Keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi mengadakan pilihan raya lebih awal disifatkan tepat demi kesejahteraan rakyat.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Nor Yazid berkata, pilihan raya juga sebenarnya memerlukan perbelanjaan dan pengorbanan yang besar dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.
Justeru katanya, usaha Zambry untuk mengutamakan kebajikan dan khidmat kepada rakyat negeri Perak sebelum memberi tumpuan terhadap bidang politik harus diberikan pujian.
''Ada baiknya pilihan raya tidak diadakan lagi di Perak buat masa sekarang. ''Ia setidak-tidaknya akan memberi peluang kepada rakyat untuk membuat penilaian yang jitu terhadap pemimpin mereka,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zambry semalam menegaskan kerajaan pimpinannya tidak bercadang membubarkan DUN bagi mengadakan pilihan raya lebih awal walaupun terdapat petunjuk bahawa BN akan mendapat kemenangan. Menurut Menteri Besar Perak itu, apa yang menjadi keutamaan sekarang ialah menumpukan kepada pembangunan negeri bagi memastikan kehidupan rakyat lebih terjamin dan sempurna.
Sebelum ini terdapat kaji selidik bebas oleh Ilham Centre yang menunjukkan pakatan pembangkang berkemungkinan besar akan tewas jika DUN Perak dibubarkan. Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof. Dr. Rustam Abas menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat adalah penting berbanding mengadakan pilihan raya dan keputusan yang diambil oleh Zambry memang wajar.
''Pemimpin yang dipilih oleh rakyat perlu menerima mandat yang diberikan itu serta sentiasa bersedia untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat,'' katanya.
Warna-warni politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan