DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Khamis, 22 April 2010

Patuhi titah Sultan Perak.

KEMELUT pelantikan Menteri Besar Perak yang berlaku pada tahun 2008 dan 2009 meninggalkan sejarah pahit dalam institusi raja-raja Melayu.

Biarpun pahit untuk ditelan, namun itulah yang berlaku apabila sekumpulan pihak tertentu mahu menyeret Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ke mahkamah kerana tidak puas hati dengan pelantikan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Tindakan itu adalah yang pertama kali berlaku dalam sejarah pemerintahan Raja- Raja Melayu sejak ratusan tahun yang lampau di bumi Tanah Melayu (kini dikenali dengan nama Malaysia).

Justeru, tidak hairanlah ketika Sultan Azlan Shah bertitah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak Darul Ridzuan sempena ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-82 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar pada 19 April lalu, baginda sekali lagi mengingatkan rakyat agar tidak mencabar tujuh wasiat yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ucapan penuh baginda yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia terbitan 20 April 2010 menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan yang digubal telah memaktubkan fasal-fasal tertentu yang memerlukan izin Majlis Raja-Raja sebelum sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan dibenarkan berkuat kuasa. Titah baginda turut menyentuh tentang tujuh wasiat yang diminta agar tidak dicabar secara keterlaluan.

Mengulas perkara tersebut, Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Khairul Anwar Rahmat berkata, beliau perasan Sultan Azlan Shah telah beberapa kali mengingatkan perkara tersebut dan ia disebut berulang kali kerana kebimbangan baginda yang mendalam terhadap trend semasa yang menyaksikan rakyat semakin tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Raja- Raja Melayu.

Menurutnya, tujuh wasiat yang disebut oleh Sultan Azlan Shah memang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. "Perkataan wasiat membawa satu konotasi yang berat dan dalam ajaran Islam, ia wajib dipatuhi.

"Baginda menekankan tujuh wasiat itu di dalam titahnya agar rakyat faham bahawa formula tersebut yang diguna pakai selama hari ini telah menjadi gagasan yang menjamin kestabilan dan keharmonian negara. "Sebab itulah, baginda mengingatkan supaya ia jangan sesekali mahu dirombak atau cuba dicabar secara keterlaluan," katanya kepada Utusan Malaysia.

Khairul Anwar berkata, antara tujuh wasiat tersebut, terdapat tiga perkara yang kini sering menjadi bahan perbahasan iaitu berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu.

"Kenapa tiga perkara itu paling kerap dibahaskan? Ia kerana puak-puak yang ingin menggugat kestabilan negeri atau negara tahu bahawa jika tiga perkara itu dapat digoyah, maka mereka akan lebih mudah menguasai tampuk pemerintahan negeri atau negara.

"Sedangkan, Raja-Raja Melayu telah berjanji, berikrar dan bersumpah untuk melindungi tiga perkara itu termasuk empat wasiat yang lain sejak Perlembagaan Persekutuan dibentuk," ujarnya.

Menurutnya, walaupun ingatan itu disampaikan dalam bentuk ucapan dan bernada lembut, namun hakikatnya ia adalah satu ingatan yang keras memandangkan wujudnya perbuatan menghina dan memperkecilkan institusi-institusi perundangan, institusi Raja- Raja Melayu dan badan-badan penguatkuasaan undang-undang.

"Ingatan baginda itu adalah untuk kebaikan semua pihak dan ia bertujuan mahu menjaga keutuhan, keharmonian dan kestabilan politik negeri dan negara. Apa yang dilakukan ini adalah untuk kesejahteraan rakyat, bukannya untuk melindungi kepentingan pihak tertentu," tambahnya.

Beliau berkata, tidak ada sebuah negara pun di dunia ini yang stabil, makmur dan aman jika bangsa teras tidak mendapat kedudukan yang sewajarnya. Katanya, bangsa teras di Malaysia adalah kaum Melayu dan merekalah yang bertanggungjawab memayungi bangsa-bangsa lain.

"Tetapi jika kaum Melayu diperlekehkan, tentulah akan timbul pemberontakan kerana mereka telah dinafikan hak sebagai bangsa teras. Jika kaum Melayu stabil dalam aspek ekonomi, pendidikan dan kemudahan asas, sudah tentulah mereka akan bermurah hati berkongsi kemakmuran negara dengan bangsa lain.

"Contoh mudah, jika tuan rumah berada dalam keadaan kusut masai kerana ekonomi tidak stabil, hidup melarat dan banyak masalah lain, tentulah dia tidak mahu menerima tetamu datang ke rumah," ujarnya.

Menjawab apakah yang dimaksudkan dengan tetamu, Khairul Anwar menjelaskan, bangsa teras adalah tuan rumah manakala bangsa-bangsa lain merupakan tetamu. "Namun, apa yang kita risau sekarang adalah bangsa-bangsa lain tidak mahu dipayungi oleh kaum Melayu.

"Ia berlaku kerana mereka buta sejarah. Mereka enggan memahami dan mengiktiraf dokumen-dokumen sejarah dan sebab itulah, mereka mahu dokumen itu dan mata pelajaran Sejarah di sekolah dihapuskan," katanya. Pada hal, katanya, apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan itu telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin Cina dan India dahulu.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa jika ada sesiapa yang mahu menggugat Perlembagaan Persekutuan, maka bersedialah untuk menanggung risiko termasuk dikenakan tindakan undang-undang. "Memang ada peruntukan di dalam undang-undang yang membolehkan mereka yang derhaka kepada Raja-Raja Melayu dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Melihat situasi sekarang, memang sukar diterima oleh akal fikiran kita yang rasional bahawa terdapat sekumpulan orang Melayu terjebak dan terperangkap dalam permainan politik puak-puak tertentu sehingga sanggup bersikap kurang ajar terhadap Raja-Raja Melayu. Lebih malang, apabila mereka melakukannya demi mempertahankan kuasa dan pengaruh politik sempit yang melampai batas.

Memang sedih melihat ada sekumpulan manusia yang lahir sebagai orang Melayu sanggup mengadakan demonstrasi dan 'bergadai nyawa' dengan berbaring di jalan raya bagi menghalang kenderaan yang membawa Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah yang ketika itu dalam perjalanan menghadiri majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar Perak yang baru pada tahun lalu di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Hakikatnya, tindakan keterlaluan itu bukanlah sesuatu yang biasa dalam adab susila budaya Melayu.

DAULAT TUANKU!

Warna-warni Politik
Torashah

Tiada ulasan: