DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Ahad, 28 Februari 2010

Dari Awang Selamat : Kisah gay di Malaysia!

Kemelut seks abnormal makin mengancam dunia. Gejala homoseksual mempunyai sejarah tersendiri. Manusia pernah ditimpa musibah besar angkara gejala itu sebagaimana peristiwa Nabi Luth dan apa yang berlaku di bandar Pompei, Itali.

Namun manusia kembali leka. Hari ini, gejala tersebut begitu berleluasa. Ia bukan lagi tertumpu di negara sekular malah merebak ke negara-negara Islam. Saiz komuniti homoseksual sama ada gay mahu pun lesbian kian membesar di seluruh dunia, menjadi satu angkatan yang seakan tidak terhalang ledakannya.

Walaupun tergolong sebagai manusia bermoral rendah, celaru dan gagal memahami fungsi seksual diri sendiri, makin ramai daripada pengamal homoseksual diangkat menjadi pemimpin.
Meskipun agama tidak membenarkan dan majoriti masyarakat menolak golongan itu menjadi pemimpin, namun di Barat, ramai daripada mereka sudah ke persada kuasa.

Jumlah yang menjadi Datuk Bandar, Senator, Gabenor, Menteri malah Perdana Menteri, bertambah dengan agak mendadak. Itu belum menyentuh kelompok lain terutama personaliti dunia hiburan Barat, yang jauh menonjol. (Kebanyakan mereka pada mulanya menafikan terlibat, namun akhirnya membuat pengakuan sebagai gay atau lesbian.)

Perkahwinan sejenis bukan lagi sesuatu yang janggal. Perjuangan bagi menuntut hak untuk golongan tersebut, menampakkan banyak peningkatan. Di sebahagian negara Asia, memperjuangkan kepentingan golongan tersebut bukan lagi sesuatu yang tabu. Jika gejala ini tidak mampu dibendung, apa akan jadi dengan masyarakat dunia pada 10, 25 tahun dan 50 tahun lagi? Tidakkah persekitaran dunia homoseksual ini akan membawa mudarat besar buat generasi anak dan cucu kita?

Awang lontarkan pertanyaan ini kerana sesungguhnya terlalu banyak persoalan yang berlegar berhubung isu ancaman homoseksual kepada umat manusia termasuk di negara ini.
Di Malaysia, Awang difahamkan, ramai anak muda sudah terjebak dengan gejala itu. Kelab-kelab, spa dan rumah urut gay beroperasi secara tertutup dalam apa yang dianggap sebagai gerakan gay underground.

Internet turut menjadi senjata bagi golongan gay untuk mempromosi kegiatan dan budaya golongan tersebut menerusi laman web tertentu. Awang tidak pasti sejauh manakah pihak berkuasa memantau hal ini. Tetapi berdasarkan laman web itu dan banyak petunjuk lagi, boleh dirumuskan bahawa pasangan gay dan lesbian makin bebas melakukan aktiviti seks luar tabii.

Sedangkan tindakan penguatkuasaan amat terhad malah cukup kompleks untuk menanganinya. Kalau dahulu lelaki dan wanita boleh ditangkap kerana bersekududukan tetapi apa tindakan pihak berkuasa agama jika sesama lelaki bersekedudukan?

Sama ada disedari atau tidak, di Malaysia, golongan tersebut semakin berpengaruh. Pengamal homoseksual yang kononnya punya merit, akan diangkat sebagai hero. Berdasarkan kajian tertentu, golongan berkenaan sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kehidupan homoseksual termasuk sesiapa yang menjadi ikon mereka.

Awang sudah tidak larat mendengus dan menggeleng kepala apabila mendengar 1001 cerita tentang gejala tersebut di tanah air ini. Kalau dibongkar habis-habisan, pasti ia lebih menggerunkan. Mungkin sama dahsyat dengan keadaan di Uganda.

Cabarannya, berapa banyak lagi yang kita tidak tahu tentang gejala tersebut. Lebih mengganggu fikiran Awang ialah musibah apa yang bakal menanti kita jika fenomena homoseksual ini sudah tidak terbendung?

Warna-warni Politik
Torashah

Tiada ulasan: