DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 20 April 2010

Jangan hina dewan - Sultan Perak

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mengingatkan semua wakil rakyat di negeri ini supaya tidak menghina dan mencemari Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan perbuatan yang memalukan.

Baginda bertitah, sebagai institusi perundangan negara, adalah menjadi tanggungjawab wakil rakyat mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan yang menjejaskan martabat Dewan. Sebaliknya titah baginda, wakil rakyat yang dipilih sebagai penggubal undang-undang seharusnya beradab dan beretika semasa berada di dalam Dewan sejajar dengan panggilan 'Yang Berhormat.'

"Ahli kepada Dewan-Dewan tersebut dirujuk sebagai Yang Berhormat. Amatlah memalukan jika prosiding Dewan-Dewan berkenaan berlangsung dalam suasana memekik dan menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kasar lagi kesat.

"Adalah satu penghinaan kepada Dewan-Dewan tersebut jika ahli-ahlinya membawa kertas bertulis kata-kata yang merendah dan menghina antara satu sama lain. "Untuk itu, perilaku ahli kepada Dewan-Dewan tersebut hendaklah menghormati kemuliaan Dewan-Dewan berkenaan dan mencerminkan sifat seorang yang telah diberi pengiktirafan dengan panggilan Yang Berhormat," titah baginda.

Sultan Perak bertitah demikian pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Ke-82 di sini hari ini. Dalam pada itu, titah baginda, semua rakyat perlu mempunyai jati diri dan kesetiaan untuk mempertahankan maruah negara tanpa membenarkan campur tangan pihak luar.

Baginda bertitah, perasaan kekitaan yang ekstrem dan melampau hanya akan menyebabkan seseorang bertindak mengikut emosi sehingga hilang pemikiran rasional. "Lebih membahayakan kegiatan menghina negara sendiri dilakukan tanpa segan silu di forum-forum antarabangsa seolah-olah menjemput campur tangan pihak luar dalam urusan negara sendiri.

"Warga yang mempunyai jati diri dan kesetiaan kepada negara bangsanya hendaklah mempunyai kekuatan pendirian untuk mempertahankan maruah negara tanpa sama sekali membenarkan campur tangan pihak luar," titah baginda. Sultan Azlan Shah juga mengingatkan semua pihak supaya tidak mencabar tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjadi teras kewujudan Perlembagaan Negara.

Titah baginda, ketujuh-tujuh wasiat tersebut yang berteraskan Melayu telah diamanahkan oleh sembilan raja-raja Melayu ketika memberi perkenan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

Sehubungan itu titah baginda, Perlembagaan Persekutuan yang digubal dengan memaktubkan fasal tertentu memerlukan keizinan dan perkenan Majlis Raja-Raja sebelum ia dikuatkuasakan. Formula itu yang selama ini menjadi gagasan menjamin kestabilan negara, titah baginda, jangan sama sekali mahu dirombak atau cuba dicabar secara keterlaluan .

"Perbuatan demikian dikhuatiri akan menjemput kepada risiko besar yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum dan antara agama. ''Kegiatan dan usaha untuk mendapat pengaruh politik perlu ada etika dan batasan," titah baginda.

DAULAT TUANKU!

Warna-warni Politik

Torashah

Tiada ulasan: