DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Khamis, 5 Februari 2009

Kenyataan media Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

SULTAN Azlan Shah dan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menerima menghadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Hee Yit Foong di Istana Kinta, Ipoh, semalam berikutan tindakannya keluar daripada DAP dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN). Baginda turut menerima menghadap tiga lagi ADUN Pakatan Rakyat yang keluar daripada parti masing-masing dan memberi sokongan kepada BN. Terdahulu, Sultan Azlan Shah menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang juga Pengerusi BN Perak bagi mendapatkan perkenan baginda untuk BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri. – BERNAMA

BERIKUT ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol. Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.

“Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.”

2 ulasan:

torashah berkata...

Patik mohon derhaka – Nizar

Mohammad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak dengan alasan masih menyandangnya secara sah mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

“Saya dengan rendah hati mohon derhaka dengan berkata kepada baginda ’patik sebagai MB dan pemimpin kerajaan, mohon tidak letak jawatan’.

Akan meneruskan tugasnya seperti biasa dan akan masuk pejabatnya hari ini.

Kerajaan negeri bersama pemimpin kerajaan campuran pembangkang akan memohon untuk menghadap Sultan Azlan Shah untuk merayu agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Taminsari berkata...

Akur titah Sultan atau hadapi undi tidak percaya

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

DATUK Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tetap enggan berganjak meletakkan jawatan Menteri Besar Perak.

Katanya, beliau tetap akan memasuki pejabat di Bangunan Darul Ridzuan pagi ini sekalipun dimangga.

‘‘Saya dengan rendah hati mohon derhaka kepada Tuanku (Sultan Perak) sebagai Menteri Besar dan juga leaders of the house,” kata Mohammad Nizar kepada wartawan semalam, selepas menghadap Sultan Azlan Shah di Istana Kinta.

Dalam menyelesaikan kemelut ini, pakar Perlembagaan Persekutuan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyatakan jika Mohammad Nizar terus berdegil hendakkan jawatannya itu, maka jalan keluar terakhir adalah menerusi undi tidak percaya terhadapnya dan pakatan pembangkang - dianggotai Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP - di Dewan Undangan Negeri Perak.

‘‘Namun berdasarkan perhitungan, Barisan Nasional yang kini memperoleh majoriti akan mendapat sokongan yang lebih daripada PKR,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Rais mengambil contoh satu kes melibatkan Ketua Menteri Sarawak, Stephen Kalong Ningkan yang enggan meletak jawatan pada 1966. Akhirnya, kedudukan beliau diputuskan di lantai Dewan Undangan Negeri - yang membawa pelucutan jawatannya.

Begitu juga dalam kes-kes sama melibatkan beberapa Ketua Menteri di Sabah. Di Nigeria pula, kes serupa bernama kes Akintola yang sah diiktiraf di Malaysia mengatakan tentang keadaan di mana seseorang ketua kerajaan negeri atau ketua kerajaan/negara itu boleh dilucutkan jawatannya.

‘‘Nas undang-undang ini telah diterima di Malaysia dan seluruh Komanwel,” kata Rais sambil mengambil contoh kes melibatkan Mohammad Nizar adalah pertama kali seumpamanya berlaku di Semenanjung.

Realitinya, tiada cara lain boleh menghentikan kedegilan Mohammad Nizar melainkan beliau mematuhi titah Sultan Perak atau menghadapi undi tidak percaya dalam DUN.

Dan kalaupun dalam undi tidak percaya itu secara luar biasa pula tidak berpihak kepada BN dan Mohammad Nizar terus berkuasa, ia akhirnya pun tidak akan mendatangkan manfaat kepada sesiapa. Lebih teruk lagi hubungan kerajaan negeri dengan istana akan menjadi sukar sekali gus mewujudkan ketidaktentuan terhadap pentadbiran negeri. Akhirnya, rakyat merana.

‘‘Beliau jika terus berdegil, jangan berlengah-lengah lagi untuk panggil sidang khas DUN yang jawapannya semua orang sudah tahu,” kata Rais sambil mengulangi ia hanya jalan terakhir yang mengikut konvensyen, dua pertiga ADUN berhak mempetisyen supaya sidang DUN berlangsung.

Soalnya, mahukah Mohammad Nizar berbuat demikian?