DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Rabu, 25 Februari 2009

Speaker DUN Perak disiasat SPRM!

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan keterangan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar berhubung tindakan beliau menggantung Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN.

Keterangan Sivakumar diambil oleh dua pegawai SPRM selama hampir tiga jam di kediaman Menteri Besar Perak di sini bermula dari pukul 6.20 petang hingga 9.09 malam ini. Turut menemani ialah peguam beliau, Augustine Anthony.

Sivakumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh pada sidang akhbar selepas itu berkata, beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berkaitan apa jua perkara yang dibangkitkan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tetapi memberitahu ia berkaitan penggantungan Zambry dan enam Exco kerajaan negeri.

''Penyiasatan masih dilakukan, saya tidak mahu komen pasal siasatan. ''Mereka telah menyoal saya secara profesional tetapi saya tidak rasa mereka patut buat begini terhadap saya," katanya.
Ini merupakan kali kedua Speaker DUN Perak itu disiasat berhubung kes tersebut selepas siasatan polis Isnin lalu. Menurut Sivakumar, beliau amat kecewa dengan tindakan SPRM kerana ia memalukan Speaker dan DUN.

''Perkara ini tidak pernah berlaku di mana-mana negara Komanwel, Speaker buat keputusan tetapi orang siasat Speaker," katanya. Beliau mendakwa, perkembangan itu bakal memberi kesan kepada proses demokrasi dan doktrin pengasingan kuasa yang diamalkan di negara ini.
Jelasnya, jika beliau boleh disiasat, ini bermakna Speaker DUN lain juga tidak terkecuali.

''DUN merupakan bidang kerajaan tertentu dan ia tidak boleh dimalukan dengan cara begini kerana boleh menghancurkan sistem demokrasi dan doktrin pengasingan kuasa," katanya.
Hadir sama pada sidang akhbar itu Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo dan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming . Sementara itu, Koo Ham menyelar Barisan Nasional (BN) dan UMNO ekoran tindakan SPRM mengambil keterangan Sivakumar.

Menurutnya, Speaker dilindungi undang-undang dan tidak boleh ditahan, didakwa atau dipenjara sama ada melalui prosiding sivil atau jenayah. ''Kenapa mereka buat semua ini jika bukan kerana hendak memalukan Speaker dan ini merupakan satu serangan terhadap institusi Parlimen di negara ini," katanya. - UM

Tiada ulasan: