menggantung Zambry dan enam Exco yang mana apabila terdapat rungutan daripada ahli DUN semasa Dewan tidak bersidang maka keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa terbabit.
''Keputusan jawatankuasa itu bagaimanapun tidak boleh dikuatkuasakan selagi ia tidak disahkan oleh DUN dan hanya Sivakumar yang boleh memanggil sidang DUN kerana beliau merupakan Speaker yang sah ketika ini," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Karpal berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak yang dipengerusikan oleh Sivakumar menggantung Zambry selama 18 bulan dan enam Exco selama 12 bulan semalam.
Katanya, dalam kes beliau yang digantung selama enam bulan pada tahun 2004, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mencadangkan dia digantung tetapi ia dibawa ke sidang Dewan Rakyat untuk disahkan di mana pengundian dijalankan dan mengesahkan penggantungan tersebut.
Tegas beliau, perkara yang sama harus dilakukan oleh Sivakumar untuk memanggil sidang DUN Perak yang harus dihadiri oleh semua wakil rakyat. ''Sidang DUN itu harus dihadiri oleh semua wakil rakyat termasuk Zambry dan enam Exco terbabit serta tiga wakil rakyat yang dikatakan telah meletak jawatan.
''Sidang DUN itu juga boleh digunakan untuk menggantikan Sivakumar sebagai Speaker, mengesahkan kedudukan tiga wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang kini menjadi ahli Bebas," katanya. Karpal menegaskan, Sivakumar tidak boleh menghalang mereka menghadiri persidangan selagi perkara itu tidak disahkan oleh DUN.
UM - Torashah
6 ulasan:
Zambry tidak boleh menghadap Sultan Perak:
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar terus menimbulkan kekeliruan apabila mendakwa Undang-Undang Tubuh Negeri Perak tidak memperuntukkan pihak yang tiba-tiba mendapat majoriti di DUN boleh menghadap Sultan Perak untuk memohon membentuk kerajaan.
Beliau berkata, undang-undang tersebut sebaliknya menyatakan hanya Menteri Besar yang sedang dalam mandat (Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin) bertanggungjawab menghadap Sultan Perak dan memohon supaya dewan dibubarkan jika hilang majoriti.
"Saya tidak mempertikaikan bahawa Tuanku mempunyai kuasa untuk tidak memperkenankan pembubaran DUN sekiranya sidang DUN telah meluluskan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.
"Tetapi oleh kerana perkara ini tidak dibincangkan dalam sidang DUN maka ia menjadi isu," katanya dalam kenyataan akhbar yang dibacakan di kediaman rasmi Menteri Besar di sini malam tadi.
Pada sidang akhbar itu, pihak wartawan yang kebanyakannya penulis blog tidak dibenar mengajukan sebarang soalan dan hanya beliau sahaja yang membaca kenyataan akhbar.
Kelmarin, Sivakumar mengambil tindakan mengejutkan dan dianggap tidak mengikut peraturan apabila menggantung dan melarang Zambry bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta-merta.
Beliau yang mengetuai Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN menegaskan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar dan enam Exco dalam kerajaan negeri yang baru itu tidak sah kerana tidak mengikut peraturan.
Ekoran itu, Zambry digantung dan dilarang menghadiri sidang DUN selama 18 bulan manakala enam Exco kerajaan negeri selama 12 bulan.
Tindakan Sivakumar itu turut dipertikai Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menganggap keputusan jawatankuasa berkenaan tidak boleh dikuatkuasakan selagi tidak disahkan di sidang Dewan.
Menurut Sivakumar lagi, beliau tidak berniat untuk menderhaka dan mendakwa isu itu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu demi kepentingan politik.
Kata beliau, ia juga diputar belit oleh media perdana dan kumpulan tertentu yang mahukan rakyat menghukum beliau sebagai penderhaka kepada Sultan Perak.
"Tuduhan itu adalah tidak benar. Mereka cuba mempolitikkan isu ini. Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak mempunyai niat untuk menderhaka.
"Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai Speaker setelah mendapati perkara ini adalah serius dan saya mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikannya," tambah beliau.
Kata Sivakumar, jawatankuasa tersebut tidak menggantung Zambry dan Exco terlibat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi hanya menggantung mereka daripada menghadiri sidang DUN.
"Mengenai kelayakan mereka sebagai ADUN, saya tidak sentuh langsung. Tiada kenyataan saya berkenaan status mereka sebagai wakil rakyat bagi kawasan masing-masing.
"Apa yang saya lakukan ini adalah mengikut Fasal 16 (6) Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak," katanya.
Speaker biadab, menderhaka Sultan Perak:
"Cari sahaja negara lain, jangan jadi rakyat Malaysia.''
Itu nasihat sinis Barisan Bertindak Perpaduan Melayu Malaysia (BBPM) terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar kerana tidak memahami prinsip Rukun Negara.
Presidennya, Osman Abu Bakar berkata, nasihat tersebut turut ditujukan kepada mana-mana pemimpin di negeri ini yang biadab dan menderhaka terhadap Sultan Perak.
Beliau menegaskan, ini kerana tindakan Sivakumar menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) secara tidak langsung merendahkan kedudukan Sultan Perak.
"BBPM berasa dukacita kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah Perak, seorang Speaker menggantung Menteri Besar dan Exco yang dilantik atas hak Sultan Perak daripada menghadiri sidang DUN.
"Beliau tidak memahami tatasusila rakyat Perak, beliau juga tidak faham tentang institusi diraja, lebih baik beliau diberhentikan saja sebagai Speaker DUN Perak," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas membuat laporan terhadap Speaker DUN Perak itu di Balai Polis Sungai Senam di sini hari ini.
Kelmarin, Sivakumar mengambil tindakan mengejutkan dan dianggap tidak mengikut peraturan apabila menggantung dan melarang Zambry bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta-merta.
Osman menjelaskan, Sivakumar juga wajar dikenakan tindakan undang-undang kerana membuat kenyataan tersebut di pejabat Speaker DUN bersama penasihat undang-undangnya sendiri.
Sementara itu, Ahli Majlis BBPM, Ibrahim Mat Diah berkata, tindakan Sivakumar akan menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat khususnya mereka yang tidak memahami undang-undang dan isu semasa.
Katanya, hak Sultan Perak adalah mutlak dalam melantik Menteri Besar dan barisan Exconya malah isu tersebut sepatutnya sudah berakhir serta tidak boleh dipertikaikan lagi.
"Kita perlu menerima pelantikan Menteri Besar oleh Sultan Azlan Shah dengan hati terbuka dan beri kepada pentadbiran kerajaan negeri yang baru untuk bekerja.
"Jika asyik berpolitik macam mana kerajaan negeri yang baru hendak bekerja demi kepentingan rakyat lebih-lebih lagi dalam zaman kegawatan ekonomi global sekarang," katanya.
Keputusan tidak boleh dicabar:
Pengerusi DAP, Karpal Singh mendakwa tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exconya daripada menghadiri sidang DUN, tidak boleh dicabar di mahkamah.
Beliau berkata, keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak yang diketuai oleh Sivakumar itu tidak bertentangan dengan undang-undang, sebaliknya selaras di bawah Perkara 72(2) Peraturan Mesyuarat DUN.
Bagaimanapun katanya, apa yang diperlukan 'hanyalah' untuk DUN Perak mengesahkan keputusan dan saranan yang dibuat oleh jawatankuasa tersebut.
''Tindakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak bukan sahaja muktamad malah tidak boleh dicabar di mahkamah," katanya pada sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau yang ditemani anaknya, Jagdeep Singh kemudiannya membuat laporan polis berhubung sepucuk surat dan dua butir peluru hidup yang diposkan ke alamat rumahnya.
Karpal juga berkata, kedudukan Sivakumar sebagai Speaker tidak terjejas ekoran kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang di Perak dan beliau kekal menjawat jawatan tersebut hingga disingkirkan.
Menurutnya, pengumuman berkaitan penggantungan tersebut oleh Sivakumar juga tidak mencabar keputusan Sultan Perak melantik Menteri Besar dan Exco baru.
''Saya mesti tekankan bahawa apa yang dilakukan oleh jawatankuasa berkenaan sama sekali tidak bertentangan dengan undang-undang," katanya.
Tiada kuasa jatuhkan hukuman:
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) lazimnya tiada kuasa menjatuhkan hukuman ke atas ahli-ahli dewan kerana semua perkara yang menyalahi peraturan hanya dibincangkan dan dibuat keputusan ketika persidangan berlangsung.
Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Razak Mansor berkata, semua keputusan juga dilakukan di dalam DUN, bukannya di luar atau ketika tiada persidangan.
"Pada masa sama, keputusan-keputusan yang diambil hendaklah mengikut peraturan tetap dewan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas tindakan Speaker DUN Perak, V. Sivakumar yang menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exconya daripada menghadiri sidang DUN negeri itu baru-baru ini.
Menurut Razak, mengikut peraturan DUN Negeri Sembilan, perkara berbangkit dibincangkan oleh Jawatankuasa Tetap yang mana beliau sebagai Speaker menjadi pengerusinya.
"Sebarang keputusan oleh Jawatankuasa Tetap itu dibawa kepada sidang dewan berikutnya untuk mendapat persetujuan.
"Jika sidang dewan tidak bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Tetap, maka pengundian cara angkat tangan akan dilakukan," katanya.
Bagaimanapun kata Razak, setiap negeri mempunyai undang-undang tubuh dan peraturan dewan masing-masing yang tersendiri.
Hina sultan: Lucutkan kerakyatan
Kerakyatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar wajar dilucutkan berikutan tindakannya yang disifatkan menghina Sultan Perak, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Beliau berkata, ini kerana tindakan menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir serta enam anggota Exco kerajaan negeri itu daripada menghadiri sidang dewan didapati bercanggah dengan titah Sultan Azlan Shah.
Mohd. Ali berkata, dalam hubungan ini Sivakumar telah bertindak di luar bidang kuasanya sedangkan pelantikan Zambry dan enam Exco adalah sah daripada segi undang-undang.
"Sebagai rakyat Perak, beliau sepatutnya tidak didorong emosi sehingga sanggup menghina sultan.
"Jika beliau (Sivakumar) enggan mentaati baginda, adalah lebih baik kerakyatan beliau dilucutkan (kerakyatan) atau dilarang memasuki negeri itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan Sivakumar menggantung Zambry daripada menghadiri sidang DUN Perak selama 18 bulan manakala enam ahli Exco itu pula selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta.
Mohd. Ali menjelaskan, Speaker DUN Perak itu juga boleh didakwa mengikut artikel 121 dan 124 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak kerana menderhaka kepada Sultan Perak.
"Jika sabit kesalahan beliau (Sivakumar) boleh dikenakan hukuman penjara dan denda," katanya.
Sivakumar boleh ditahan - Ibrahim :
"Ini satu kesalahan jenayah. Beliau (Sivakumar) boleh ditahan."
Itu reaksi spontan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berhubung tindakan (DUN) Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bersama enam anggota Exconya menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa serta-merta.
Kata Ibrahim, larangan itu satu kesalahan jenayah yang boleh didakwa di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan yang mana pesalah boleh dihukum penjara selama tujuh tahun dan denda.
Menurutnya, seksyen itu menjelaskan seseorang boleh didakwa kerana menyerang Ahli Parlimen dan lain-lain dengan niat memaksa atau menahan mereka daripada menjalankan kuasa yang sah.
"Jika tindakan itu membawa keadaan huru-hara, beliau boleh ditahan tanpa memerlukan waran selain berdepan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Sivakumar mengambil tindakan mengejut yang dianggap tidak masuk akal apabila menggantung dan melarang Zambry bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Ibrahim, keputusan Sivakumar itu salah dan tidak sah kerana ia satu bentuk tindakan yang menghalang Zambry dan Exco terbabit menjalankan tugas rasmi.
Beliau menasihatkan Zambry dan barisan Exconya agar terus menjalankan kerja-kerja pentadbiran negeri di bawah kerajaan sah seperti mana dikehendaki rakyat.
Sementara itu, Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, Sivakumar cuba membangkitkan kemarahan rakyat dengan mengapiapikan sentimen politik yang sudah basi.
Katanya, Speaker DUN itu bertindak di luar lunas-lunas undang-undang selain tidak menghormati keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang melantik Zambry dan barisan Exconya mengetuai kerajaan negeri.
Lian Hoe yang juga Timbalan Menteri Penerangan memberitahu, usaha menggantung Menteri Besar dan barisan Exco negeri itu mungkin jalan terakhir pakatan pembangkang mahu menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak.
"Sivakumar cuba mengeruhkan keadaan dengan mengelirukan rakyat Perak tentang kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang dan ini amat berbahaya jika dibiar berterusan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Catat Ulasan