DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Ahad, 8 Februari 2009

Zambry mohon restu ibu

PULAU PANGKOR 7 Feb. - Kepulangan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebaik sahaja selesai mengangkat sumpah menyandang jawatan Menteri Besar Perak ke-11 semalam disambut ratusan penyokong di Jeti Lumut International Yacht Club (LIYC) dekat sini.

Penyokong yang terdiri daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) Bahagian Lumut itu mula berkumpul memenuhi kawasan LIYC seawal 5 petang. Zambry sebelum itu bergegas dari Istana Iskandariah, Kuala Kangsar ke Ipoh untuk mengiringi kepulangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kuala Lumpur, sebelum bertolak ke Lumut.

Ketibaan Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor di Lumut kira-kira jam 9.30 malam itu disambut dengan tepukan gemuruh penyokong yang turut membawa bendera parti serta kain rentang yang tertera ucapan tahniah.

Rombongan Menteri Besar kemudian dibawa menaiki bot laju ke sini dan sekali lagi disambut dengan tepukan gemuruh penyokong pelbagai kaum yang memenuhi Jeti Awam Pulau Pangkor.
Ketua UMNO Bahagian Lumut itu kemudian terus dibawa ke kampung halaman beliau di Kampung Masjid di sini untuk berjumpa dengan ibu, Saidatul Badru Abdul Kader, 68, bagi mendapatkan restunya.

Zambry dan isteri, Datin Saripah Zulkifli turut bersalaman dengan bapa tirinya, Jaafar Awang Long. Ketika berada di rumah tempat beliau dibesarkan itu, Zambry turut menyampaikan ucapan ringkas kepada penduduk kampung yang berkumpul untuk menyaksikan kemunculan anak seorang nelayan sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

''Bersyukur kepada Allah kerana telah mengamanahkan kepada saya untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar. ''Jawatan ini amat berat tanggungjawabnya dan memerlukan kerjasama semua rakyat pelbagai kaum di seluruh negeri.
''Masanya sudah tiba untuk kita bersama-sama bekerja keras membangunkan negeri kerana masa untuk kita 'berbulan madu' sudah tamat," katanya.

1 ulasan:

torashah berkata...

Lihat secara objektif – Dr. Zambry

‘‘BIARKAN beliau di situ, saya tunggu lama sikit tak mengapalah,” komen Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir tentang tindakan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang terus ‘berkubu’ di kediaman Menteri Besar, Jalan Raja Di Hilir, Ipoh.

Dr. Zambry

Ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, SITI MARIAM MD. ZAIN dan ZAINI RABAN berserta jurugambar HANAFI KHAMIS di kediamannya di Taman Golf, Sungai Rokam pagi semalam, Zambry, 47, dan isteri, Datin Saripah Zulkifli, 42, sedang bersiap untuk ke majlis pertama beliau selaku Menteri Besar Perak yang baru iaitu sambutan Tahun Baru Cina anjuran parti Gerakan di Pusat Perkhidmatan Gerakan, Kampung Simee, Ipoh.

‘‘Dalam suasana politik negeri sekarang, saya tidak seronok. Yang seronoknya kalau suasana di Perak stabil dan aman. Perasaan dilantik sebagai Menteri Besar baru dan kegawatan politik Perak bercampur-baur dalam fikiran saya,” katanya jujur.

Zambry turut meluahkan rasa sedih atas apa yang dilihatnya semasa menyusuri Jalan Raja Dr. Nazrin Shah dan Jalan Raja Di Hilir menuju kediaman Menteri Besar yang banyak sekatan polis untuk mengekang perhimpunan haram kelolaan para penyokong pakatan pembangkang.

‘‘Yang sedihnya mereka yang berdemonstrasi di jalanan ini dan berdekatan Istana Iskandariah tempoh hari semuanya kalangan bangsa kita sendiri (Melayu) Kenapa bangsa saya ini turun ke jalan-jalan dan buat kacau, kenapa boleh tahan kereta Raja Muda sampai hilang hormat pada Tuanku (Sultan Perak, Sultan Azlan Shah),” ujar Zambry kesal.

MINGGUAN: Dengan tiga wakil rakyat Bebas menyokong BN ‘di atas kertas’, kedudukan politik BN Perak sebenarnya boleh tergugat pada bila-bila masa.

DR. ZAMBRY: Kita mempunyai kesefahaman politik dalam hal ini. Saya yakin keputusan ketiga-tiga wakil rakyat Bebas yang menyokong pembentukan kerajaan hari ini merupakan keputusan ikhlas yang dilakukan berdasarkan pengalaman mereka sendiri sebelum ini.

Saya juga yakin mereka ini lebih memikirkan faktor kestabilan politik. Atas dasar itu, mereka yakin hanya BN sahaja mampu melakukannya. Saya ucapkan terima kasih di atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan untuk BN kembali membentuk kerajaan.

Ada pihak mendakwa penguasaan BN ini ikut ‘pintu belakang’?

DR. ZAMBRY: Apa yang timbul soal pintu belakang? Saya fikir yang pentingnya ialah mereka perlu faham bahawa keseluruhan episod ini apakah ia dimulakan oleh BN? Kita lihat episod ini sebenarnya dimulakan dengan usaha pembangkang untuk mengambil anggota BN. Dan saya tahu, ada usaha yang bersungguh-sungguh dengan kenyataan secara terbuka bahawa lebih ramai lagi anggota BN akan menyertai mereka.

Jadi pokoknya, kunci kepada persoalan ini ialah siapa yang memulakan itu. Kalau mereka melihat ini sebagai ‘pintu belakang’, ia sebenarnya disebabkan pakatan pembangkang sendiri yang memulakannya. Tetapi inilah yang dikatakan kuasa Allah, apabila mereka merancang begitu, sebaliknya berlaku. Dan ini sebenarnya merupakan satu perkara yang kita pun tidak terfikir akan berlaku.

Datuk menyebut ‘tidak terfikir perkara ini akan berlaku’. Pada pendapat Datuk, mengapa keadaan ini yang berlaku sekarang?

DR. ZAMBRY: Kerana mereka yang memulakan. Apabila mereka mengambil ADUN Bota, (Datuk) Nasaruddin (Hashim), ia mencetuskan secara tiba-tiba suatu suasana politik yang begini. Mereka memulakan permainan ini dan menyebabkan ia membuka ruang kepada pihak di dalam kelompok mereka sendiri untuk memikirkan bahawa apa yang mereka rancang tentang soal moral, prinsip demokrasi dan sebagainya, sebenarnya hanya berpura-pura. Nilai-nilai ini hanya mengikut ukuran mereka sahaja. Apabila orang mereka masuk BN, ia dianggap tidak bermoral, tidak demokratik, mengkhianati demokrasi yang dipilih oleh rakyat. Mengapa dulu mereka tidak lakukan apa yang mereka kata sekarang ini? Mewujudkan suasana politik negara kononnya pada 16 September dan sebagainya. Mengapa perkara itu tidak diambil kira oleh mereka.

Mengapa apabila hanya BN, maka diberikan satu nilai yang tidak bermoral. Apa yang mereka buat, semuanya bermoral, halal. Apa yang BN buat semuanya haram. Saya minta perkara ini dapat dilihat secara objektif oleh rakyat.

Adakah terdapat usaha-usaha untuk menarik tiga wakil rakyat bebas ini menyertai BN?

DR. ZAMBRY: Kita serahkan kepada budi bicara mereka. Bagi kita, apa yang dilakukan itu adalah pengorbanan besar mereka setelah melihat suasana politik yang tidak menentu. Soal menyertai BN, secara simboliknya sekarang ini mereka sudah pun bersama kita meskipun mempunyai pendirian untuk menjadi wakil rakyat bebas.