DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU


Selasa, 18 November 2008

Kasari Wartawan : Pemuda Selar Sikap Tidak Matang MB Perak

Ipoh -- Kepimpinan Pemuda UMNO Perak hari ini menyelar dan melihat tindakan kasar Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin terhadap jurugambar Utusan Malaysia sebagai satu contoh kepribadian sebenar beliau. Malah mereka menyifatkan tindakan tersebut di luar kewajaran apatah lagi prinsip kebebasan media yang sering dilaungkan pakatan pembangkang selama ini.

Ketua Pemuda UMNO Bagan Datoh, Zainudin Helmi Baharudin berkata peristiwa berkenaan menyerlahkan sikap dan keperibadian Menteri Besar yang sebenarnya. Menurut beliau sebagai Ketua kerajaan negeri, YB Nizar sepatutnya menunjukkan sahsiah dan budi pekerti yang mulia sebagai tauladan kepada rakyat khususnya pengikut dan penyokong parti terbabit.

"Bukankah kita orang Melayu terkenal dengan adat dan budi bahasa. Adakah kerana kuasa dan jawatan yang disandang hari ini menyebabkan budi bahasanya luntur. "Jika inilah sikap MB Perak, kita benar-benar kecewa dan kesal kerana difahamkan beliau digelar ustaz dikalangan penyokong mereka”, katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin semalam bertindak di luar dugaan apabila memaksa jurugambar Utusan Malaysia menyerahkan kamera dan memadamkan gambarnya yang diambil ketika penyerahan surat tuntutan maaf daripada seorang peguam.

Kejadian berlaku semasa sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di dewan makan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini apabila jurugambar, Mohd. Najib Mohd. Nor, 28, merakamkan gambar Mohammad Nizar menerima surat tuntutan maaf daripada peguam Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Lenggong, Mohamad Iruan Zulkifli pula berkata peristiwa berkenaan merupakan bukti betapa pemimpin pakatan pembangkang "cakap tak serupa bikin".
Soalnya dimanakah prinsip kebebasan media yang sebelum ini lantang diperkatakan oleh parti pembangkang terbabit.

"Sebelum ini merekalah kononnya juara kepada kebebasan media dan memperjuangkan demokrasi pemberitaan di negara ini. "Cara tindakan kasar terhadap wartawan ini sebenarnya mencerminkan sikap hipokrit pemimpin parti pembangkang yang akan dinilai rakyat", ujarnya.
Manakala bagi Ketua Pemuda Teluk Intan, Yuzaille Yusof berkata peristiwa tersebut tidak sepatutnya berlaku sungguh pun mereka dikatakan memboikot akhbar terbabit.

"Jika Nizar profesional, beliau seharusnya memahami tugas dan tanggungjawab seorang jurugambar biarpun beliau tidak selesa atau tidak suka dengan senario tertentu. "Malah beliau tiada hak untuk mengganggu dan menghalang tugas jurugambar terbabit. Kejadian MB menghalang tugas intistusi kewartawanan adalah kejadian pertama dan Nizar mencatat sejarah tersendiri", katanya.

Dalam kejadian semalam, jurugambar Utusan Malaysia telah diherdik dan diminta keluar dengan berkata ''Go.. go..". Selepas meminta Mohd. Najib keluar, Mohammad Nizar kemudian dengan memanggil semula Mohd. Najib. "Woi, mari sini. Saya nak 'memory card' kamera tu," katanya.


Laman Pemuda UMNO

Tiada ulasan: