DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 6 April 2010

MEB perlu ambil iktibar kelemahan pelaksanaan DEB

Syukur, Datuk Seri Najib Tun Razak faham keperluan menangani semua komuniti dan tidak melupakan kaumnya sendiri ketika memimpin negara dalam tempoh mencabar ini. Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan di bawah pimpinannya tidak berhajat menghapuskan polisi afirmatif sebaliknya akan menyemak pelaksanaannya secara adil dan telus berdasarkan kepada merit dan keperluan.

Bumiputera sebagai penduduk majoriti negara ini pasti berasa lega dengan jaminan itu. Sebagai pemimpin utama negara adalah kesilapan besar jika Najib gagal memahami keperluan semua kaum di negara ini terutama orang Melayu dan Bumiputera. Pun begitu MEB perlu mengambil iktibar kelemahan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Hanya ada 10 tahun sahaja tempoh MEB untuk melonjakkan ekonomi Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan. Kita tidak ada masa untuk dibuang bagi melayan tohmahan dan kritikan kurang membina tatkala pelbagai cabaran harus diharungi untuk kita maju ke hadapan.

Jangan ulangi faktor-faktor yang menyebabkan DEB gagal. Sikap negatif yang merosakkan matlamat DEB harus menjadi panduan jika kita mahu MEB berjaya capai matlamatnya. Tidak sesuai rasanya rakyat diajak menghentam MEB sedangkan ia baru diperingkat rangka, malah rakyat diseru bersama-sama untuk memberikan buah fikiran.

Dalam temu ramah dengan Bernama kelmarin, Najib menjawab apa yang telah menjadi keraguan dan kebimbangan rakyat. Dalam konteks meneruskan dasar afirmatif dalam membantu kaum Bumiputera, janganlah kaum-kaum lain berasa keperluan mereka pula diketepikan.

Sejak 53 tahun negara kita merdeka, belum ada dasar yang membantu Bumiputera menyebabkan kaum lain kerugian. Kita yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, jika ada kaum yang berasa dipinggirkan daripada arus pembangunan, ia sebenarnya tidak akan berlaku.

Melalui Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Program Transformasi Kerajaan (PTK) dan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan terbaharu Model Ekonomi Baru, semua menjurus untuk kesejahteraan hidup rakyat dan kemajuan negara.

Sebab itu, jika ada pihak bimbang kononnya MEB mungkin menghakis kepentingan kaum Bumiputera, ia juga ternyata tidak benar. Untuk menjayakan MEB, Najib menekankan aspek ekonomi yang lebih mesra pasaran, di samping kebajikan bukan Melayu dan bukan Bumiputera juga dipelihara.

Dalam MEB, kerajaan akan menyusun strategi memperkukuhkan lagi ekonomi rakyat secara menyeluruh melibatkan semua peringkat. MEB yang dilancarkan pada 30 Mac lalu kebetulan jatuh selang beberapa hari menjelang setahun Najib sebagai Perdana Menteri ini memenuhi konsep 1Malaysia kerana ia meliputi semua kaum.

Jadi, dalam tempoh setahun ini beliau telah mempraktikkan corak pentadbiran yang selari dengan kehendak dan kepentingan negara. Adalah penting dasar-dasar dan pembaharuan yang diperkenalkan Najib disenangi oleh pelbagai golongan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Warna-warni politik
Torashah

2 ulasan:

wasabi berkata...

Reaksi terhadap Model Ekonomi Baru
MODEL Ekonomi Baru (MEB) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, mendapat reaksi yang rencam dan pelbagai daripada akhbar-akhbar Cina. Berikut disiarkan beberapa petikan terjemahan akhbar Cina itu yang mengupas mengenai MEB dari pelbagai sudut.

Seorang penulis, Lee Rang menerusi akhbar China Press terbitan 4 April 2010 mengupas mengenai isu itu di bawah artikel bertajuk 'Merobohkan lebih susah daripada membina semula'. Menurut Lee Rang, perkara pokok jika mahu membina MEB adalah perlu dihapuskan sistem lama yang menjurus kepada polisi menghapuskan golongan cerdik pandai. Perjalanan Dasar Ekonomi Baru (DEB) memperlihatkan bahawa rakyat kita terlalu senang dan kaya-raya. Pegawai kerajaan, menteri, ahli politik dan ahli perniagaan seperti tiga dalam satu.

Mereka bergantung kepada kuasa politik untuk meraih keuntungan dan ada yang sanggup menggadaikan kuasa mereka. Selepas 30 tahun pelaksanaan DEB, orang-orang yang membudayakan menjual dan menggadai kuasa ini sudah seperti sel-sel kanser yang merebak dalam masyarakat.

Jika mahu diberi satu harapan baru kepada negara, maka barah-barah ini perlu dibuang. Tetapi barah-barah ini juga merupakan pendukung kuasa politik negara kita.

''Selama beberapa tahun ini, polisi DEB telah mencelarukan antara pegawai kerajaan, ahli politik dan ahli perniagaan. Kerana kepentingan masing-masing, lebih-lebih lagi model ekonomi yang mengutamakan hak- hak orang Melayu, mereka cuba mengaut segala sumber yang sedia ada.

"Di negara kita, sudah tidak ada tempat untuk orang-orang yang cerdik pandai tinggal. Negara kita tidak dapat maju kerana pelabur asing lari. Jika kita mahu mengubah keadaan ini, jika kita tidak benar-benar menghapuskan polisi yang ada dan jika kita hanya mahu mengubah pemikiran sahaja, bukankah ia hanya satu impian semata-mata?" tulis Lee Rang.

Akhbar Sin Chew Jit Poh terbitan 31 Mac 2010 pula menyiarkan artikel yang ditulis oleh Lim See Guan bertajuk 'Kita perlu ada inspirasi'. Menurut beliau, fasa pertama MEB yang mempunyai tiga matlamat dan lapan perubahan strategik turut mendedahkan kelemahan negara. Ia termasuk lebih 80 peratus pekerja negara kita hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala lebih 40 peratus pekerja Malaysia berada di bawah golongan berpendapatan rendah.

bersambung...

wasabi berkata...

bersambung...

Rakyat di negara kita sudah semestinya menggunakan aspirasi untuk merobohkan dinding yang menjadi tahanan diri sendiri. Merobohkan dinding rasis, menyahut cabaran di dunia bebas yang terbentang luas, indah dan menyegarkan jiwa. Ramai juga yang takut untuk berinspirasi dan takut bertindak. Selamanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan dan tidak mahu melepaskan tangan mereka.

Persidangan Perkasa baru-baru ini, menunjukkan wajah sebenar mereka yang takut kepada perubahan. Jika kita asyik berkisar mengenai 'angka ekonomi kaum', lambat- laun kita akan kembali kepada model ekonomi lama yang mengharapkan subsidi daripada kerajaan.

Jika satu hari nanti sumber kekayaan negara mengecil dan kita asyik bergolak mengira harta orang Melayu, Cina dan India, ia tidak membawa sebarang makna. Perbalahan ini sudah hampir puluhan tahun, tidakkah ia membosankan?

Ramai yang takut kepada dunia bebas di luar sana kerana kehilangan inspirasi. Kita asyik mencari pelbagai alasan untuk mengetepikan kebebasan. Kita mahu mengongkong diri sendiri dalam tembok itu.

Najib perlu menghapuskan orang-orang yang berfikiran kalut ini dan kembalikan mereka kepada dunia inspirasi mereka.

Akhbar Nanyang Siang Pao bertarikh 2 April 2010 pula menyiarkan artikel yang ditulis oleh Wong Chee bertajuk 'DEB sememangnya seronok didengari'. Menurut penulis ini, selepas peristiwa 13 Mei 1969, Tun Abdul Razak menggunakan kuasa pemerintahan beliau melancarkan dasar DEB. Dasar ini sedaya upaya membantu sepenuhnya kaum bumiputera dengan meningkatkan kedudukan ekonomi dan pendidikan.

Konsep dan slogan ketika itu banyak yang tahyul dan luar biasa. Seperti mahukan pembangunan ditangani dengan adil dan liberal untuk mencapai matlamat. Kerana itu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan MEB fasa satu, jika dibandingkan dengan DEB, ia lebih menaikkan semangat orang ramai. Agenda berpendapatan tinggi bagi orang kebanyakan yang selamanya berpendapatan rendah, ibarat dibawa ke syurga dunia jika berjaya dicapai.

Sebenarnya sejak kegawatan ekonomi 1997/1998, kebanyakan gaji pekerja langsung tidak berubah. Kenaikan gaji tahunan pula tidak melebih RM100. Pendapatan sebegini tidak mampu mengatasi keadaan inflasi ditambah kenaikan harga barang ketika ini.

Di samping itu, kenaikan harga petrol juga membawa maksud sama seperti pendapatan kita dikurangkan.

''Pada penerimaan secara terbuka, dalam menikmati kemampuan mengumpul kekayaan sama ada kita telah berjasa atau sebaliknya, tiada seorang pun yang terlepas daripada apa yang disarankan oleh Perdana Menteri menerusi MEB. Menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum apabila didengari seperti lagu yang merdu dan menusuk jiwa," tulis Wong Chee.