DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Jumaat, 12 Februari 2010

Saya tidak tergugat – Nizar!

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau tidak tergugat dengan desakan-desakan supaya darjah kebesaran kurniaan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah kepadanya ditarik balik.

Katanya, keputusan menarik balik gelaran Datuk Seri daripada beliau hanya boleh dibuat oleh baginda dan bukannya pihak lain. Malah beliau mendakwa, tindakan pihak-pihak tertentu yang membuat desakan tersebut sengaja dilakukan bagi memutarbelitkan fakta sebenar.

“Kenyataan saya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan dibuat berdasarkan monarki mutlak itu sebenarnya meminta supaya kita semua berhati-hati. “Saya bukan maksudkan monarki mutlak seperti yang diamalkan di Jordan atau Arab Saudi. Tetapi mereka sengaja jadikan perkara ini isu dan saya rasa tindakan mereka itu yang sebenarnya tidak tepat,” katanya di sini hari ini.

Mohammad Nizar mengulas desakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya gelaran Datuk Seri yang diberikan kepadanya ditarik balik kerana didakwa menghina Sultan Perak.

Bekas Menteri Besar itu sebelum ini membuat kenyataan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Datuk Seri Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar yang sah akan menjurus kepada monarki mutlak. Mohammad Nizar menambah, desakan yang dibuat oleh pihak terbabit itu yang boleh dianggap menghina Sultan Perak kerana mereka seolah-olah mengajar baginda apa tindakan yang perlu dibuat.

Sementara itu, Zambry ketika dihubungi enggan mengulas desakan yang dibuat itu sebaliknya beliau mahu rakyat menilai sendiri kewajaran tindakan tersebut. “Tidak perlulah saya ulas. Kamu (Utusan Malaysia) tanyalah rakyat kerana mereka yang perlu membuat keputusan,” katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan: