DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Khamis, 15 April 2010

Wajar Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama ditukar nama!

NAMA Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama yang ditubuhkan baru-baru ini adalah untuk mempromosikan keharmonian dan persefahaman antara penganut pelbagai agama di negara ini wajar ditukar.

Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Agama, yang diketuai oleh bekas Anggota Parlimen Kota Baharu Datuk Ilani Ishak, juga bertanggungjawab mengenal pasti masalah yang boleh menjejaskan keharmonian antara agama.

Jadi hal-hal semasa termasuk berkaitan dengan pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah ibadat dan isu tanah perkuburan boleh dibincangkan oleh jawatankuasa itu. Justeru Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata penubuhan jawatankuasa itu dikatakan tidak menjejaskan status agama masing-masing seperti diperuntukan di bawah Perlembagaan.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh Jabatan Perpaduan Negara, Integrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST), Allied Coordinating Comitte for Islamic NGOs (ACCIN), ahli akademik serta wakil dari Sabah dan Sarawak.

Tetapi bagi pihak mufti, tokoh agama dan pertubuhan Melayu - penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama itu telah menimbulkan kontroversi sebagai mana yang berlaku tentangan umat Islam terhadap Suruhanjaya Antara Agama. Ada pihak mendakwa penubuhan itu mungkin sebagai reaksi kerajaan ekoran isu serta beberapa kejadian tidak menyenangkan berkenaan penggunaan kalimah Allah pada awal tahun ini.

Keputusan ini juga dianggap tidak menguntungkan, sebaliknya menimbulkan kemarahan orang Islam di negara ini. Peningkatan bantahan di kalangan orang Melayu sekarang menunjukkan umat Islam belum bersedia untuk membincangkan isu-isu yang boleh disalah guna untuk menggugat kedudukan agama rasmi negara.

Mereka bimbang dengan status agama Islam pada masa depan apabila ia boleh dibincangkan di peringkat pelbagai agama dan dibimbangi akan wujud pelbagai tuntutan di kalangan penganut agama lain. Hati-hatilah dengan taktik halus pihak tertentu untuk meminggirkan Islam sebagai agama rasmi serta membelakangkan Majlis Raja-Raja.

Denyut rasa bimbang orang Melayu terhadap kewujudan jawatankuasa itu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan. Langkah yang boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk meletakkan Islam setaraf dengan agama lain wajar dielakkan. Meskipun begitu kita harus faham bahawa masalah kekeliruan melibatkan kaum dan agama perlu diselesaikan dan tidak boleh dibiarkan berlarutan hingga menggugat perpaduan antara kaum.

Mungkin pengumuman menukarkan nama Jawatankuasa Perhubungan Antara "Agama" kepada perkataan "Kaum" yang dicadangkan oleh mufti-mufti negeri yang bertemu di Putrajaya semalam mampu membuka jalan penyelesaian dan tidak mengelirukan orang ramai.
Sekadar mengingatkan semua pihak dalam jawatankuasa khas itu bahawa mereka boleh membincangkan apa saja isu semasa asalkan ia tidak menyentuh soal agama yang terletak di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu.

Warna-warni Politik
Torashah

2 ulasan:

Taminsari berkata...

Salam..

Perkara-perkara sensitif seperti isu keagamaan perlu ditangani melalui dialog dan perbincangan di kalangan ahli yang pakar dalam hal ehwal keagamaan. Dialog keagamaan merupakan satu inisiatif yang baik untuk membuka ruang bagi ahli-ahli teologi dan juri dalam pelbagai agama membicarakan sesuatu yang terbuku dalam hati dan minda mereka.

Perbincangan keagamaan mungkin menimbulkan pelbagai persepsi negatif di kalangan umat Islam terhadap program tersebut jika agenda dan etika dialog tidak dijelaskan secara terperinci.

Pengalaman penulis menyertai dialog keagamaan di Barat sejak 1989 mendapati umat Islam sering membangkitkan isu keikhlasan pihak gereja menganjurkan dialog agama. Umat Islam menunjukkan sikap prejudis terhadap gereja kerana agama Kristian dan Islam merupakan agama yang paling aktif dalam misi pendakwahan. Sikap prejudis itu jika tidak ditangani secara perbincangan dan hikmah boleh menimbulkan pelbagai perspektif yang negatif.

Pelbagai usaha dilakukan oleh para sarjana Islam dan Kristian di negara Barat bagi menjelaskan perkara-perkara berkaitan dengan keagamaan dan perundangan negara. Perbincangan keagamaan di Barat lebih terbuka kerana kebanyakan masyarakat mereka mengamalkan corak hidup dan budaya sekular. Bagi masyarakat Barat, agama merupakan hak individu yang tidak perlu dipersoalkan oleh ibu bapa dan masyarakat apabila anak-anak mereka menjangkau umur 18 tahun. Corak pemikiran dan kehidupan begini menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat Islam yang berada di dunia Barat.

Dialog keagamaan yang dilaksanakan di negara-negara Barat memberi kesan yang paling baik kepada umat Islam kerana melalui dialog ini, mereka dapat menjelaskan ajaran Islam yang sebenarnya kepada masyarakat bukan Islam. Ini merupakan satu pendakwahan Islam terhadap masyarakat bukan Islam. Pengalaman penulis menyertai Jewish, Christian and Muslim Conference pada 13 hingga 20 Mac 1989 di Bendorf, Jerman Barat dan Christian and Muslim Women Conference pada 28 Oktober hingga 4 November 1990 di tempat yang sama, mendapati perwakilan ketiga-tiga agama tersebut begitu gigih menunjukkan keindahan agama masing-masing dan dialog agama menjadi begitu hangat apabila isu-isu keagamaan yang sensitif dibangkitkan.

Hasil daripada perbincangan secara terbuka dan keikhlasan para peserta meluahkan perasaan dan ketidakpuasan terhadap satu sama lain, akhirnya berjaya menghasilkan resolusi yang baik dan diterima oleh kesemua pihak. Dialog agama yang dianjurkan di negara Barat lebih tertumpu kepada pemahaman terhadap budaya dan amalan agama yang pelbagai. Umat Islam begitu gigih menjelaskan secara terperinci amalan agama Islam yang tidak boleh dikongsi dengan masyarakat agama lain. Penjelasan begini memerlukan pemahaman agama yang mendalam dalam aspek teologi, hukum hakam dan undang-undang Islam. Sarjana Islam di negara Barat begitu aktif menyertai dialog agama demi mempertahankan keindahan agama dan memperkukuhkan akidah umat Islam yang berada dalam dunia sekular.

bersambung...

Taminsari berkata...

bersambung..

Memahami satu sama lain (mutual understanding) merupakan asas kepada dialog agama. Ia merupakan salah satu etika berdialog. Setiap individu yang ingin menyertai dialog keagamaan perlu memahami objektif dialog dan bukan untuk mengintegrasikan pemahaman teologi dan budaya kehidupan beragama mereka kepada golongan agama yang lain. Keikhlasan dalam dialog keagamaan merupakan asas kejayaan dalam perbincangan.

Dialog diadakan untuk memahami dan menjalinkan hubungan kemanusiaan secara harmoni, bukan untuk mengeruhkan keadaan dan menimbulkan kemarahan dan kebencian. Konteks budaya dan amalan keagamaan setiap masyarakat beragama perlu dihormati bukan dicemuh dan dijadikan bahan perbahasan oleh penganut agama lain. Setiap agama mempunyai amalan-amalan yang dianggap tidak rasional oleh penganut agama lain. Oleh itu, orang yang berada di luar lingkungan agama tersebut tidak mempunyai hak untuk mengintegrasikan budaya agama mereka ke dalam agama tersebut. Sikap begini bertentangan dengan etika masyarakat beragama.

Menghormati budaya dan amalan agama masyarakat berbilang agama merupakan asas kepada perpaduan dan keharmonian. Dialog agama tidak akan berjaya jika individu yang menyertai dialog lebih cenderung kepada objektif pendakwahan agama kerana setiap individu yang menyertai dialog mempunyai hasrat untuk mempertahankan amalan agama masing-masing. Oleh itu, sikap faham memahami amat diperlukan bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni dalam negara yang dihuni oleh pelbagai agama dan bangsa.

Reformasi yang wujud dalam sesuatu agama tertentu mungkin bersesuaian dengan agama itu sahaja. Tidak semua agama memerlukan reformasi kerana kepercayaan, pemahaman konsep hidup dan cara menyembah Tuhan adalah berbeza. Berdasarkan kepada pemahaman begini, maka 200 ahli teologi yang mewakili 20 agama dari 50 negara yang menghadiri Interreligious Assembly di Vatican, Rom pada 25 hingga 28 Oktober 1999 membuat resolusi bahawa keaslian dan kejituan setiap agama perlu dikekalkan dan setiap individu perlu menghormati amalan agama penganut agama yang berbeza.

Usaha untuk mencampuradukkan sesuatu ajaran agama dengan agama lain ditentang oleh para ahli teologi kerana kegiatan begini boleh merosakkan keaslian dan kesahihan ajaran agama. Oleh itu, setiap individu yang menyertai dialog agama perlu menghormati etika berdialog supaya perkara yang sulit dan sensitif dapat diselesaikan secara berhemah.

Wassalam..