KEDUDUKAN rapuh kerajaan campuran Perak yang dibentuk oleh parti DAP-PKR-Pas sebenarnya sudah dapat ditelah dari awal lagi. Pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu, pakatan parti itu berjaya membentuk kerajaan hanya dengan kelebihan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila memenangi 31 kerusi berbanding 28 kerusi Barisan Nasional (BN).
Kekalutan dalam pakatan parti itu semakin ketara pada episod pemilihan Menteri Besar Perak yang beberapa kali tertangguh ekoran rasa tidak puas hati terutamanya DAP.
Bagaimanapun kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri itu mesti disandang oleh seorang Melayu yang beragama Islam, maka Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar Perak seperti yang diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Umum mengetahui jawatan Menteri Besar yang disandang beliau sebelum ini bukan keputusan majoriti, tetapi sebaliknya adalah kehendak Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Kerana itu juga, pemerintahan Mohammad Nizar sentiasa dibelenggu kontroversi apabila beberapa keputusan kerajaan Perak kelihatan cenderung memperjuangkan dasar-dasar yang ditentukan oleh DAP.
Paling mengejutkan apabila Mohammad Nizar menganugerahkan tanah seluas 400 hektar kepada sekolah persendirian Cina. Alasannya supaya sekolah-sekolah Cina tersebut dapat memajukan tanah berkenaan bagi menambah pendapatan sekolah. Rakyat Perak juga dikejutkan dengan pendedahan abang Mohammad Nizar, Mohd. Fazil Jamaluddin mengenai Perjanjian Pangkor II yang dibuat dengan DAP.
Perjanjian itu antara lain melarang Mohammad Nizar menyebut negeri Perak diperintah oleh Islam. Beliau juga dikatakan tidak dibenarkan menyebut terma-terma politik yang berkaitan dengan Pas atau bahasa Arab seperti hudud dan qisas. Sebelumnya, Mohammad Nizar mengumumkan cadangan untuk memberi hak status pemilikan tanah selama 999 tahun kepada penduduk lot-lot tanah di Kampung Baru.
Cadangan itu mendapat tentangan banyak pihak kerana ia disifatkan tidak munasabah serta bertentangan dengan semangat Kanun Tanah Negara. Isu-isu itu jugalah yang bakal menjadi cabaran kepada Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, 47, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baru.
Lebih mencabar, Zambry mengepalai sebuah kerajaan yang sangat rapuh. BN terikat kuasanya dengan pakatan pembangkang apabila masing-masing menguasai separuh daripada majoriti kerusi DUN. Apa yang membolehkan BN merampas Perak hanyalah sokongan daripada tiga bekas wakil rakyat pakatan pembangkang.
Itu pun wakil rakyat berkenaan tidak menyatakan secara rasmi mahu menyertai BN, sebaliknya hanya menyokong tetapi berdiri di atas tiket ADUN Bebas. Untuk menunggu sehingga pilihan raya umum baru yang dijangka dalam tempoh tiga atau empat tahun dari sekarang, banyak perkara yang boleh terjadi.
Tidak mustahil dalam tempoh terdekat bakal ada ahli BN yang bertindak melompat parti dan kerajaan Perak sekali lagi akan berubah tampuk pemerintahan. Situasi panas itu seperti dijelaskan oleh pensyarah di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, hanya merugikan rakyat Perak sendiri.
Ini kerana tumpuan di kalangan wakil rakyat kini adalah untuk memujuk wakil rakyat lawan menyertai parti mereka seterusnya membentuk kerajaan. Dalam keadaan itu, agenda-agenda pembangunan dan memperkasakan pentadbiran tidak lagi menjadi keutamaan, katanya.
Keadaan itu juga membawa kepada kewajaran bahawa kemelut politik Perak ketika ini harus dikembalikan kepada rakyat jelata.
Dalam erti kata yang lain perlu diadakan semula pilihan raya negeri. Namun, pastinya Sultan Azlan Shah mempunyai sebab tersendiri mengapa baginda merasakan bahawa pilihan raya negeri itu tidak perlu. Secara logik akal juga, peralihan kuasa kepada BN itu tidak bercanggah dengan peraturan dan dibenarkan dari sudut perlembagaan.
Ini kerana BN kini memiliki majoriti kerusi DUN. Penguasaan BN di Perak sebenarnya lebih kukuh melihat kepada keputusan pilihan raya umum ke-12 yang lalu. Walaupun gagal merebut majoriti kerusi DUN, namun BN memenangi lebih banyak kerusi berbanding parti-parti dalam kerajaan campuran iaitu sebanyak 28 kerusi.
Sebaliknya DAP hanya memenangi 18 kerusi, PKR (tujuh) dan Pas (enam). Walaupun jumlah kerusi yang dimenangi oleh Pas, DAP dan PKR itu tinggi iaitu 31 kerusi, tetapi ia tidak boleh dianggap majoriti kerana parti-parti itu bukan daripada satu parti yang bertanding.
Justeru, kerusi yang dimenangi parti-parti itu perlu dikira secara berasingan. Namun atas keputusan berhemah Sultan Azlan Shah yang melihat majoriti ketika itu berpihak kepada pakatan DAP-PKR-Pas, maka pakatan parti tersebut berjaya membentuk kerajaan campuran.
Sikap berhemah Sultan Azlan Shah sekali lagi terserlah dalam isu ketika ini apabila BN yang kembali mempunyai suara majoriti diberikan hak untuk menubuhkan kerajaan.
Menurut Ahmad Nidzammuddin, sewajarnya Mohammad Nizar dan penyokong parti pakatan DAP-PKR-Pas menyanjung tinggi keputusan itu. Tindakan Mohammad Nizar menyembah derhaka untuk tidak melepaskan jawatan Menteri Besar mengguris hati orang Melayu apabila ia dilihat membelakangkan titah Sultan.
''Bagi orang Melayu yang sangat tinggi kesetiaan dan menjunjung kasih ke bawah duli yang maha mulia Raja, tindakan Mohammad Nizar itu sukar diterima," ujar beliau. Bagaimanapun dalam keghairahan merampas kembali Perak, BN perlu menyedari realiti sebenar kedudukan mereka terutamanya dari sudut sokongan rakyat kebanyakan.
Rakyat Perak terutamanya pengundi di tiga kawasan ADUN yang berpaling tadah menilai perbuatan wakil rakyat mereka melompat parti adalah satu pengkhianatan kepada kepercayaan yang diberikan. Dari sudut moral, ketiga-tiga wakil rakyat itu tidak lagi mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk mewakili rakyat jelata.
Soal kredibiliti juga menjadi persoalan apabila dua daripada tiga wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada BN itu terbabit dengan isu rasuah. Jamaluddin Mohd. Radzi, 52, dan Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu, 57 sebelum ini dituduh di mahkamah atas dakwaan meminta dan menerima rasuah untuk mempercepatkan kelulusan permohonan bagi membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.
Dalam ketika BN sudah sedia bergelut dengan isu kredibiliti seperti rasuah dan korupsi di mata kebanyakan masyarakat, kehadiran wakil rakyat itu sedikit-sebanyak mengikis kepercayaan terhadap kredibiliti BN. Begitu juga 'kepulangan' penuh misteri ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang beberapa hari sebelum peralihan kerajaan Perak mengumumkan keluar parti BN dan menyertai PKR.
Tindakan sekelip mata itu membuatkan rakyat Perak tertanya-tanya apa nilai kesetiaan yang dipegang oleh Nasaruddin? Perkara-perkara sebeginilah yang meletakkan kerajaan baru BN di Perak berdepan dengan sokongan yang sangat meruncing dan tipis.
Bukan sedikit usaha yang perlu dilakukan oleh Zambry terutamanya untuk menarik kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat Perak keseluruhannya menyokong kerajaan BN.
Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mustahil sekiranya BN berjaya mencari formula bagaimana untuk merakyatkan parti itu dan menjadikannya sesuai untuk semua golongan.
Menurut Ahmad Nidzammuddin, BN Perak perlu keluar dari kepompong yang selama ini memperlihatkan diri mereka seolah-olah kumpulan elit dan hanya sesuai untuk mereka dari kelas atasan.
''Sesuatu yang boleh dipelajari daripada kepimpinan kerajaan campuran sebelum ini ialah bagaimana mereka bersungguh-sungguh menambat hati rakyat dengan menumpukan kepada usaha meningkatkan kebajikan," katanya.
Lebih penting, BN Perak boleh mengembalikan keyakinan rakyat dengan memberi tumpuan kepada isu-isu utama yang sebelum ini menjerat kedudukan kerajaan campuran. Isu-isu itu termasuk penyerahan tanah seluas 400 hektar kepada sekolah persendirian Cina dan cadangan untuk memberi hak status pemilikan tanah selama 999 tahun kepada penduduk lot-lot tanah di Kampung Baru.
Seandainya kedua-dua perkara ini masih di peringkat cadangan, adalah wajar untuk BN Perak tidak meneruskannya dan mempertimbangkannya semula berdasarkan survival semua kaum.
Sumber : Utusan Malaysia
1 ulasan:
TAKZIAH PR, TAHNIAH BN !
Inilah sejarah luar biasa
Sendiri buat boleh sahja
Goda YB BN agar derhaka
PR dapat balasan segera
Tarikh 08.03.08 dimula
PRU 12 mencatat segala
BN gagal majoriti biasa
Kurang dari dua per tiga
Lima negeri PR berkuasa
DAP-PAS-PKR bersetia
Hari ini hanya empat saja
Di Perak, BN balik kuasa
Kokok anwar merata-rata
Tumbang BN nanti masa
Tukar ke PR, YB diminta
Istilah lompat, tepat guna
PRK P036, PR rasa teruja
PAS menang , BN berduka
Penyokong PR bersukaria
Niat anwar yakini berjaya
Itu 17.01.09 melakar cerita
Kini 05.02.09 benar belaka
Esok 06.02.09 ada upacara
Sapa MB baru, terima saja
Syabas kepada ADUN Bota
Kembali pada UMNO setia
Tiga bekas YB PR berserta
Kini YB bebas ikrar mereka
Warga perak lapangkan dada
Ketentuan Allah Maha kuasa
Lagak PR buat porak peranda
Kepada MB baru tumpu setia
Catat Ulasan