DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Sabtu, 3 April 2010

Jangan nak lebih-lebih cabar saya - Dr. Zambry!

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) berkata, beliau tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan lebih banyak keburukan pakatan pembangkang sekiranya terus dicabar dengan pelbagai dakwaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemimpin pembangkang patut menutup mulut kerana lagi kuat dirinya dicabar maka lebih banyak pendedahan yang boleh dilakukan seperti tawaran melompat parti yang didedahkannya kelmarin.

"Saya cuma nak kata pada mereka jangan nak lebih-lebih cabar saya. Jadi tak perlulah nak bergaduh memanjang-memanjang dan cabar saya keterlaluan. "Kalau tidak, lebih banyak lagi keburukan pakatan pembangkang yang boleh didedahkan. Ini adalah masa untuk mendedahkan sedikit demi sedikit," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mendakwa tidak pernah menawarkan jawatan Menteri Besar kepadanya jika bersetuju melompat parti ketika mahu menubuhkan kerajaan negeri selepas pilihan raya umum lalu. Sebaliknya Anwar mengakui ada menghubungi Zambry melalui panggilan telefon tetapi perbualan tersebut tidak melibatkan tawaran jawatan Menteri Besar.

Mengulas kenyataan Anwar itu, Zambry berkata, penafian ketua pembangkang tersebut membuktikan siapa sebenarnya yang lebih layak digelar pembohong. "Saya nak bagi tahu kepada Ketua Pembangkang yang kata saya pembohong, saya tidak pernah berbohong. Sekarang ini kita sudah nampak siapa yang bohong.

"Hari ini dia kata tidak menelefon saya, esok dia kata dia telefon pula. Itu sudah cukup membuktikan (siapa berbohong)," katanya. Pada masa yang sama, Zambry turut mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham yang menuduhnya berbohong supaya tidak terus-menerus bercakap mengenai isu tersebut.

"Saya mahu Koo Ham diam. Kalau dia tidak tahu semua cerita di belakang tabir, jangan nak buka mulut," katanya. Sementara itu, mengulas mengenai kekecohan yang dicetuskan wakil rakyat pembangkang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Rabu lalu, Zambry berkata, beliau tidak akan tunduk dengan ancaman pihak tersebut.

Tegasnya, beliau tidak akan termakan dengan permainan yang dibuat oleh pakatan pembangkang itu. "Sebagai ketua, saya tidak akan ikut cara dan pendekatan mereka yang menunjukkan contoh buruk sekali. Pada saya ia adalah tindakan yang paling biadap dan rakyat sendiri sudah boleh menilai. "Apa pun yang mereka buat, saya akan terus laungkan tema perdamaian," katanya.

Warna-warni Politik
Torashah

Tiada ulasan: